Kenyataan Akhbar Bersama: Tindakan JAIS Terhadap Penyanyi
29 Jun 2000

Kami daripada pelbagai agama dan kepercayaan dalam pergerakan wanita, ingin menyuarakan perasaan kebimbangan kami terhadap satu tren yang menunjukkan peningkatan dalam sikap yang tidak toleran lagi mendiskriminasikan wanita dengan menggunakan nama Islam. Unsur-unsur diskriminasi dicerminkan dalam pandangan undang-undang, dasar, kenyataan dan tindakan pihak kerajaan, parti pembangkang, penguatkuasa hal-ehwal agama dan juga di kalangan golongan fanatik dalam masyarakat.

Tindakan JAIS terhadap penyanyi Azlina Abbas dan 14 orang wanita lain yang berada dalam Restoran "The Ship" merupakan yang terbaru dalam siri tindakan oleh pihak penguatkuasa hal-ehwal agama Islam yang menonjolkan kegagalan mereka untuk mentadbir keadilan di bawah nama Islam. Mereka telah melanggar prinsip kesaksamaan antara lelaki dan wanita serta Perlembagaan Malaysia yang memperakui bahawa hak setiap orang adalah sama dari sisi undang-undang negara ini.

Tindakan JAIS baru-baru ini sekali lagi memaparkan pengamalan pendakwaan yang pilihkasih dalam melaksanakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah. Penyanyi wanita tersebut telah didakwa, namun tidak ada seorang pun ahli kumpulan lelaki yang didakwa; para pekerja perempuan Bangladesh juga didakwa, tetapi tidak ada seorang pun pelanggan lelaki yang didakwa. Pada tahun 1997, di bawah enakmen yang sama, JAIS telah menahan tiga gadis muda Melayu, mendakwa dan mendenda mereka dengan memberi alasan bahawa mereka bertiga berpakaian tidak senonoh and juga dianggap telah melanggar fatwa yang mengharamkan wanita Muslim daripada menyertai pertandingan ratu cantik. Namun demikian, JAIS tidak pula mengambil sebarang tindakan terhadap lelaki Melayu yang memakai seluar mandi sekeping dan mendedahkan tubuh badan mereka yang berkilauan dalam satu pertandingan "Mr. Malaysia" yang telah dianjurkan pada masa yang sama.

Berdasarkan rekod penguatkuasaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, ia menunjukkan bahawa golongan yang paling lemah atau tidak keberdayaan (disempowered) dan terpinggir (marginalised) daripada masyarakat sering sahaja tertakluk kepada pendakwaan kesalahan.

Kami amat perihatin dan bimbang akan impak daripada tindakan sedemikian terhadap hak dan kebebasan asasi kami sebagai warga Malaysia. Penguatkuasa hal-ehwal keagamaan semakin meleluasa membentuk segala dimensi kehidupan kami di Malaysia kini.

Kami amat mengambil berat terhadap sifat agama yang tiada toleransi kerana lama-kelamaan ia akan menjejas hubungan kaum dalam negara ini. Kami, Muslim dan bukan Muslim, tidak ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang mengamalkan kebudayaan dan keagamaan bersifat aparteid. Kami tidak boleh terima keadaan yang menyebabkan wanita Islam di Malaysia terpaksa hidup dalam ketakutan dan ditindas manakala wanita yang bukan Muslim dapat menikmati hak kewarganegaraan yang sama dengan lelaki. Kami amat bimbang bahawa perkembangan lingkungan pantang larang dalam kehidupan wanita Muslim kita yang lama kelamaan akan menjejaskan warisan kepelbagaian budaya kita yang kaya di negara ini.

Pergerakan wanita amat perihatin terhadap tren sejak beberapa tahun ini yang menunjukkan pertambahan dalam tindakan-tindakan yang tidak toleran, juga bersifat konservatisme dan diskriminasi terhadap wanita Muslim di negara ini. Ini termasuk antaranya:

" Pindaan terbaru kepada Akta Penjagaan Budak yang memberikan wanita bukan Muslim hak yang setara dengan kaum lelaki dalam status penjagaan kanak-kanak tetapi menafikan hak sedemikian untuk wanita Muslim kita.
" Usaha oleh sesetengah golongan daripada pihak berkuasa hal-ehwal agama untuk mencegah pelaksanaan Akta Keganasan Rumahtangga bagi kaum Muslim.
" Pelaksanaan Enakmen Hudud di Kelantan yang melarang wanita menjadi saksi dan menganggap wanita hamil yang belum berkahwin telah melakukan perbuatan zina meskipun ada kemungkinan dia hanya mangsa rogol.
" Beberapa pindaan kepada Enakmen Keluarga Islam yang menjejaskan lagi kedudukan wanita. Antaranya termasuklah:

