Pindaan terbaru terhadap Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini yang melarang sebarang bentuk diskriminasi berdasarkan gender membawa satu cabaran kepada Mahkamah Syariah dan juga pihak berkuasa Agama di Malaysia bagi mengambil langkah untuk menghentikan sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita Islam di dalam Islam di dalam undang-undang dan juga amalan yang dilakukan atas nama Islam.
Hak untuk kesamarataan dari segi undang-undang dan kesamarataan dari segi perlindungan undang-undang dan kini untuk tidak didiskriminasi berdasarkan gender adalah satu jaminan Perlembagaan untuk dinikmati oleh kesemua rakyat Malaysia, samada yang beragama Islam ataupun yang bukan beragama Islam.
Sister in Islam percaya bahawa tiada apa-apa jua peruntukan dalam Perlembagaan ini yang bercanggah dengan Islam, suatu agama yang memegang prinsip kesamarataan dan keadilan untuk semua.
Dalam usaha untuk memenuhi tuntutan daripada jaminan Perlembagaan ini, Sisters in Islam melancarkan kempen untuk mengakhiri kelewatan dan ketidakadilan yang dialami oleh wanita di Mahkamah Syariah di dalam prosedur penceraian.
Maslah ini bukanlah sesuatu yang baru dan wanita Islam hari ini mahukan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap mereka dihentikan. Kami mengakui yang Undang-undang Keluarga Syariah di Malaysia membolehkan wanita mendapatkan ceraimelalui ta'liq dan juga menyediakan 12 alasan yang berlainan untuk membolehkan wanita mendapatkan penceraian melalui fasakh. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan dalam perlaksanaan undang-undang yang telah menyumbang kepada kelewatan dan ketidakadilan yang dialami oleh wanita Islam. Ini termasuklah:
1. Gender bias dalam sikap Mahkamah
Ketika kaum lelaki tidak mengahadapi sebarang halangan dalam mendapatkan penceraian, Mahkamah didapati kerap bersikap enggan untuk memberikan penceraian kepada wanita tanpa persetujuan suami mereka walaupun alas an untuk penceraian adalah jelas. (lihat kes Aida, Esah dan Siti). Apabila wanita yang memohon penceraian, Mahkamah didapati begitu bersungguh untuk mempertahankan kesucian sesuatu perkahwinan walaupun perkahwinan tersebut memang sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Bagaimanapun, sikap ini tidak pula menghalang proses penghakiman di Mahlkamah jika lelaki yang inginkan penceraian.
2. Kelemahan dalam prosedur
- Mahkamah begitu menekankan kepada penggunaan peguam walaupun undang-undang membenarkan wanita untuk membela diri sendiri.
- Mahkamah juga begitu menekankan kepada proses perundingan walaupun kedua-dua belah pihak telah pun gagal untuk mencapai sebarang persetujuan melalui perundingan. Mahkamah juga begitu menekankan kepada kehadiran suami dan membenarkan beberapa penangguhan ke atas kes-kes hanya kerana ketidaknhadiran suami di Mahkamah.
3. Sesi Kaunseling
Sesi kaunseling yang dianjurkan oleh Jabatan Agama adalah tidak wajib di bawah undang-undang, tetapi wanita adakalanya dikehendaki untuk menghadiri sesi tersebut sebelum kes mereka didengarkan di Mahkamah, walaupun di dalam kes di mana si suami adalah seorang yang ganas dan juga telah dijatuhkan hukuman penjara (lihat kes Esah).
4. Masalah dengan peguam
Wanita kadang-kadang menerima nasihat yang tidak sepatutnya daripada peguam yang menyuruh mereka supaya pulang semula kepada suami. Oleh sebab itu, wanita merasakan peguam mereka berada di pihak suami dan bukannya di pihak mereka. Wanita juga menghadapi masalah dengan kos peguam yang tinggi apabila kes mereka ditangguhkan. Wanita yang tidak mampu untuk mendapatkan khidmat peguam swasta terpaksa pergi ke Biro Bantuan Guaman (BBG) untuk bantuan. Kekurangan peguam dan kakitangan di BBG telah menyebabkan masalah kes tertangguh dan kelewatan kes ke Mahkamah menjadi lebih serius.
