Perkahwinan - Isteri Berhak Ikat Janji
5 Julai 2002

Soalan:

SAYA akan berkahwin pada Disember 2002. Saya telah diberitahu oleh ibu bapa saya bahawa saya patut membuat perjanjian perkahwinan sebagai tambahan kepada perjanjian taklik yang sedia ada. Adakah ini dibenarkan dan apakah syarat yang boleh dimasukkan dalam perjanjian tersebut?
-Tamsila Ali, Kuala Lumpur

Jawapan:

Perjanjian yang dibuat sebelum perkahwinan adalah dibenarkan dalam Islam kerana ia bertujuan menjamin hak dan kepentingan pihak isteri sekiranya beliau diceraikan.

Sebagaimana firman Allah Taala di dalam surah al-Nisa ayat yang bermaksud: Dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz (atau sikap tidak acuh) dari suamimu, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benar, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka), walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kamu bergaul dengan isteri secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz) maka sesungguhnya Allah maha mengetahui yang kamu kerjakan.

Sehubungan itu, wanita boleh membuat perjanjian sebelum perkahwinan dalam perkara tertentu demi menjamin hak beliau dengan lebih terperinci.

Islam menyebutnya sebagai taklik di mana syarat-syarat tertentu diberikan oleh pihak perempuan kepada lelaki sekiranya ingin berkahwin dan ia akan mengikat kedua belah pihak.

Dalam Surat Perakuan Nikah pengantin di Malaysia, ia hanya terhad kepada syarat suami tidak memberi nafkah selama empat bulan atau lebih, suami meninggalkan isteri dan suami mencederakan dan menyakiti isteri.

Jika perjanjian tersebut diingkari, pihak yang menuntut boleh menuntut di mahkamah syariah terhadap pihak yang melanggar perjanjian. Dengan kata lain, isteri berhak mendapat cerai dalam keadaan tertentu sekiranya suami melanggar syarat yang telah dipersetujui oleh mereka dalam perjanjian yang dikenali sebagai Tafwid al-Talaq.
Selain syarat yang disebut di dalam Surat Perakuan Nikah tersebut, perjanjian lain yang dibuat oleh seorang perempuan sebelum berkahwin dibolehkan dalam Islam.

Perjanjian ini boleh dikuatkuasa di mahkamah kerana ia mengikat di antara pihak-pihak yang dipertikai.
Perjanjian itu juga mestilah disetemkan dan disaksikan oleh saksi-saksi yang adil dan boleh dipercayai. Bagaimana pun, syarat yang dikenakan pada masa perkahwinan mestilah sesuatu yang sah seperti mas kahwin, nafkah dan cara hidup yang baik.

Misalnya, perempuan berkahwin dengan syarat suaminya tidak akan membawanya dari tempat di mana dia tinggal.
Dengan ada perjanjian tersebut, suaminya tidak berhak membawa isteri berpindah melainkan dengan persetujuan isteri.

Jika terdapat janji bahawa isteri mempunyai kuasa untuk menceraikan dirinya sendiri, maka isteri dikira mempunyai kuasa untuk berbuat demikian jika suami tidak memenuhi janji.

Selain itu, butir-butir perjanjian yang boleh dibuat oleh seseorang wanita sebelum perkahwinan ialah berkaitan dengan hak harta, maskahwin dan pemberian, poligami, hadhanah dan nafkah anak-anak, tebus talak atau khuluk dan mutaah.

Hak harta berkenaan berapakah nafkah yang akan diberikan selepas bercerai serta hak wanita bersuami untuk memperolehi, memegang dan melupuskan mana-mana harta dari semua segi sebagaimana perempuan bujang.
Wanita juga boleh membuat perjanjian tentang harga sepencarian di bawah hak harta.

Bagi mas kahwin dan pemberian pula, seksyen 21 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) mempastikan hak wanita terhadap perkahwinan yang mana pemberian dicatat dengan teratur dan dapat dipastikan dengan tepat jika ia dibayar dan membuat tuntutan jika tidak.

Dari segi poligami, Seksyen 23 memperuntukan secara jelas bahawa lelaki yang ingin berpoligami harus mendapat persetujuan bertulis daripada hakim syarie dan beliau perlu mematuhi beberapa syarat.

Dalam hal ini, bakal isteri boleh membuat perjanjian sekiranya selepas perkahwinan suami ingin berkahwin lain berkaitan harta, kewajipan beliau, masa giliran dan lain-lain. Begitu juga dengan Hadhanah dan nafkah anak-anak, tebus talak atau khuluk dam mutaah yang mana isteri boleh meletakkan syarat atau janji di dalam taklik.

- Tetuan Zulkifli Yong Azmi & Co.