- perkahwinan poligami walaupun tanpa kebenaran mahkamah boleh didaftar secara sah setelah membayar jumlah denda yang minima.
- penceraian yang dilafazkan di luar mahkamah boleh didaftarkan secara sah setelah membayar jumlah denda yang minima.
- hak wanita untuk nafkah hidup boleh dilucutkan sekiranya dia berlaku nusyuz (iaitu mengingkari perintah suami mengikut undang-undang yang sedia ada).
- hanya ibu dan bukannya bapa kepada anak luar nikah yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk nafkah hidup anak tersebut.

" Banyak syarat-syarat di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah tidak mempunyai asas tekstual ataupun amalan sejarah Islam. Tambahan pula, ia melanggar prinsip asas demokrasi dan kebebasan sivil (civil liberties) bagi warga Malaysia sepertimana yang telah diperakui oleh Perlembagaan Persekutuan. Antaranya termasuklah:
- fatwa-fatwa telah dikuatkuasakan sebagai undang-undang secara automatis apabila fatwa tersebut diwartakan tanpa melalui proses penggubalan perundangan diParlimen atau Dewan Undangan Negeri.
- sebarang pelanggaran fatwa yang telah berkuatkuasa, sebarang usaha untuk membantah/memperdebatkan atau mengemukakan pendapat yang bertentangan dengan fatwa tersebut juga dianggap melakukan suatu kesalahan jenayah.
- memiliki apa-apa buku atau bahan penerbitan atau rakaman yang bertentangan dengan Hukum Syarak merupakan suatu kesalahan.
- Berkelakuan tidak sopan di tempat awam merupakan suatu kesalahan. Apa yang dimaksudkan sebagai 'berkelakuan tidak sopan' tidak pula dijelaskan.

" Selalu terdapat tajuk perbincangan di radio, televisyen dan dalam komuniti yang mempromosikan poligami, menghina wanita sebagai manusia yang rendah tarafnya, dan mengekalkan stereotaip 'gender' tanpa mengakui realiti-realiti perubahan dalam kehidupan wanita masa kini.

" Tindakan vigilante di luar undang undang oleh kumpulan-kumpulan tertentu di universiti, tempat kerja, dan juga di tempat awam yang hanya sering mengganggu wanita Muslim yang tidak menutup aurat, mereka yang bergaul dengan bukan Muslim dan mereka yang mengambil bahagian dalam aktiviti yang melibatkan interaksi lelaki dengan wanita. Kami menerima aduan bahawa gadis-gadis Melayu di sebuah universiti tempatan telah diberitahu mereka dianggap berdosa sekiranya menunjukkan aurat kepada gadis-gadis bukan Muslim yang berkongsi bilik dengan mereka. Ini dilakukan untuk menghindari gadis-gadis Islam daripada berkongsi bilik dengan gadis-gadis bukan Muslim.

Wawasan Islam yang di pegang oleh ramai daripada mereka dalam gerakan Islam, baik dalam kerajaan atau luar, selalunya bercanggah dengan prinsip-prinsip asas Islam yang berdasarkan keadilan, kesaksamaan dan kebebasan. Mereka senang sahaja menuduh golongan yang mencabar sifat yang tidak toleran dan interpretasi yang keterlaluan ini sebagai orang kafir atau orang yang akidahnya telah menyeleweng. Seringkali, mereka berselindung di sebalik kesucian Islam untuk menghalang orang lain daripada menyuarakan pendapat dan mencabar pandangan mereka.

Kami menggesa pihak Kerajaan dan semua parti politik untuk mempertimbangkan secara serius implikasi sedemikian yang hanya akan menggalakkan sifat tidak toleran dan diskriminasi dalam masyarakat majmuk. Semua pihak perlu mengambil tindakan segera untuk menghentikan tren ini.

Kita seharusnya memulakan satu dialog terbuka lagi rasional mengenai apakah bentuk rupa agama Islam dan negara Malaysia untuk generasi anak-anak kita. Setiap warga berhak untuk menyertai dialog ini, tidak kira lelaki atau wanita, golongan Muslim atau bukan Muslim. Kita semua berhak menentukan masa depan negara kita.

Sisters In Islam