Poligami - Hak Isteri Pertama Dilindungi
1 Nov 2002

Soalan:

SAYA telah berkahwin selama 10 tahun dan mempunyai dua anak. Suami telah berpoligami tanpa pengetahuan saya.
Setelah dia berpoligami, kehidupan saya dan anak-anak telah diabaikan. Dia jarang pulang ke rumah. Kami tidak diberi nafkah yang secukupnya.

Saya tidak bekerja dan bergantung hidup pada suami. Justeru, saya terpaksa meminjam daripada rakan-rakan dan keluarga. Bagaimanapun, kehidupan madu saya amat selesa.

Soalnya, adakah tindakan suami saya berkahwin lain tanpa pengetahuan saya menyalahi undang-undang?
Bolehkah saya membuat apa-apa tuntutan walaupun kami tidak bercerai?
- Che Syura, Pulau Pinang

Jawapan:

Untuk pengetahuan puan, kes puan boleh dirujuk di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 1985 kerana puan menetap di sana.

Bagaimanapun, selepas membaca fakta kes yang puan berikan terdapat dua perkara yang boleh saya jelaskan iaitu;
1. Prosedur poligami
Sekiranya perkahwinan tersebut berlangsung di Malaysia maka terdapat syarat yang perlu dipatuhi antaranya, setiap lelaki Islam yang mahu berpoligami perlu memohon kebenaran Mahkamah Syariah untuk tujuan tersebut.

Ini telah diperuntukan oleh Seksyen 23 enakmen berkenaan yang menetapkan kelulusan Hakim Mahkamah Syariah sebagai syarat wajib. Dalam kes ini, suami puan gagal mendapat kebenaran itu maka tindakannya telah melanggar peruntukan Seksyen 23 enakmen berkenaan.

Suami puan boleh didakwa di bawah Seksyen 123 enakmen yang sama. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya dalam keadaan di mana suami puan berpoligami di luar negara, maka perkahwinan tersebut haruslah didaftarkan di Malaysia.

Sebelum pendaftaran poligami dibenarkan, perkahwinan tersebut haruslah disahkan terlebih dahulu oleh Mahkamah Syariah. Suami puan akan dipanggil untuk dibicara.

Keperluan untuk membuat pengesahan dan pendaftaran perkahwinan itu termaktub di bawah Seksyen 25 dan 31 enakmen berkenaan.

Sekiranya sabit kesalahan, maka suami puan boleh didakwa di bawah Seksyen 35 enakmen yang sama yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Pada kedua-dua perbicaraan ini, puan tidak menjadi pihak yang terbabit kerana prosesnya melibatkan pengesahan perkahwinan poligami dan bukan permohonan untuk berpoligami.

2. Hak isteri pertama
Seperti yang puan nyatakan, puan tidak mahu memohon perceraian. Ini tidak bermakna bahawa puan tidak boleh memohon apa-apa perintah mahkamah mengenai hak ke atas perkahwinan puan. Walaupun suami puan sudah berpoligami, hak puan sebagai seorang isteri masih boleh dituntut di bawah enakmen tersebut.

Adalah tidak wajar bagi suami yang telah berpoligami untuk tidak mengendahkan tanggungjawabnya ke atas isteri pertama dan keluarga. Puan boleh memohon untuk meminta nafkah dan hak puan daripada suami.

Seksyen 56 memberikan kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan suami membayar nafkah kepada isteri sedia ada. Ini dapat memastikan bahawa suami akan membayar nafkah dengan baik. Saya ingin menyarankan agar puan memohon bayaran nafkah melalui potongan gaji suami bagi memastikan beliau tidak ingkar dengan perintah mahkamah.

Seksyen tersebut juga menyatakan bahawa adalah menjadi kewajipan bapa untuk menanggung nafkah anak dengan jumlah yang munasabah mengikut kemampuan dan taraf kehidupan bapa. Nafkah ini termasuk tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran.

Untuk permohonan ini, puan perlu meminta jumlah yang diperlukan anak-anak untuk mereka menjalani kehidupan seharian. Puan boleh menyediakan satu jadual yang dapat menunjukkan kepada mahkamah perbelanjaan anak-anak puan. Ini dapat membantu mahkamah agar memberi satu jumlah yang munasabah sebagai nafkah kepada anak.

Puan juga boleh memohon Mahkamah Syariah untuk memberi puan hak penjagaan anak seperti yang dibenarkan di bawah Seksyen 81 yang menyatakan bahawa ibu adalah yang paling berhak untuk menjaga anak kecilnya.
Suami yang telah berpoligami harus memberi layanan yang sama rata ke atas isteri sedia ada.

Pastikan suami puan berlaku adil terhadap puan seperti giliran tinggal bersama puan dan anak-anak pada setiap minggu, pada hari perayaan, musim cuti persekolahan dan sebagainya. Bagi tujuan ini satu perjanjian boleh dibuat di mahkamah berhubungan perkara tersebut.

- Panel Peguam Sisters In Islam.
- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25, Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my