Pemberian Wang Edah - Bermula Selepas Perceraian
4 Oktober 2002

Soalan:

SUAMI saya telah melafazkan cerai talak satu di hadapan ibu saya tiga bulan yang lalu. Kami telah berkahwin selama 15 tahun dan mempunyai anak seramai empat orang.

Walau bagaimanapun, sehingga kini dia masih tidak membuat laporan ke pejabat agama kerana menurutnya lafaz talak adalah sah dan tidak perlu dibicarakan. Dia hanya memberi RM300 sebagai wang edah. Adakah saya perlu membuat laporan ke Pejabat Agama? Bolehkah saya memohon wang edah yang lebih walaupun saya telah menerima wang sebanyak RM300 yang diberinya?
- Maimon Isa, Kuala Terengganu.

Jawapan:

Puan, menurut Mazhab Shafie, talak akan jatuh sebaik sahaja ia dilafazkan. Melihatkan permasalahan puan, boleh dinyatakan di sini bahawa suami puan telah berniat untuk menjatuhkan talak kerana dia tidak membuat apa-apa tindakan untuk merujuk.

Talak ini adalah di bawah kategori talak rajie iaitu talak yang tidak boleh dirujuk.
Suami puan juga telah melanggar undang-undang kerana telah melafazkan talak di luar Mahkamah. Dia boleh didenda mengikut Seksyen 124 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Sekiranya dia didapati bersalah kerana melafazkan talak tanpa kebenaran Mahkamah, dia boleh dihukum denda tidak lebih dari seribu ringgit (RM1,000) atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Puan tidak perlu untuk menunggu suami puan melaporkan perceraian ini ke Jabatan Agama. Puan boleh pergi sendiri untuk membuat laporan. Puan akan dianggap masih berkahwin sehinggalah Mahkamah telah mengesahkan perceraian tersebut. Setelah perbicaraan pengesahan selesai, barulah mahkamah akan menentukan isu-isu berbangkit seperti nafkah edah, nafkah mutaah, hak penjagaan anak dan lain-lain.

Antara hak wanita yang telah diceraikan adalah nafkah edah. Puan sememangnya berhak untuk mendapat nafkah edah tersebut.

Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya (Riwayat Ahmad dan An-Nasa'l). Ini juga adalah menurut Surah al-Talak, ayat 6, Berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kamu dari kekayaan kamu'.

Ia juga telah diperuntukkan di dalam Akta di bawah Seksyen 59 (1) yang memberi Mahkamah kuasa untuk memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada bekas isterinya.

Jumlah nafkah edah yang harus diberi akan ditentukan oleh Mahkamah. Tiada satu jadual yang tetap kerana ia adalah bergantung kepada keupayaan suami puan. Nafkah tersebut mesti mencukupi untuk menanggung hidup puan semasa dalam tempoh edah.

Puan boleh mengemukakan tuntutan edah dengan menyatakan perbelanjaan puan dan Mahkamah akan memberi perhatian. Nafkah edah ini akan berterusan sehingga tempoh edah tamat iaitu selama tiga bulan atau tiga kali kitar haid.

Selain dari nafkah edah, suami puan juga perlu menyediakan tempat tinggal kepada puan. Hak puan ini hanya akan lupus selepas tempoh edah dan tidak boleh dituntut selepas tempoh berlalu.

Ini adalah berdasarkan kes Noor Bee lawan Ahmad Sanusi (1978) yang tidak menetapkan hak nafkah edah jika tidak dijelaskan semasa edah maka ia menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya. Tetapi jika tempat kediaman tidak dituntut maka hak itu akan terluput.

Selain dari nafkah edah, puan juga mempunyai hak ke atas mutaah, harta sepencarian, hak penjagaan anak dan nafkah anak.

Merujuk kembali kepada masalah puan, perlu dinyatakan bahawa puan adalah masih belum bercerai di mata undang-undang dan masih dianggap sebagai isteri yang sah.

Oleh itu pemberian wang edah sebanyak RM300 yang telah diberikan adalah sebenarnya bukan wang edah dari segi undang-undang. Pembayaran wang edah hanya akan bermula setelah mahkamah mengesahkan perceraian tersebut dan permulaan bayaran hanya akan bermula selepas tarikh perceraian.

Suami puan wajib membayar wang edah, selepas perceraian disahkan oleh Mahkamah Syariah. Sekiranya suami enggan ia akan dianggap sebagai hutang dan boleh dituntut.

- Panel Peguam Sisters In Islam.