Wang Edah Diberi Selepas Perceraian
2 Ogos 2002

Soalan:

Saya telah berkahwin selama 23 tahun dan mempunyai tiga orang anak. Suami saya telah melafazkan talak satu di hadapan anak sulung kami dua bulan lalu. Sehingga kini dia masih enggan memberitahu Jabatan Agama kerana katanya `kita selesai di antara kita'. Dia telah memberi wang berjumlah RM500 melalui anak saya untuk diberikan kepada saya. Menurutnya wang itu adalah wang edah.

Soalan saya, apakah talak telah jatuh? Apakah saya perlu ke Jabatan Agama dan bolehkah saya meminta wang edah yang lebih?
-Juliana Aziz, Pahang.

Jawapan:

Puan, menurut Mazhab Shafie, talak akan jatuh sebaik sahaja ia dilafazkan. Melihatkan keadaan puan, bolehlah dinyatakan di sini bahawa suami telah berniat untuk menjatuhkan talak kerana dia telah tidak membuat apa-apa tindakan untuk rujuk. Talak ini adalah talak rajie iaitu talak yang boleh dirujuk.

Adalah menjadi satu kesalahan bagi suami puan kerana telah melafazkan talak di luar mahkamah. Beliau boleh didenda menurut Seksyen 124 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, di mana jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Puan haruslah melaporkan perceraian ini ke Jabatan Agama tanpa perlu menunggu suami. Puan akan terus dianggap telah berkahwin sekiranya perceraian tidak direkodkan. Ini akan memberi masalah pada masa hadapan sekiranya puan mahu berkahwin lagi.

Perbicaraan di mahkamah adalah untuk mengesahkan perceraian tersebut. Dari segi undang-undang, puan akan dianggap masih berkahwin sehingga mahkamah telah mengesahkan perceraian tersebut.

Setelah perbicaraan pengesahan selesai barulah mahkamah akan menentukan isu-isu berbangkit seperti nafkah edah, nafkah mutaah, hak penjagaan anak dan lain-lain.

Puan berhak untuk mendapat nafkah edah. Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda bermkasud; Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya, (Riwayat Ahmad dan An-Nasa'l).'' Ini juga adalah menurut Surah At-Talak, ayat 6 bermaksud; Berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kami dari kekayaan kamu. Ia juga telah diperuntukkan dalam Akta di dalam Seksyen 59(1).

Hak ke atas nafkah ini hanya akan gugur sekiranya suami puan mempunyai apa-apa bukti yang kuat menunjukkan bahawa puan telah nusyuz. Ia adalah menurut seksyen 59 (2).

Jumlah nafkah edah yang harus diberikan akan ditentukan oleh Mahkamah. Tiada satu jadual yang tetap kerana ia adalah bergantung kepada keupayaan suami puan.

Nafkah tersebut mestilah mencukupi untuk menanggung hidup puan semasa dalam tempoh edah. Nafkah edah ini akan berterusan sehingga tempoh edah tamat iaitu selama tiga bulan atau tiga kali kitar haid. Ini adalah menurut Surah al-Baqarah, ayat 228.

Semasa perbicaraan, puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan jumlah nafkah edah yang lebih, di mana puan perlu membuktikan bahawa nafkah sebanyak RM500 adalah tidak mencukupi.

Selain daripada nafkah edah, suami puan juga perlu menyediakan tempat tinggal kepada puan. Hak puan ini hanya akan lupus selepas tempoh edah dan tidak boleh dituntut selepas tempoh berlalu.

Ini adalah berdasarkan kes Noor Bee lawan Ahmad Sanusi (1978) yang menetapkan hak nafkah edah jika tidak dijelaskan semasa edah maka ia menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya. Tetapi jika tempat kediaman tidak dituntut maka hak itu akan terluput.

Puan juga boleh memohon hak ke atas mutaah, harta sepencarian, hak penjagaan anak dan nafkah anak.
Merujuk kembali kepada masalah puan, perlu dinyatakan bahawa puan masih belum bercerai di mata undang-undang dan masih dianggap sebagai isteri yang sah.

Oleh itu pemberian wang edah yang telah diberikan sebenarnya bukan wang edah dari segi undang-undang.
Pembayaran wang edah hanya akan bermula setelah mahkamah mengesahkan perceraian tersebut dan permulaan bayaran hanya akan bermula selepas tarikh perceraian.

Suami puan wajib membayar wang edah selepas perceraian disahkan oleh Mahkamah Syariah. Sekiranya suami enggan ia dianggap sebagai hutang dan boleh dituntut.

- Panel Peguam Syarie Sisters In Islam
Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25, Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my