Dari meja Pengarang
Selamat datang ke terbitan pertama BARAZA!, buletin Sisters In Islam (SIS) yang disiarkan dua kali setahun. Buletin ini membawakan artikel-artikel semasa dan terkini yang melibatkan masyarakat Islam hari ini, dengan fokus kepada hak-hak wanita dalam Islam dan aktiviti-aktiviti SIS yang terkini.
Kenapa BARAZA!? Menurut kamus Arab moden Hans Wehr, Dictionary of Modern Written Arabic, baraza bermakna “melangkah ke depan, membangunkan diri, menyerlahkan diri, menampilkan diri, , memperlihatkan keteguhan, menunjukkan kekuatan, menjadi cemerlang, gigih mencapai kecemerlangan, memberi saingan, mengemukakan pandangan,memberikan pendapat kepada masyarakat ,menghadirkan diri.” Pada abad-abad awal Islam, seorang wanita baraza ialah seorang wanita yang tidak menyembunyikan wajahnya dan tidak menundukkan kepalanya; wanita yang mempunyai pertimbangan, pandangan, atau pendapat yang baik dan adil, dikenali kerana aqlnya. Wanita baraza ialah seorang wanita yang kehadirannya disedari masyarakat dan yang menerima tetamu di kediamannya.
Pada kami di SIS, contoh wanita BARAZA yang terunggul ialah Sukayna binti Hussein, cicit Nabi Muhammad (saw) yang juga cucu kepada anak perempuannya, Fatimah, dengan Khalifah Islam yang keempat iaitu Ali bin Abu Talib. Kisah hidup wanita-wanita pada zaman awal Islam meraikan semangat berdikarinya, kebijaksanaan, kecantikan dan kecerdikannya. Beliau sering berdebat dengan lelaki-lelaki yang berpengaruh tentang isu-isu politik dan sosial semasa, dan menolak lamaran mereka untuk berkahwin. Beliau menceburi minatnya terhadap kesusasteraan, dan mengundang para penyair dan sasterawan ke kediamannya.
Beliau telah berkahwin beberapa kali dan terkenal kerana kontrak perkahwinannya, yang antara lain menetapkan syarat bahawa beliau tidak akan akur kepada suaminya, mempunyai kawalan penuh terhadap hidupnya sendiri dan suaminya tidak dibenarkan mengamalkan poligami. Dia juga meletakkan syarat bahawa sekiranya suaminya melanggar mana-mana satu syarat-syarat tersebut, suaminya hendaklah menceraikan beliau pada bila-bila beliau kehendaki.
Sukayna merupakan satu tokoh yang telah dilupakan tradisi dunia Islam. Dunia memandang wanita Islam hari ini sebagai tertindas, didiskriminasikan, mundur dan telah ditakdirkan menderita dalam diam. Atas nama agama dan undang-undang shariah, wanita dilihat sebagai berkedudukan lebih rendah dari lelaki. Na'uzubillah, sekiranya wanita tersebut seorang yang berani, berdikari, lantang bersuara dan memperjuangkan hak-haknya, dia akan dikecam sebagai keBaratan dan tidak Islamik.
Dalam menjalankan tugas-tugas kami, SIS mendapati bahawa realiti kehidupan wanita hari ini bertentangan dengan imej yang dipegang oleh masyarakat mengenai ciri-ciri seorang wanita Muslim ideal. Dalam abad ke-21, kumpulan-kumpulan wanita menerajui cabaran berdepan dengan pihak berkuasa agama yang berfahaman tradisional dan pergerakan politik Islamis; yang menggunakan Islam sebagai alasan tentang kedudukan wanita yang rendah, dan yang paling membimbangkan, mempergunakan isu ketaqwaan kepada perintah Allah untuk menenggelamkan suara-suara yang mempunyai pandangan yang bertentangan.
Dalam isu sulung BARAZA! ini, SIS memilih untuk memberikan tumpuan kepada pembaharuan Undang-Undang Keluarga Islam untuk mencerminkan keadilan dalam Islam. Jika keadilan merupakan satu-satunya objektif utama shariah, bukankah prinsip ini perlu ditonjolkan dalam undang-undang yang menyelaraskan perhubungan dan hak-hak di antara suami dan isteri?
