Cerai - Suami Lafaz Melalui SMS
12 Julai 2002

Soalan:

Suami saya telah menghantar pesanan melalui telefon (SMS) kepada saya yang menyatakan bahawa dia menceraikan saya. Perkara ini berlaku disebabkan oleh pertelingkahan kecil di antara kami dan suami sedang berada dalam keadaan yang amat marah. Dia kini menyatakan bahawa dia tidak sedar apa yang ditulisnya. Apakah talak telah jatuh? Sehingga kini saya masih belum membuat apa-apa pengaduan. Adakah saya perlu untuk melaporkannya ke Mahkamah Syariah?
- Shamsuriyah, Shah Alam, Selangor.

Jawapan:

Ikatan perkahwinan adalah rahmat Allah s.w.t. kepada hambanya. Ia telah digambarkan melalui surah Al-Baqarah: 187, Isteri kamu pakaian kamu, kamu pula pakaian mereka.

Pekara utama yang harus ditentukan di sini ialah sama ada talak telah jatuh melalui pesanan SMS. Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan sesuatu lafaz cerai. Ini adalah berdasarkan Seksyen 45 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Terdapat dua jenis perceraian iaitu perceraian di dalam (dengan izin) dan di luar (tanpa izin) mahkamah. Puan haruslah memohon pengesahan perceraian tersebut di bawah Seksyen 55A.

Seksyen tersebut memperuntukan mahkamah berkuasa untuk mengesah dan mendaftarkan perceraian yang berlaku di luar mahkamah.

Pihak mahkamah di dalam membuat pengesahan perceraian akan terlebih dahulu mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada lafaz talak itu adalah sah mengikut hukum syarak.

Sekiranya mahkamah berpuas hati mengenai lafaz cerai tersebut ia tertakluk di bawah Seksyen 124 untuk membuat perintah membenarkan perceraian, merekodkan dan memberitahu kepada pendaftar.

Berbalik kepada persoalan bagaimana hendak menentukan sah atau tidaknya sesuatu perceraian di luar mahkamah. Mahkamah akan melihat kepada rukun-rukun perceraian atau talak apabila sempurna kesemua rukun talak, sabit perceraian.

Asas mensabitkan berlaku atau tidak perceraian melalui pesanan SMS, ia memerlukan kepada keyakinan daripada suami bahawa beliau yang menulis pesanan secara sengaja, tanpa paksaan dan ditujukan khas kepada pihak isteri. Ini bertepatan dengan kaedah Fekah, iaitu tulisan tersebut adalah diiktibarkan syarak sama seperti perkataan yang dilafazkan.

Dalam perceraian, menjadi suatu kewajipan untuk menghilangkan sebarang perasaan was-was atau ketidakpastian dalam menjatuhkan talak. Jika wujud ketidakpastian dalam salah satu daripada kelima-lima syarat talak maka perceraian tersebut tidak jatuh.

Kebiasaannya mahkamah akan meminta suami melakukan sumpah syarie terhadap pesanan SMS yang dimaksudkan. Jika sabit kepastian melalui lafaz sumpahnya, maka jatuhlah talak tersebut.

Adalah menjadi tanggungjawab puan dan suami puan untuk berlaku jujur dalam perkara ini demi menghilangkan perkara-perkara syubahat yang sedang melingkari ikatan pernikahan puan.

Mengenai perceraian dalam keadaan marah, timbul perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai sama ada gugur atau tidak talak tersebut.

Mengikut sebahagian ulama jatuh talak yang dilafazkan dalam keadaan marah kerana perasaan marah tersebut masih boleh dikawal oleh seseorang.

Orang yang dalam keadaan marah tidak termasuk dalam golongan yang terkeluar daripada beban taklif.
Pendapat Ibnu Qayyim, beliau telah membahagikan keadaan marah ini kepada tiga keadaan yang berbeza dan turut berbeza hukum talak pada ketika itu.

Keadaan yang pertama, marah yang dapat dikawal perasaan dan fikiran sepenuhnya. Talak yang dilafazkan pada ketika ini dihukumkan jatuh.

Keadaan kedua, marah yang sampai ke tahap seolah-olah hilang akal, iaitu tidak sedar mengenai apa yang dia perkatakan. Talak yang dilafazkan pada ketika ini disepakati oleh Jumhur Ulama sebagai tidak gugur talak kerana ia disamakan dengan orang gila yang hilang akal dan tidak lagi memikul beban taklif.

Manakala keadaan ketiga, iaitu marah yang berada pada tahap antara tahap pertama dan kedua.
Marah pada tahap ini diperselisihkan ulama pada hukumnya dan perlu juga dilihat kepada aspek dalil serta mempertimbangkan suasana perceraian ini berlaku serta masalah dan kepentingan anak-anak.

Justeru, sebagai langkah untuk menentukan sama ada jatuh atau tidak lafaz perceraian dalam keadaan marah ini, hendaklah dipanjangkan kepada pihak Mahkamah Syariah.

Ini kerana mahkamah tersebut adalah berbidang kuasa untuk menentukan kesahan sesuatu lafaz perceraian yang dilafazkan dalam keadaan marah.

- Peguam Syarie Sisters In Islam