Fiqh, atau pentafsiran undang-undang Shariah, telah dijadikan kanun undang-undang oleh mazhab-mazhab utama ketika lingkungan abad ke 8 hingga 11 CE, iaitu antara jangkamasa 120 hingga 400 tahun selepas kewafatan Rasullullah saw. Undang-undang tentang kewujudan dan penamatan kontrak perkahwinan yang telah dirangka oleh ulama-ulama terdahulu ketika itu, walaupun hampir berusia 1000 tahun, masih mempengaruhi undang-undang perkahwinan dan perceraian hari ini.
Walau bagaimanapun, konsep gender yang telah dijadikan kanun oleh mazhab-mazhab utama, adalah tidak seragam dan tidak konsisten, malahan saling bertentangan dan berlawanan sesama sendiri. Setiap mazhab mempunyai undang-undang substantif yang berbeza meliputi soal perkahwinan dan perceraian, tanpa ada mana-mana idea yang “tulin” dan sebulat suara tentang hak-hak dan tanggungjawab pihak suami dan isteri dalam perkahwinan. Sejak 1000 tahun yang lalu, undang-undang substantif tersebut telah dipinda, namun ketidaksamaan hak antara suami dan isteri masih lagi wujud secara berterusan. Hal ini menunjukkan walaupun shariah itu bersifat sejagat, tunggal dan tidak berubah, fiqh pula adalah bersifat setempat, pelbagai dan tertakluk kepada perubahan.
Walaupun undang-undang substantif berbeza-beza antara mazhab, konsep perkahwinan adalah sama. Ulama-ulama berpendapat perkahwinan ialah satu urusniaga yang memberikan suami hakmilik atau kawalan terhadap isteri/ isteri-isteri, terutamanya terhadap organ seks isteri (farj). Oleh itu, perkahwinan telah dirangka menurut istilah-istilah dagangan dan milikan, di mana ulama sering mengumpamakan perkahwinan dengan institusi perhambaan, suami dengan tuan, isteri dengan hamba.
Sebagai pertukaran kepada mas kahwin (mahr), suami memperolehi hakmilik, dalam bentuk akses seksual terhadap isteri. Isteri hendaklah sentiasa bersedia memenuhi kehendak seks suami setiap masa, sebagaimana juga suami mempunyai kawalan mutlak terhadap pergerakan isteri di dalam dan di luar rumah. Sebagai balasan, suami hendaklah menyara dan menanggung isteri, sehingga ke tahap di mana sesetengah pendapat dari mazhab Maliki, Hanafi dan Shafi’i menyebut bahawa isteri tidak bertanggungjawab untuk tugas-tugas memasak atau membuat kerja-kerja rumah untuk dirinya dan suami.
Ulama Maliki yang terkemuka ketika itu, Shaykh Khalil menulis,”Mas kahwin adalah umpama harga belian. Apabila seorang wanita berkahwin, dia menjual sebahagian dirinya. Di pasar, seorang membeli barangan, dalam perkahwinan suami membeli organ seks atau genital artum mulierus isteri. Seorang ulama terkemuka Shi’a Muhaqqiq Al Halli menulis bahawa perkahwinan ialah satu kontrak di mana objeknya ialah dominasi terhadap farj, tanpa memperolehi hakmilik terhadapnya. Al Shafi’i pula dalam kitab Al Umm berkata, ”Antara hak suami ialah untuk bersuka-suka dengan isterinya (istimata’a minha).”
Berdasarkan undang-undang fiqh klasik, ketidaksamaan hak antara lelaki dan wanita diambil sebagai satu prinsip tanpa disoal. Wanita dianggap sebagai objek seks, bukannya objek sosial. Perbezaan antara perempuan simpanan, hamba dan isteri menjadi terpesong.
