Nafkah Anak - Suami Boleh Diseret ke Mahkamah
11 Oktober 2002

Soalan:

SAYA telah bercerai dengan suami lapan tahun yang lalu di Shah Alam, Selangor. Kami mempunyai dua orang anak lelaki berusia 10 dan 15 tahun serta anak perempuan berusia tujuh tahun.

Hak penjagaan anak telah diberikan kepada saya dan suami sepatutnya membayar nafkah anak. Tetapi sehingga kini, dia tidak pernah membayar apa-apa kepada saya. Bolehkah saya menuntut nafkah yang telah tertunggak dan apa-apa perintah untuk memastikan bayaran nafkah dihantar kepada saya setiap bulan.

Suami juga sering mengugut untuk mengambil hak penjagaan anak sekiranya saya berkahwin lagi. Bolehkah dia berbuat demikian?
- Sheila Dali, Shah Alam, Selangor.

Jawapan:

Merujuk kepada soalan, puan telah bercerai dengan suami lapan tahun yang lalu. Bagaimanapun, puan tidak nyatakan sama ada perceraian tersebut disahkan oleh Mahkamah Syariah atau tidak.

Bagi menghuraikan masalah puan, rujukan akan dibuat berdasarkan Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan dan beberapa situasi akan diberikan sebagai panduan.

Situasi pertama ialah jika puan telah bercerai di luar mahkamah dan ia tidak pernah disahkan, maka puan perlulah terlebih dahulu membuat permohonan pengesahan cerai di Mahkamah Syariah.

Ini diikuti dengan permohonan perintah hak penjagaan anak (hadanah) serta nafkah anak yang tertunggak dan akan datang.

Tunggakan nafkah anak boleh dituntut bermula dari tarikh kegagalan bekas suami memberi nafkah sama ada selepas bercerai mahupun sebelum tempoh itu.

Ia hendaklah mengikut umur atau perbelanjaan anak-anak dari bulan ke bulan atau tahun ke tahun. Sebagai contoh, tuntutan seorang anak lelaki ketika umurnya tiga tahun ialah RM200 sebulan. Apabila umurnya meningkat 13 tahun, mungkin jumlahnya RM400 sebulan kerana perbelanjaannya sudah meningkat. Puan juga boleh memohon agar jumlah tunggakan nafkah itu dibayar secara sekali gus, berperingkat atau secara ansuran bulanan.

Dalam situasi kedua, sekiranya puan telah mendapat perintah mahkamah Syariah untuk hak penjagaan anak dan nafkah tetapi bekas suami gagal mematuhinya, permohonan penguatkuasaan pelaksanaan boleh dibuat. Jika tunggakan nafkah itu diperintahkan agar dibayar secara ansuran bulanan, puan boleh memohon agar ia dibuat secara perintah tahanan pendapatan tenaga.

Mahkamah Syariah boleh mengeluarkan perintah kepada majikan bekas suami puan agar memotong gajinya setiap bulan dan diberikan terus kepada puan.

Selain itu, puan juga boleh memohon perintah penyitaan dan penjualan di mana Mahkamah Syariah boleh memerintahkan harta-harta milik suami disita dan dijual secara lelong.

Hasil wang jualan lelong tersebut setelah ditolak kosnya akan diberikan kepada puan untuk membayar tunggakan nafkah anak-anak.

Malah, puan juga boleh memohon perintah pengkomitan yang mengakibatkan bekas suami puan dipenjara atau kegagalannya dengan sengaja mematuhi perintah mahkamah.

Puan juga boleh memohon Mahkamah Syariah memerintahkan bekas suami mencagarkan apa-apa hartanya pada pemegang amanah bagi menjelaskan nafkah tersebut.

Mengenai hadanah, hak puan terhadap anak lelaki akan tamat apabila anak itu mencapai umur tujuh tahun. Bagaimanapun, tempoh itu boleh dilanjutkan dengan kebenaran Mahkamah Syariah sehingga usianya sembilan tahun.
Jika anak lelaki itu mencapai umur mumaiyiz (berkemampuan membuat keputusan membezakan antara yang baik dan buruk) maka anak itu berhak membuat pilihan sama ada untuk tinggal dengan ibu atau bapanya.

Umur mumaiyiz bagi kanak-kanak akan ditentukan oleh mahkamah kerana ia mungkin berbeza dari seorang kanak-kanak dengan yang lain.

Oleh itu, bagi kedua-dua anak lelaki puan, keputusan untuk mereka tinggal dengan siapa adalah di tangan mereka kerana mereka telah mencapai umur mumaiyiz.

Manakala hak penjagaan bagi anak perempuan akan tamat ketika anak perempuan itu berumur sembilan tahun dan boleh dilanjutkan dengan kebenaran Mahkamah Syariah sehingga 11 tahun.

Akan tetapi, jika Mahkamah Syariah mendapati anak perempuan puan telah mencapai umur mumaiyiz walaupun usianya lapan tahun, maka dia boleh menggunakan haknya memilih untuk tinggal sama ada dengan puan atau bekas suami puan.

Tambahan pula jika puan boleh membuktikan kepada Mahkamah Syariah bahawa perkahwinan puan itu tidak menjejaskan kebajikan anak perempuan puan.

Walau bagaimanapun, hak hadanah anak perempuan puan akan hanya terlucut jika terdapat perintah mengubahkan oleh Mahkamah Syariah.

Ini bermakna selagi bekas suami puan tidak membuat permohonan untuk mengubah perintah sedia ada dan perbicaraan mengenainya belum tamat dengan perintah baru maka puan masih berhak terhadap hadanah anak perempuan puan.

- Panel Peguam Sisters In Islam.