5. Kekurangan Maklumat
Wanita selalu dituduh jahil tantang hak-hak mereka sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan juga tahlil tentang prosedur yang betul dalam membuat permohonan cerai. Wanita tidaklah boleh dijangka untuk mengetahui kesemua soal teknikal di dalam undang-undang tersebut dan kurangnya maklumat dalam sesetengah prosedur asas ( seperti mengisi borang yang betul dan sebagainya) telah menyebabkan kes-kes ini tertangguh.
6. Kelemahan dalam pentadbiran
Kelewatan juga disebabkan oleh kelemahan dalam system pentadbiran contohnya kesukaran dalam mendapatkan salinan sijil perkahwinan yang diperlukan oleh mahkamah sebelum kes dapat didengar di Mahkamah.
Kami juga mengiktiraf langkah-langkah positif yang telah diambil oleh Jabatan Kehakiman Syariah di bawah Dato' Sheikh Ghazali melalui Arahan Amalan yang dikeluarkan kepada Mahkamah Syariah bagi mengurangkan masalah kelewatan. Contohnya, Arahan Amalan No.2 tahun 2001 ada menyatakan bahawa kes hendaklah disebut dalam tempoh 21 hari selepas kes difailkan dan Arahan Amalan No.4 tahun 2001 pula menyatakan bahawa penangguhan kes hanya dibenarkan dengan adanya alasan yang munasabah dan tarikh perbicaraan seterusnya hendaklah diberi. Namun begitu, kami begitu mengambil berat tentang keberkesanan perlaksanaan ke atas arahan-arahan ini.
Berikut adalah cadangan-cadangan daripada pihak kami dalam usaha untuk membantu menyelesai atau mengurangkan masalah kelewatan dalam prosedur penceraian.
Proses dan Prosedur
1. Selaraskan prosedur di semua Mahkamah Syariah untuk mengatasi masalah-masalah dan kekeliruan yang disebabkan oleh kurangnya keselarasan.
2. Sesi kaunseling hendaklah secara sukarela dan bukannya satu kemestian dan hendaklah dijalankan oleh kaunselor yang berkelayakan dan mempunyai kepekaan gender. Masa untuk sesi ini perlulah dihadkan (3-6 bulan sahaja).
3. Prosiding ringkas perlu disediakan untuk kes Ta'liq sebagaimana yang disediakan untuk kes Talaq.Dalam kes perselisihan keterangan, pengakuan bersumpah daripada isteri yang suaminya telah melanggar mana-mana perjanjian perkahwinan dalah sepatutnya mencukupi bagi Hakim untuk memberikan penceraian kepada isteri.
4. Cerai, apabila sudah disabitkan oleh Mahkamah, adalah tidak layak untuk dirayu. Walaupun rayuan terhadap penolakan sesuatu permohonan cerai dibenarkan, tetapi di dalam kes di mana cerai sudah disabitkan, rayuan sepatutnya hanya dibuat terhadap isu-isu sampingan sahaja.
Perlantikan Hakim dan juga Pegawai
5. Tambahkan bilangan Hakim Syariah dan Pegawai Mahkamah termasuk dengan melantik hakim wanita. Insentif yang lebih baik sepatutnya diadakan bagi menarik lebih ramai orang yang layak untuk memegang jawatan-jawatan tersebut.
6. Kursus kepekaan gender dijalankan bagi Hakim, Hakim Syariah dan Pegawai Mahkamah.
Nasihat guaman
7. Tambahkan jumlah pegawai di Biro Basntuan Guaman
8. Menubuhkan satu badan seperti Majlis Peguam Syariah untuk mengawasi peguam Syariah dan juga untuk menyediakan satu tempat untuk menyelesaikan masalah klien.
9. Menyediakan ruang untuk menubuhkan satu Klinik Bantuan Guaman di Mahkamah untuk membantu wanita yang mewakili diri sendiri.
Kami begitu berharap yang pindaan terbaru kepada Perlembagaan Persekutuan akan menjadi satu langkah utama di dalam proses untuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita Islam di dalam undang-undang dan juga praktis untuk merealisasikan prinsip kesamarataan dan keadilan yang termaktub di dalam ajaran Islam.
Sisters In Islam