Kenyataan pihak berkuasa Terengganu yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia 23 Mei 2002, bahawa ia bersedia menangguhkan pembentangan rang undang-undang "hudud" ke sesi persidangan pada bulan Julai untuk membuat pindaan tertentu kepada peruntukan-peruntukannya berdasarkan maklum balas dan pandangan beberapa pihak adalah sangat menggalakkan. Kami ingin memaklumkan bahawa kajian semula yang mendalam dan menyeluruh mengenai konsepnya juga patut diadakan. Selama ini, kerajaan negeri PAS di Terengganu dan Kelantan sentiasa mendakwa bahawa versi undang-undang "hudud" mereka adalah Hukum Allah swt.
Hakikatnya, terdapat beberapa percanggahan ketara di antara beberapa peruntukan yang dicadangkan itu dengan apa yang tertulis dan dimaksudkan di dalam al-Qur'an dan hadith sahih yang boleh menimbulkan berbagai keraguan. Ini termasuklah keraguan tentang kesesuaian peruntukan-peruntukan lain di dalam cadangan tersebut dengan semangat dan maksud sebenar sumber-sumber suci Hukum Syara'.
Kita perlu memahami bahawa terdapat perbezaan di antara sumber-sumber undang-undang Islam yang telah diwahyukan - dalam kitab suci al-Qur'an - dan sumber-sumber yang bukan diwahyukan, tetapi merupakan hasil tafsiran dan pendapat para ulama' dari kalangan manusia. Sebahagian besar daripada sejarah perundangan Islam ialah hasil daripada usaha manusia dan bukannya diwahyukan. Pembentukan dan perkembangan undang-undang Islam berlaku melalui beberapa abad dan menerusi berbagai proses.
Pembentukan empat mazhab Ahl-ul-Sunnah itu bermula sekurang-kurangnya 100 tahun selepas kewafatan Rasulullah saw. Untuk memastikan sistem undang-undang yang adil berdasarkan kepada prinsip-prinsip Islam yang berkekalan, asas dan menyeluruh, kajian dan penyelidikan yang teliti, halus dan terperinci perlulah dijalankan keatas peruntukan-peruntukan yang dicadangkan dalam undang-undang "hudud" itu. Adalah amat menyedihkan sekali kerana hukum-hukum al-Qur'an yang bertujuan untuk melindungi semua anggota yang mematuhi undang-undang dalam masyarakat pada amnya, dan kaum wanita khususnya, telah diselewengkan menjadi peruntukan undang-undang yang membawa kepada akibat yang berlawanan di beberapa negara Islam yang kononnya mendakwa melaksanakan hukum jenayah syariah. Peruntukan-peruntukan yang dicadangkan dalam rang undang-undang itu juga patut diteliti semula dalam konteks hak-hak kemanusiaan Islam yang menyeluruh.
Perlu diingatkan bahawa pengampunan dan sifat penyayang Allah swt seringkali disebut dan ditekankan dalam kitab suci al-Qur'an. Misalnya selepas ayat-ayat mengenai hukuman bagi sariqah atau mencuri (dalam Surah al-Maidah), zina dan qazaf (dalam Surah an-Nur), pengampunan Allah swt telah disebut:
orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (Surah Al-Maidah 5 :39, Surah An-Nur 24 : 5).
Patutkah manusia dan institusi buatan manusia terburu-buru untuk menghukum apa yang mungkin diampun oleh Allah swt yang Maha Pengampun dan Mengasihani? Mungkin boleh ditanya atas alasan apakah manusia itu begitu angkuh hendak menghukum sesama manusia, tanpa memikirkan kuasa pengampunan Allah swt? Kalaupun pemimpin itu ikhlas dan berniat baik, dan kalaupun hukuman itu dilaksanakan atas dasar perundangan sah, dan melalui institusi keadilan yang berkelayakan dan berkebolehan (yang seringkali bukan sebaik itu dalam dunia yang serba tidak sempurna ini), kita patutlah berhati-hati dan berwaspada sebelum terburu-buru untuk mengenakan hukuman.
1. Sisters in Islam
2. All Women's Action Society (AWAM)
3. Association of Women Lawyers (AWL)
4. Wanita Ikram, Persatuan Komuniti Ikram, Kuala Lumpur
5. Majlis Pertubuhan Ibu-Ibu Tunggal Malaysia
6. National Council of Women's Organisatioms (NCWO)
7. Wijadi
8. Women's Aid Organisation (WAO)
9. Women's Candidacy Initiative (WCI)
10.Women's Crisis Center (WCC)
11.Women Development Collective (WDC)