Sisters in Islam membantah pengusiran paksa dan perobohan surau di Kampung Berembang
4hb Disember 2006

Sisters in Islam (SIS) amat prihatin terhadap pengusiran paksa penduduk Kampung Berembang oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Beberapa ahli SIS bersama-sama penduduk Kg Berembang dan para aktivis lain telah menyerahkan memo bantahan kepada Menteri Besar Selangor di bangunan SUK pada 28 Nov 06 .

Kami difahamkan bahawa penduduk-penduduk Kampung Berembang telah berjaya mendapatkan perintah bertulis daripada Jabatan Perdana Menteri dan Suhakam supaya kerja-kerja perobohan ditangguh sementara mahkamah memutuskan pampasan yang mencukupi untuk penduduk-penduduk yang terjejas.

Kami justeru menyeru pihak berwajib agar mengambil perhatian serius dan mengambil langkah segera dalam memastikan kediaman sempurna untuk penduduk Kg Berembang yang kini terpaksa tinggal di dalam khemah sementara, tanpa bekalan makanan, minuman dan perubatan yang mencukupi mahupun sistem saliran yang memuaskan.

Kami difahamkan bahawa beberapa pegawai daripada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) telah hadir bersama-sama MPAJ ketika perobohan surau tersebut. Kami mempertikaikan pembabitan JAIS dalam hal ini, dan kami membantah keras perobohan surau ini yang dilakukan tanpa budi bicara.

Kami menuntut agar pihak berkuasa tempatan agar mengadakan perbincangan secara baik dengan penduduk Kg Berembang dan menghindari dari melakukan sebarang tindakan kasar dan melanggar hak asasi manusia.