Kaveat - Cara Lindungi Harta Sepencarian
6 September 2002

Soalan:

Saya telah bercerai dengan suami dan kini akan memfailkan tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah. Saya telah keluar dari rumah kelamin kami dan kini tinggal bersama ibu saya. Saya akan membuat tuntutan harta sepencarian ke atas rumah itu. Saya mendapat tahu bahawa bekas suami saya ingin menjual rumah berkenaan, tetapi dia telah menafikan apabila saya bertanya kepadanya. Bagaimana saya boleh melindungi hak saya supaya rumah itu tidak dijual tanpa pengetahuan saya?
- Maimon Hamzah, Selangor.

Jawapan:

Puan boleh melindungi hak puan ke atas hartanah tersebut dengan membuat satu pendaftaran kaveat. Ia adalah satu bentuk perlindungan yang diberi oleh sesiapa yang mempunyai hak berdaftar (registrable interest) ke atas sesuatu hartanah.

Kaveat merupakan satu pendaftaran hak di mana hak tersebut akan tertera di atas geran tanah. Apabila satu kaveat telah didaftarkan, pemilik berdaftar hartanah tidak boleh membuat sebarang bentuk jual beli atau mencagar hartanah berkenaan kepada sesiapa.

Bagaimanapun, puan harus menyatakan sebab mengapa kemasukan kaveat adalah perlu. Di dalam kes puan rumah tersebut adalah hak yang boleh didaftarkan dan puan mempunyai kepentingan ke atasnya, di mana Mahkamah Syariah boleh memutuskan bahawa ia sebagai kes harta sepencarian.

Lazimnya, dalam perjanjian jual beli hartanah, satu carian akan dilakukan ke atas geran hartanah bagi memastikan kesahihan pemilikan hartanah tersebut.

Carian ini akan dilakukan di Pejabat Tanah di mana hartanah tersebut telah didaftarkan. Pembeli hartanah akan dimaklumkan mengenai hak puan ke atas tanah tersebut dan bahawa suami puan adalah terhalang daripada membuat sebarang jual beli tanpa penyelesaian dari mahkamah.

Sesuatu jual beli tidak boleh diteruskan sekiranya terdapat halangan daripada pemilik hartanah untuk menjual hartanah tersebut. Oleh itu, hak puan akan terpelihara. Puan boleh memastikan Pejabat Tanah yang betul dengan merujuk kepada geran tanah.

Seksyen 322 Kanun Tanah Negara telah memperuntukkan pendaftaran kaveat yang menyatakan ``sesiapa yang mempunyai kepentingan yang boleh didaftarkan bolehlah memasuki suatu kaveat persendirian untuk melindungi kepentingan mereka.''

Puan perlu mengisi Borang 19B. Borang tersebut harus dilampirkan bersama Akuan Bersumpah untuk didaftarkan di pejabat tanah. Akuan Sumpah haruslah dilakukan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan dinyatakan sebab mengapa kaveat harus didaftarkan.

Puan boleh menyatakan mengenai tunggakan proses permohonan harta perceraian puan sebagai alasan untuk permohonan kemasukan kaveat. Terdapat perbezaan pembayaran bagi permohonan kemasukan kaveat. Puan harus merujuk kepada Pejabat Tanah yang berkenaan.

Sebagai contoh, sekiranya hartanah tersebut adalah di negeri Selangor, bayaran RM80 akan dikenakan. Jika hartanah adalah di Wilayah Persekutuan maka bayaran RM300 harus diberi.

Bagaimanapun, sesebuah kaveat hanya berkesan sehingga enam tahun dari tarikh ia didaftarkan. Setelah kaveat luput tempohnya maka puan harus memohon kemasukan semula kaveat dengan membuat satu permohonan baru.
Puan boleh memasukkan kaveat setiap enam tahun di mana tiada had dikenakan kecuali jika suami puan mengambil tindakan mahkamah untuk mengeluarkan kaveat tersebut.

- Panel Peguam Sisters In Islam
Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-79604485 atau faks 03-79604737 atau melalui e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my