Suami Penagih Pil Khayal - Isteri Boleh Mohon Cerai Taklik
9 Ogos 2002

Soalan:

SAYA telah berkahwin selama lima tahun dan mempunyai tiga orang anak. Rumah tangga saya tidak bahagia kerana suami saya adalah penagih pil khayal. Dia enggan mengubah tabiatnya dan ini menyebabkan rumah tangga kami tidak bahagia.

Saya telah mengambil segala usaha bagi membetulkan perjalanan hidup suami saya tetapi semuanya mendukacitakan. Saya ingin menuntut cerai kerana hidup saya dan anak-anak terseksa. Suami saya telah menyatakan bahawa dia enggan menceraikan saya. Bolehkah saya menuntut perceraian dari suami saya melalui mahkamah walaupun suami saya enggan menceraikan saya?
-Maria Daud, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Puan menetap di Wilayah Persekutuan, undang-undang yang terpakai bagi masalah puan ialah Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Walaupun suami puan telah menegaskan bahawa beliau enggan menceraikan puan tetapi puan boleh menuntut perceraian dengan merujuk ke Mahkamah Syariah.

Puan boleh menuntut perceraian atas dasar taklik. Perceraian taklik ialah perceraian yang boleh dituntut oleh isteri apabila suami telah mengingkari syarat-syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin.

Terdapat hadis Rasulullah s.a.w yang menyatakan syarat yang paling patut dipenuhi olehmu ialah yang menjadikan persetubuhan (dengan isterimu) halal (untukmu). (Sahih Muslim, Kitab al-Nikah, Sunan Abu Dawud, Kitab al Nikah)
Perceraian taklik juga boleh dituntut oleh isteri berdasarkan Surah al-Maidah 5:1 yang bermaksud Hai orang-orang beriman, penuhilah akad-akad (perjanjian-perjanjian ) itu.

Di negara kita, syarat-syarat tertentu pada amnya dimasukkan dalam surat perakuan taklik dalam borang yang ditetapkan bersama dengan surat perakuan nikah. Puan haruslah merujuk kepada surat perakuan taklik tersebut di antara puan dan suami bagi memastikan syarat-syarat taklik puan.

Puan kemudian bolehlah merujuk kepada Mahkamah mengenai syarat-syarat ini dan membuat permohonan di bawah seksyen 50.

Kalaupun puan tidak mempunyai surat taklik sedemikian atau tidak dapat membuat tuntutan perceraian taklik, puan masih boleh memohon perceraian melalui fasakh. Fasakh ialah perceraian yang boleh dipohon oleh pihak isteri atas salah satu alasan yang diperuntukkan di bawah undang-undang (seksyen 52(1) a hingga (1), ia adalah termasuk alasan bahawa suami tidak diketahui berada di mana lebih daripada satu tahun, suami tidak memberi nafkah selama tempoh tiga bulan, suami dihukum penjara tiga tahun atau lebih, suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian.

Juga suami telah gila selama tempoh dua tahun atau menghidap penyakit kusta atau vitilago atau penyakit kelamin yang boleh berjangkit, suami menganiaya isteri, izin isteri kepada perkahwinan itu tidak sah dan apa-apa lagi alasan yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak. Maka puan bolehlah menuntut perceraian di atas mana-mana sebab tersebut.

Alasan-alasan yang luas bagi perceraian fasakh adalah diterima pakai daripada pandangan mazhab Maliki. Mazhab Maliki membenarkan alasan-alasan yang luas bagi membolehkan isteri menuntut fasakh, berdasarkan ayat al-quran dalam Surah al-Baqarah yang bermaksud Berbaiklah dengan cara yang ma'ruf atau bercerailah dengan cara yang baik.
Penggunaan mazhab Maliki adalah boleh diterima oleh Mahkamah kita berdasarkan kepada seksyen 2. Semasa melalui proses ini puan perlu untuk menjalani proses kaunseling. Ini juga telah diperuntukan dalam seksyen 47(5) hingga (14), dan seksyen 48 bagi penubuhan jawatankuasa pendamai dan hakam.

Mengenai masalah puan bahawa puan dan anak-anak telah dizalimi, perlu diteliti maksud penganiayaan tersebut.
Walaubagaimanapun, puan harus prihatin bahawa proses perceraian bukanlah begitu mudah dan dan boleh menjadi sukar jika tuntutan perceraian taklik dibuat oleh pihak isteri dan pihak suami pula membuat tuduhan nusus terhadap isteri.

Peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam juga hanya melihat kepada nusus isteri.
Justeru, Puan haruslah banyak bersabar apabila menjalani proses perceraian ini.

- Peguam Syarie Sisters In Islam, No 25, Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya 03-79604485 email: bantuanguaman@sistersinislam.org.my