Undang-undang Hudud Terengganu
17 Julai 2002

Sisters in Islam kesal dengan tindakan kerajaan negeri Terengganu yang meluluskan Undang-undang Hudud baru-baru ini secara tergesa-gesa meskipun berbagai kebimbangan telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak terutamanya persatuan-persatuan wanita. Walaupun PAS telah membuat beberapa pindaan ke atas peruntukan-peruntukan tertentu draf asal rang undang-undang, kami ingin menegaskan bahawa kajian yang menyeluruh mengenai konsepnya patut diadakan.

Selama ini, kerajaan negeri PAS di Terengganu dan Kelantan telah cuba menghalang kritikan dengan mendakwa bahawa versi undang-undang "hudud" mereka adalah Hukum Allah swt. Hakikat bahawa percanggahan ketara terdapat di antara beberapa peruntukan asal mereka dengan apa yang tertulis didalam al-Qur'an dan hadith sahih telah menimbulkan keraguan tentang kesesuaian peruntukan-peruntukan lain dalam cadangan tersebut dengan semangat dan maksud sebenar Hukum Syara'.

Masih terdapat kekeliruan mengenai jenayah rogol dan kesalahan zina, apabila rogol dianggap sebagai "zina paksa" yang dirangkumi oleh peruntukan mengenai zina. Rogol sebenarnya adalah jenayah ganas terhadap wanita, suatu pencabulan terhadap tubuh badan yang lebih teruk daripada pencabulan terhadap harta benda, dan merupakan suatu bentuk hirabah yang paling serius. Seksyen 9 telah dipinda untuk membenarkan mangsa rogol membawa keterangan qarinah jika tidak terdapat empat orang saksi, dan adalah dikatakan jika terdapat qarinah, aduan rogol itu akan disiasat.

Persoalannya, Apakah pendekatan kepada "siasatan" ini? Adakah ia bertujuan untuk mencari maklumat bagi membawa penjenayah ke muka pangadilan atau untuk membuktikan samada dakwaan wanita itu benar-benar sahih ataupun tidak? Adakah beban pembuktian diletak di atas bahu perempuan itu atau di atas pihak berkuasa negeri? Adakah perempuan itu mungkin dituduh melakukan qazaf dan/atau zina sekiranya penyiasat memutuskan bahawa keterangan itu kurang menyokong dakwaannya? Adalah diakui oleh pengamal undang-undang, serta juga para doktor dan kaunselor bahawa keterangan qarinah bukanlah mudah untuk diperolehi dalam kes rogol.

Di bawah undang-undang sekarang, iaitu Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah, yang boleh dikira sebagai peruntukan ta'zir bagi undang-undang jenayah, keterangan circumstantial (qarinah) dipakai bagi pembuktian rogol. Namun dalam setengah-setengah kes, pihak pendakwa gagal membawa keterangan yang mencukupi untuk mensabitkan tertuduh. Akibatnya, tertuduh dibebaskan. Tetapi ianya tidak bermakna yang tertuduh tidak bersalah. Pembebasan tertuduh tidak bermakna bahawa mangsa telah membuat aduan palsu, ia hanya bermakna bahawa pihak pendakwa raya telah gagal membuktikan kesnya ketahap keraguan munasabah.

Undang-undang Hudud yang diluluskan oleh kerajaan Terengganu juga dengan jelas melanggar prinsip keadilan yang utamakan oleh Islam. Sebagai contoh, seorang Islam yang terlibat dalam jenayah curi akan dipotong tangannya tetapi orang bukan Islam hanya akan dihukum penjara. Penjenayah bukan Islam pula diberi pilihan bebas sama ada hendak dibicarakan di bawah undang-undang hudud ataupun tidak. Ini bermakna bahawa jika difikirkannya bahawa ia akan dibebaskan di bawah undang-undang hudud, dia akan memilih undang-undang hudud, dan jika difikirkannya bahawa ia akan disabitkan, ia akan memilih undang-undang lain pula. Ketidakselarasan ini hanya akan menimbulkan konflik serta ketidakpuasan hati pelbagai pihak dan bukannya keadilan dalam masyarakat kita yang berbilang agama.

Kami percaya bahawa kesedaran kerohanian dan pendidikan moral adalah senjata paling berkesan untuk membenteras gejala sosial dikalangan masyarakat, dan bukannya hanya melalui hukuman berat. Islam mengajar kita supaya mengasihi sesama manusia dan tidak menggalakkan sikap tergopoh-gapah hendak menghukum orang lain. Sifat Allah swt sendiri adalah Maha Penyayang dan Maha Mengasihani, dan ini ditekankan didalam al-Qur'an. Dengan itu, kami menyeru semua pihak supaya tidak menggunakan Hudud untuk mendapatkan populariti dan sokongan politik semata-mata kerana ianya akan mencemarkan imej Islam.

Sisters In Islam