Monogami TIDAK Bertentangan Dengan Islam
18 Mac 2003

Gabungan Hak Wanita Dalam Islam kesal dengan sikap para Mufti dan pihak-pihak lain yang menentang Kempen Monogami kami. Mereka telah salah faham dan menyalah anggap usaha kami ini. Izinkan kami menjelaskan pendirian kami:

1. Kami percaya bahawa amalan monogomi mengikut kehendak hukum syarak.
2. Kami percaya bahawa poligami dibenarkan hanya dalam keadaan tertentu sahaja.
3. Kami percaya bahawa monogami adalah bentuk perkahwinan paling sempurna dalam Islam. Surah an-Nisa' 4: 3 menyatakan: "jika kamu khuatir tidak akan berlaku adil, maka berkahwinlah satu sahaja."
4. Kami tidak menuntut supaya poligami diharamkan.
5. Kami meminta supaya wanita yang tidak sanggup hidup berpoligami diberi pilihan untuk menuntut cerai ta'liq. Dalam sebuah hadith sahih, Nabi Muhammad s.a.w. tidak membenarkan menantunya Ali ibn Abi Talib (r.a.) berkahwin dengan perempuan lain kecuali jika Ali menceraikan puteri Rasullulah (s.a.w.), Fatimah. Cicit Rasullulah (s.a.w) Sakinah binti Hussain, cucu kepada Ali dan Fatimah, meletakkan berbagai syarat dalam perjanjian perkahwinannya, termasuklah syarat bahawa suaminya tidak boleh berkahwin lain selagi masih berkahwin dengannya.
6. Kami meminta supaya Jabatan-jabatan Agama dan Mahkamah Syariah menubuhkan prosedur untuk menentukan bahawa amalan poligami di negara ini memenuhi tuntutan keadilan Islam, termasuklah:

· Penubuhan pendaftaran kebangsaan perkahwinan dan perceraian Islam berkomputer untuk membolehkan wanita mengesan taraf perkahwinan lelaki yang bakal mereka kahwini.

· Isteri yang memilih untuk meneruskan perkahwinannya dalam keadaan berpoligami diberi hak harta sepencarian mereka dan menentukan supaya pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak sedia ada ditetapkan dengan adil dan boleh dikuatkuasakan, sebelum kebenaran untuk berpoligami diberikan atau didaftarkan.

· Surat ta'liq sekarang seharusnya ditambah dengan ta'liq pilihan membolehkan isteri menuntut perceraian jika suaminya berkahwin lagi, tanpa persetujuannya. Prosedur untuk mendapatkan muta'ah, harta sepencarian dan nafkah untuk anak-anak harus juga dipermudahkan untuk mengatasi kelengahan yang akan menyebabkan kesusahan kepada anak-anak dan bekas isteri.

· Mahkamah patut menubuhkan prosedur untuk menguatkuasa dengan tegas ke empat-empat syarat berpoligami yang ditetapkan oleh Undang-undang Keluarga Islam yang sedia ada. Bukti bertulis yang kukuh serta bukti-bukti lain bagi memastikan bahawa setiap permohonan berpoligami memenuhi empat sedia ada:

- perkahwinan yang dicadangkan itu adalah adil dan perlu;
- keupayaan kewangan untuk menangung semua isteri dan orang tangungan sedia ada dan akan datang;
- kemampuan untuk bersikap adil kepada semua isteri;
- perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syarie atau menganiayai isteri yang sedia ada dari segi agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, dan harta benda.

· Mahkamah harus menentukan bahawa tidak terdapat permohonon berpoligami atau pendaftaran berpoligami yang diluluskan tanpa pengetahuan isteri sedia ada.

· Bahawa borang permohonan untuk berpoligami harus dipinda untuk menggambarkan bahawa permohonan adalah untuk berpoligami dan bukan untuk berkahwin seperti yang ada sekarang.

Kami juga ingin menyatakan bahawa sejak 1996 lagi, Sisters In Islam dan kumpulan wanita lain telah menghantar beberapa memorandum kepada Kerajaan untuk menentukan supaya wanita Islam dilayan dengan adil di bawah Undang-undang Keluarga Islam. Malangnya, tujuh tahun telah berlalu tanpa respon yang diharapkan daripada pihak berkuasa.

Masanya telah tiba untuk pihak kerajaan berbincang dengan pertubuhan-pertubuhan wanita untuk mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan yang dihadapi oleh wanita dalam sistem syariah.

Gabungan Hak Wanita Dalam Islam