Wang Edah - Suami Wajib Bayar
3 Mei 2002

Soalan:

SAYA telah berkahwin selama 23 tahun dan mempunyai 3 orang anak. Suami saya telah melafazkan talak satu kepada saya di hadapan anak sulung kami, dua bulan yang lalu.

Sehingga kini dia masih enggan memberitahu Jabatan Agama kerana katanya; ``Kita selesai di antara kita.'' Dia telah memberi wang RM500 melalui anak saya untuk diberi kepada saya. Menurutnya, wang itu adalah wang edah.
Adakah talak telah jatuh? Adakah saya perlu ke Jabatan Agama? Bolehkah saya meminta wang edah yang lebih?
- Juliana Aziz, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Menurut mazhab Shafie, talak akan jatuh sebaik sahaja ia dilafazkan. Melihatkan keadaan puan bolehlah dinyatakan di sini bahawa suami puan telah berniat untuk menjatuhkan talak kerana dia tidak membuat apa-apa tindakan untuk rujuk. Talak ini adalah talak rajie iaitu talak yang boleh dirujuk.

Adalah menjadi satu kesalahan bagi suami puan kerana telah melafazkan talak di luar mahkamah. Beliau boleh didenda mengikut Seksyen 124 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Puan haruslah melaporkannya ke Jabatan Agama tanpa perlu menunggu suami. Puan akan terus dianggap telah berkahwin sekiranya perceraian tidak direkodkan dan ini akan memberi masalah pada masa hadapan sekiranya puan akan berkahwin lagi.

Perbicaraan di mahkamah adalah untuk mengesahkan perceraian tersebut. Dari segi undang-undang, puan akan dianggap masih berkahwin sehingga mahkamah mengesahkan perceraian tersebut. Setelah perbicaraan pengesahan selesai, barulah mahkamah akan menentukan isu-isu berbangkit seperti nafkah edah, nafkah mutaah, hak penjagaan anak dan lain-lain.

Mengenai edah, puan memang berhak mendapatnya. Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya. (Riwayat Ahmad dan An-Nasa'l).

Hak ke atas nafkah ini hanya akan gugur sekiranya suami puan mempunyai apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa puan telah nusus, Ia adalah menurut Seksyen 59(2).

Jumlah nafkah edah yang harus diberikan akan ditentukan oleh mahkamah. Tiada satu jadual yang tetap kerana ia adalah bergantung kepada keupayaan suami puan. Nafkah tersebut mestilah mencukupi untuk menanggung hidup puan semasa dalam tempoh edah.

Nafkah edah akan berterusan sehingga tempoh edah tamat iaitu selama tiga bulan atau atau tiga kali kitaran haid. Ini adalah menurut surah al-Baqarah, ayat 228. Semasa perbicaraan, puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan jumlah nafkah edah yang lebih di mana puan perlu membuktikan bahawa nafkah edah sebanyak RM500 itu adalah tidak mencukupi.

Selain nafkah edah, suami puan juga perlu menyediakan tempat tinggal. Hak puan hanya akan lupus selepas tempoh edah dan tidak boleh dituntut selepas tempoh itu berlalu.

Ini berdasarkan kes Noor Bee lawan Ahmad Sanusi (1978) yang menetapkan hak nafkah edah jika tidak dijelaskan semasa edah, maka ia akan menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya. Tetapi jika tempat kediaman tidak dituntut, maka hak itu akan luput.

Merujuk kembali kepada masalah puan, perlu dinyatakan bahawa puan masih belum bercerai dari segi undang-undang dan masih dianggap isteri yang sah. Justeru, pemberian wang RM500 daripada suami sebenarnya bukan wang edah dari segi undang-undang.

- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam No. 25, Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya atau telefon 03-7960 4485 atau faks 03-7960 4737 e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my