Konsep ini dapat dijelaskan sebahagiannya melalui konteks sosio-sejarah ketika itu. Zaman tersebut merupakan era hierarki, penstrataan sosial dan amalan perhambaan yang berleluasa, di mana lelaki dari golongan atasan mempunyai akses terhadap wanita untuk digunakan sebagai hamba atau untuk pasangan seks. Tambahan pula, amalan-amalan masyarakat Arab pada zaman pra Islam dan budaya tempatan yang berbeza mengikut tempat asal ulama-ulama tersebut juga mempengaruhi perkembangan fiqh.
Walau bagaimanapun, konsep perkahwinan tersebut mengalami perubahan yang penting dalam abad yang lepas, dipengaruhi oleh konsep Victorian; di mana konsep suami sebagai pencari nafkah utama keluarga dan wanita sebagai suri rumahtangga, menggantikan konsep saraan hidup sebagai balasan suami kepada isteri untuk memperolehi kepuasan seksual. Sebuah ‘buku panduan’ perkahwinan dalam Islam yang diterbitkan pada tahun 1972 menyebut tanggungjawab lelaki sebagai pelindung, pemberi kebahagiaan dan penyedia sara hidup untuk isteri, manakala tanggungjawab isteri ialah memasak, membasuh, mencuci dan menguruskan hal-hal rumahtangga yang lain.
Idea ini jauh berbeza dengan pendapat dari 3 mazhab utama yang berpendapat wanita tidak bertanggungjawab menguruskan hal ehwal rumahtangga. Ia juga menunjukkan bahawa konsep tentang peranan gender dan sistem perkahwinan yang memberi kelebihan kepada lelaki ialah rekaan dan pendapat ulama-ulama terdahulu dan dibentuk mengikut situasi dan keadaan zaman tersebut, dan ianya tidak termaktub dalam Al-Quran, tetapi berasal dari pentafsiran para ulama tersebut.
Pada hakikatnya, konsep perkahwinan dan peranan sosial wanita adalah bertentangan dengan pengertian keadilan dan saksama terhadap wanita yang disarankan dalam Al Quran dan sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah saw, begitu juga dengan idea-idea berkenaan peranan sosial yang kita fahami hari ini. Hak-hak yang dibentuk berdasarkan konsep jantina dalam fiqh bersejarah tidak lagi berupaya mencapai objektif, keadilan, kesaksamaan dan persamaan hak dalam masyarakat hari ini, padahal tujuan pencapaian keadilan merupakan unsur utama berkaitan dengan objektif atau maqasid al shariah.
Walaupun undang-undang yang mendiskriminasi berdasarkan jantina itu mungkin sebenarnya berniat mencapai keadilan dalam masyarakat hierarki di mana ianya digubal, namun undang-undang tersebut tidak dapat diterima pakai dalam perspektif moden hari ini. Masyarakat Islam hari ini perlu menggubal satu perundangan baru berdasarkan konsep perkahwinan yang disarankan oleh Al Quran (2) dan undang-undang tersebut perlu relevan dengan perubahan terkini tentang peranan dan tanggungjawab wanita dan lelaki dalam masyarakat hari ini.
1) Dipetik dari Kecia Ali, ”Progressive Muslims and Islamic Jurisprudence: The Necessity for Critical Engagement with Marriage and Divorce Law”, Omid Safi, ed., "Progressive Muslims on Justice, Gender and Pluralism", Oxford: Oneworld Publications, 2003; Ziba Mir Hoesseini, ”The Construction of Gender in Islamic Legal Thought: Strategies to Reform”, in Hjh Nik Noriani Nik Badli Shah, ed., "Islamic Family Law and Justice for Muslim Women", Kuala Lumpur: Sisters in Islam, 2003.
2) “Orang–orang Muslim, lelaki dan perempuan, (Mu’minun wal Mu’minat) mereka adalah pelindung kepada satu sama lain,” (al Tawbah 9:71) dan suami isteri itu umpama pakaian kepada satu sama lain (al-Baqarah 2:178)