Ditinggal 10 Tahun - Suami Enggan Lafazkan Cerai
15 November 2002

Soalan:

Suami saya tidak balik ke rumah dari tahun 1990 dan dia sudahpun berkahwin lagi. Saya sendiri sudah 10 tahun tidak berjumpa dengannya.

Saya telah membuat tuntutan taklik pada 1994 dan tuntutan fasakh pada 1997. Fail kedua-dua tuntutan tersebut telah ditutup mahkamah dengan alasan saya telah menerima nafkah dari suami (hasil daripada fail 1994). Oleh itu, saya tidak boleh menuntut perceraian.

Suami telah berkata bahawa dia tidak akan menceraikan saya. Saya tidak boleh berterusan digantung tidak bertali. Saya mahu meneruskan kehidupan seperti orang lain. Apa yang patut saya lakukan sekarang?
- Farezah Moin, Seberang Prai, Pulau Pinang.

Jawapan:

Perkahwinan adalah sebahagian daripada sunah Rasulullah s.a.w yang dituntut ke atas setiap orang muslim yang berkemampuan untuk menunaikannya. Setelah seseorang itu berkahwin maka dituntut ke atas mereka untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab dan kewajipan hidup sebagai suami isteri.

Sesungguhnya, asas dan corak pembinaan sesebuah keluarga amat penting bagi kelangsungan dan keteguhan sesebuah perkahwinan.

Islam sendiri menggariskan sifat-sifat yang harus diberi keutamaan dalam memilih calon.
Perkahwinan sebenarnya adalah satu ikatan sah kasih sayang yang mengiktiraf sifat tabie manusia. Manusia dianugerah akal dan nafsu dan atas sifat ini manusia mempunyai ikhtiar, perasaan dan naluri untuk mencintai dan dicintai serta mencapai kebahagiaan.

Namun, ada rumah tangga yang dibina bermasalah dan tidak berpanjangan. Masalah ini boleh timbul daripada berbagai punca, sama ada disebabkan faktor keadaan atau kesesuaian dalam menyempurnakan tanggungjawab masing-masing.

Kebiasaannya banyak masalah boleh diselesaikan, namun ada juga yang tidak berminat mengusahakannya atas sebab tiada lagi kasih sayang dan perasaan saling menghormati antara pasangan.

Oleh kerana perkahwinan itu sendiri adalah satu ikhtiar maka Islam membenarkan perceraian. Dalam keadaan sesebuah perkahwinan itu tidak lagi membawa kebahagiaan setelah langkah perdamaian diusahakan, maka perceraian itu akan menjadi satu kewajaran.

Kaedah berumahtangga ada dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 321 yang bermaksud: Layanilah (isteri kamu) mereka itu secara baik atau pisahlah (isteri kamu) mereka itu secara baik.

Rasulullah s.a.w sendiri banyak memberi pengajaran dan teladan bagaimana cara berkomunikasi dengan isteri dengan cara yang baik.

Ini adalah sebahagian daripada prinsip sosial Islam yang tidak membenarkan para suami untuk menganiaya pasangan mereka seperti gantung tidak bertali.

Merujuk kepada masalah puan, ingin dijelaskan bahawa Kata-kata yang dikeluarkan suami puan tidak menghalang mahkamah untuk memfasakh perkahwinan puan, apa yang dihakimi ialah perlakuan cuai atau tidak bertanggungjawab suami dan lafaznya yang boleh membubarkan sesebuah perkahwinan.

Berhubung dengan kes taklik, syaratnya adalah bergantung kepada lafaz taklik. Taklik boleh dibuat dalam berbagai keadaan dan bentuk.

Sesuatu lafaz yang mengaitkan perceraian jika berlakunya sesuatu yang tertentu sama ada perbuatan, percakapan dan keadaan yang boleh membubarkan perkahwinan apabila berlakunya apa yang dikaitkan dengan perceraian itu.
Taklik sebegini tidak mudah untuk dibuktikan jika suami tidak mengakuinya apatah lagi lafaznya itu tidak dibuat secara bersaksi. Taklik juga tertakluk kepada syarat-syarat sah.

Jika taklik seperti di dalam surat perakuan taklik yang diamalkan sekarang maka permohonan itu mungkin ditolak kerana tidak ada bukti yang menyokong dakwaan bahawa suami puan tidak balik rumah melebihi empat bulan berturut-turut tanpa memberi nafkah zahir dan batin.

Pengakuan bahawa puan adalah menerima nafkah dalam tempoh di atas telah dengan sendirinya mengagalkan permohonan tersebut.

Perceraian secara taklik hendaklah mengikut prosedur yang ditetapkan. Sebagai Seksyen 50 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) memperuntukan bagaimana perceraian di bawah taklik boleh disahkan oleh Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Bagi permohonan perceraian secara fasakh, keadaan yang membolehkan perceraian atas kaedah sedemikian mestilah dibuktikan. Kemungkinan tiada keterangan bebas atau bukti yang ada tidak memuaskan hati mahkamah.
Keadaan yang dimaksudkan bolehlah dirujuk kepada Enakmen atau Akta Undang-Undang Keluarga Islam yang berkuatkuasa dan terpakai atas kes puan.

Sebagai contoh, Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) memperuntukkan keadaan-keadaan di mana seseorang isteri itu boleh menuntut fasakh daripada suaminya.
Jika sekiranya puan tidak berpuas-hati dengan perintah mahkamah maka bolehlah membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi. Notis rayuan hendaklah difailkan mengikut tempoh yang ditetapkan atau sila berhubung dengan peguam syarie bagi nasihat berhubung dengan prosedur mahkamah.

Jika masa telah lama berlalu dan keadaan yang dinyatakan di atas ada berlaku atau masih berlaku, puan boleh memfailkan permohonan baru untuk fasakh perkahwinan atau taklik (mengikut keadaan kes) dengan mengumpulkan bukti yang jelas seperti saksi mata, buku akaun, gambar dan lain-lain yang membolehkan mahkamah menerimanya sebagai keterangan atau bukti.

Jika proses pembubaran perkahwinan itu perlu disegerakan, puan boleh memfailkan permohonan tersebut berserta perakuan segera dengan memberi alasan-alasan kenapa ia perlu sedemikian.

Puan dinasihatkan mendapatkan khidmat guaman sama ada daripada Biro Bantuan Guaman atau Pusat Bantuan Guaman atau mana-mana peguam syarie bagi keterangan lanjut.

- Wan Ahmad Fauzi Husain
- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguman@sistersinislam.org.my