Tuduhan Dan Fitnah Di Persidangan Agung UMNO
17hb November 2006
Kami merujuk kepada beberapa kenyataan yang telah dibuat berkenaan Sisters In Islam sepanjang persidangan agung UMNO baru-baru ini. Kami ingin merakamkan kekecewaan kami terhadap beberapa ahli UMNO yang sanggup menyebarkan fitnah dengan membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dan berdasarkan maklumat yang diputarbelitkan.
Tuduhan-tuduhan palsu seperti ini sebenarnya bukannya perkara baru dan sememangnya sesuatu yang anih dan pelik apabila sebarang usaha untuk membincangkan isu keadilan di dalam Islam diputarbelitkan sebagai ‘mencabar Islam’. Kami kecewa terhadap sikap ‘pemimpin-pemimpin’ ini yang tanpa segan silu sanggup menyenyapkan suara-suara kaum wanita dan agama-agama lain semata-mata untuk meraih sokongan umum.
Pada masa YAB Perdana Menteri giat menggalakkan setiap warga Malaysia supaya menilai sikap sendiri, dan juga menyeru agar kita aktif dalam menegakkan nilai-nilai murni seperti sikap toleransi dan mengelakkan sikap melampau, kenyataan-kenyataan dari akar umbi partinya sendiri pula sama sekali tidak mencerminkan sikap toleransi mahupun kesederhanaan. Sebaliknya kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan sarat dengan sikap ‘chauvinist’ dan bahasa keras.
Setiap hari SIS tidak putus-putus menerima panggilan dari kaum wanita dari segenap lapisan masyarakat, yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan hidup. Atas dasar hakikat inilah SIS telah berusaha dengan gigih dan tabah untuk membantu wanita-wanita yang meminta bantuan dan berusaha agar pindaan perundangan dibuat demi menegakkan hak-hak wanita. Antara lain, SIS dengan jayanya telah berjuang supaya wanita Islam diberi hak saksama dalam menandatangani borang-borang persekolahan anak-anak dan borang-borang rawatan perubatan di mana bapa mereka telah meninggalkan dan mengabaikan keluarga mereka. Sebelum ini, wanita Islam yang terabai langsung tidak diberikan hak ini.
SIS juga telah berganding bahu dengan persatuan-persatuan wanita yang lain untuk memastikan undang-undang melindungi wanita digubal dan dilaksanakan, contohnya dengan memastikan setiap insan di Malaysia dilindungi di bawah Akta Keganasan Rumahtangga, termasuk wanita Islam yang sebelum itu hampir-hampir tidak tergolong dalam senarai warga yang dilindungi dari keganasan rumahtangga.
Berkat usaha SIS dan persatuan wanita yang lain jugalah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam Artikel 8(2) kini mengharamkan diskriminasi terhadap wanita. Dalam pelbagai memorandum kepada Kerajaan Malaysia , SIS telah mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk memastikan Mahkamah Syariah memberikan keadilan yang sewajarnya kepada kaum wanita. Apabila kami membantah pindaan-pindaan mendiskriminasi kepada Undang-undang Keluarga Islam, kesemua Senator wanita, termasuk Senator-senator wanita dari PAS telah menyokong kempen kami kerana sedar masalah yang dihadapi oleh wanita Islam akan bertambah runcing. Jadi, bagaimanakah SIS dikatakan ‘mencabar dan menghina undang-undang Syariah”? Hanya kerana sekadar menuntut keadilan?
Kami amat terkilan bahawa ada dikalangan ‘pemimpin-pemimpin’ di persidangan agung kali ini yang sengaja mengapi-apikan sentimen dengan niat buruk, yakni untuk memperlekehkan usaha murni pelbagai persatuan di negara ini untuk menegakkan nilai-nilai keamanan, toleransi dan keadilan. Kami menjemput sesiapa sahaja yang prihatin terhadap hakikat sosial sebenar di Malaysia agar menyalurkan semangat mereka untuk membantu kumpulan dan persatuan-persatuan masyarakat madani dalam menghadapi cabaran masakini di Malaysia .
Norhayati Kaprawi
Sisters in Islam