Kerangka perundangan perkahwinan Islam klasik dipengaruhi oleh logik kontrak jual beli. Sebagai pertukaran kepada mas kahwin, isteri diletakkan di bawah kuasa suami. Asas kepada kontrak perkahwinan tersebut ialah penyerahan isteri sepenuhnya (tamkin), yang didefinisikan sebagai kesediaan dari segi seksual pada bila-bila masa sahaja, yang disifatkan sebagai hak suami dan tugas isteri, sebagai pertukaran kepada sara hidup/nafkah (nafaqa), yang bermakna tempat kediaman, makanan dan pakaian, yang dianggap hak isteri dan tugas suami.
Memandangkan hakikat dan kehidupan masyarakat kita hari ini yang begitu kompleks, konsep perkahwinan yang sedemikian tidak lagi boleh digunapakai. Abad ke-20 memperlihatkan pembaharuan yang perlahan-lahan terhadap undang-undang berkenaan status peribadi di kebanyakan negara dunia Islam bagi menangani masalah-masalah ketidakadilan dan penderitaan wanita. Pendekatan umum tertumpu kepada menambah syarat-syarat kepada kontrak perkahwinan untuk melindungi hak-hak wanita, dan memperbaharui peraturan substantif terutamanya dalam hal poligami dan perceraian bagi mengurangkan diskriminasi dan kesulitan yang dihadapi oleh kaum wanita.
Walaubagaimanapun, pendekatan sedemikian masih kurang memuaskan kerana ianya hanyalah satu pendekatan ‘menampal’ untuk memperbetulkan kontrak yang sememangnya mempunyai banyak kekurangan, dan yang berdasarkan tanggapan-tanggapan yang tidak berlandaskan realiti hari ini. Dalam era globalisasi dan kemudahan yang luas terhadap pendidikan, konsep tradisi lelaki sebagai pelindung dan penyara, dan wanita sebagai suri rumahtangga yang tunduk kepada perintah bukan lagi model perkahwinan Islam yang sesuai dan relevan. Dinamik alam hubungan rumahtangga telah jauh berubah memandangkan lebih wanita dapat mengatasi lelaki dalam bidang akademik, dengan lebih ramai wanita menjadi lebih berdikari dari segi kewangan dan menyumbang kepada perbelanjaan keluarga.
Berdasarkan perubahan hakikat ini, asas undang-undang perundangan kekeluargaan Islam juga perlu diubah. Ini bukan bermaksud bahawa undang-undang keluarga Islam dan andaian tradisional itu salah atau tidak benar. Ulama terdahulu berpandukan keadaan semasa pada ketika itu. Dalam zaman dan keadaan yang berbeza yang mempengaruhi kehidupan lelaki dan wanita hari ini, kerangka perundangan perhubungan perkahwinan perlu perubahan.
Dalam dunia moden yang dikuasai paradigma etika keadilan, kesaksamaan, kebebasan dan harga diri, Al Quran begitu kaya sekali dengan prinsip-prinsip yang membimbing ke arah memperkembangkan perundangan perkahwinan yang berdasarkan prinsip keadilan dan kesaksamaan. Baru-baru ini, negara Maghribi telah memperbaharui undang-undang keluarganya untuk mencapai objektif tersebut.
Begitu juga dengan negara-negara seperti Tunis dan Turki. Indonesia juga baru sahaja menggubal satu draf model undang-undang baru – satu Undang-undang Keluarga Islam baru yang berdasarkan ayat-ayat Al Quran mengenai kesaksamaan hak di sisi Allah swt; perhubungan yang berdasarkan prinsip saling melindungi diantara lelaki dan wanita (At-Taubah 9:71), mengenai lelaki dan wanita sebagai pakaian yang saling melengkapi (al-Baqarah 2:187) – yang memberi satu landasan yang kukuh ke arah pembaharuan.
Keperluan kepada pembaharuan ini, yang sejajar dengan ajaran-ajaran Islam, akan membolehkan masyarakat Islam hidup dalam keadaan yang berlandaskan ajaran agamanya dalam konteks hakikat mereka yang kian berubah.
Zainah Anwar
Pengarah Eksekutif
Sisters in Islam