Perkahwinan - Wali Hakim Boleh Diguna
13 September 2002

Soalan:

Ibu bapa saya telah bercerai sejak saya berumur 10 tahun. Saya adalah anak tunggal mereka. Bapa tidak pernah mengendahkan kehidupan saya sejak perceraian.

Menurut ibu, bapa juga merupakan anak tunggal dan datuk saya telah meninggal dunia. Saya kini merancang untuk berkahwin pada tahun depan.

Saya tidak tahu di mana bapa saya berada kerana dia tidak pernah menghubungi saya. Saya telah dimaklumkan bahawa perkahwinan saya boleh berwalikan hakim. Apakah prosedur yang saya harus ikuti?
- Farah Diba, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Saudari, Seksyen 13, Enakmen Keluarga Islam (Selangor) 1984 menetapkan bahawa satu perkahwinan tidak akan didaftarkan tanpa persetujuan pasangan yang berkahwin dan tanpa kebenaran wali.

Dalam kes yang saudari hadapi, sekiranya tiada wali, tidak diketahui di mana wali berada atau wali enggan memberi kebenarannya, maka Hakim di Mahkamah Syariah boleh membenarkan perkahwinan secara wali hakim atau wali raja. Ini adalah termaktub dalam seksyen 13 (b).

Oleh kerana saudari menetap di Kuala Lumpur, saudari boleh merujuk ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Apa yang perlu saudari lakukan ialah mengisi borang permohonan untuk meminta kebenaran perkahwinan secara wali hakim.

Saudari juga perlu membawa dua orang saksi berserta salinan kad pengenalan mereka. Mereka akan mengesahkan kenyataan saudari mengenai hubungan antara saudari dan bapa saudari yang telah terputus sejak 10 tahun lalu tanpa berita.

Sekiranya saudari telah menjalani kursus perkahwinan maka salinan sijil tersebut haruslah dilampirkan bersama borang permohonan. Sekiranya saudari masih belum mengikuti kursus tersebut, permohonan masih boleh dilakukan.

Setelah saudari selesai menjalani kursus, sila kemukakan salinan sijil ke JAWI. Pihak JAWI akan mengemukakan laporan ke Mahkamah Syariah.

Saudari kemudiannya akan dipanggil ke Mahkamah untuk perbicaraan. Saksi saudari juga akan dipanggil bersama.
Mahkamah akan mengeluarkan perintah kebenaran perkahwinan secara wali hakim setelah mendengar kes saudari. Salinan perintah ini haruslah diberi semula kepada JAWI bagi proses seterusnya.

Oleh kerana proses ini mungkin mengambil masa yang agak lama, adalah dinasihatkan agar saudari membuat permohonan secepat mungkin bagi mengelakkan kelewatan pemberian kebenaran perkahwinan.

- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my