Mohon Cerai - Digantung Tidak Bertali
16 August 2002

Soalan:

Saya telah ditinggalkan oleh suami pada 1990 sewaktu sedang mengandung tujuh bulan dan selama itu tidak pernah berjumpa dengannya. Dia kini telah berkahwin lagi dan tidak pernah berjumpa dengan anaknya. Suami sehingga kini masih memberi wang nafkah yang amat kecil dan tidak pernah menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan ayah. Dia enggan menceraikan saya dan sanggup menggantung saya tidak bertali. Saya mahu dilepaskan daripada kezaliman ini. Apakah yang perlu saya lakukan?
- Felina Rais, Damansara, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Perkahwinan adalah sebahagian daripada sunnah Rasulullah s.a.w yang dituntut ke atas setiap orang Islam yang berkemampuan.

Setelah seseorang itu berkahwin, dituntut ke atas mereka untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab dan kewajipan hidup sebagai suami isteri. Sesungguhnya asas dan corak pembinaan sebuah keluarga amat penting bagi kelangsungan sesebuah perkahwinan.

Perkahwinan sebenarnya adalah satu ikatan sah kasih sayang yang mengiktiraf sifat tabie manusia yang mempunyai akal dan nafsu. Atas sifat ini manusia mempunyai ikhtiar, perasaan dan naluri untuk mencintai dan dicintai, serta mencapai kebahagiaan.

Namun, ada rumah tangga yang dibina bermasalah dan tidak berpanjangan. Banyak masalah boleh diselesaikan, namun ada juga yang tidak berminat mengusahakannya kerana tiada lagi kasih sayang dan perasaan saling menghormati.

Oleh kerana perkahwinan itu sendiri adalah satu ikhtiar maka Islam membenarkan perceraian. Dalam keadaan sebuah perkahwinan tidak lagi membawa kebahagiaan atau memberi dhrar setelah langkah perdamaian diusahakan, maka perceraian itu menjadi satu kewajaran.

Kaedah berumahtangga ada dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 321 bermaksud: Layanilah (isteri kamu) mereka itu secara baik atau pisahlah (isteri kamu) mereka itu secara baik. Puan boleh memohon perceraian dari mahkamah secara taklik atau fasakh. Kata-kata suami puan tidak menghalang mahkamah untuk membubarkan perkahwinan kerana apa yang dihakimi ialah perlakuan cuai atau tidak bertanggungjawab suami.

Berhubung dengan kes taklik, syaratnya adalah bergantung kepada lafaz taklik puan. Ia boleh dibuat dalam berbagai keadaan dan bentuk.

Sesuatu lafaz yang mengaitkan perceraian jika berlakunya sesuatu yang tertentu sama ada perbuatan, percakapan dan keadaan, boleh membubarkan perkahwinan.

Taklik sebegini tidak mudah untuk dibuktikan jika si suami tidak mengakuinya apatah lagi lafaznya itu tidak dibuat secara bertulis dan bersaksi.

Puan boleh merujuk kepada sijil perkahwinan puan untuk lafaz taklik ini.
Suami puan tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami melebihi empat bulan dan ini boleh dijadikan asas permohonan taklik puan. Puan boleh membawa saksi yang dapat mengesahkan perkara tersebut kepada mahkamah.

Perceraian secara taklik hendaklah mengikut prosuder yang ditetapkan iaitu Seksyen 50 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, yang memperuntukan bagaimana perceraian taklik boleh disahkan oleh Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Bagi permohonan perceraian secara fasakh, keadaan yang membolehkan perceraian atas kaedah sedemikian mestilah dibuktikan. Keadaan yang dimaksudkan boleh dirujuk kepada Enakmen atau Akta Undang-Undang Keluarga Islam yang berkuat kuasa dan terpakai ke atas kes puan.

Sebagai contoh, Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, yang memperuntukan keadaan di mana seseorang isteri boleh menuntut fasakh apabila:
- Suaminya tidak diketahui di mana dia berada untuk tempoh melepasi setahun.
- Suami telah cuai atau gagal untuk memberikan nafkah zahir selama tempoh tiga bulan.
- Suami dipenjarakan selama tempoh lebih tiga tahun.
- Suami gagal tanpa sebab yang munasabah untuk memberikan nafkah batin kepada isteri bagi tempoh tidak kurang dari setahun
- Suami melakukan kezaliman ke atas isteri seperti menyakiti isteri, membuat jahat dengan wanita lain, menghalang si isteri daripada melakukan ibadat dan sebagainya.
- Jika mempunyai isteri lebih daripada seorang, suami tidak melayani isteri berkenaan dengan adil mengikut syarak.

Sekiranya puan tidak berpuas hati dengan perintah mahkamah bolehlah membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi. Notis rayuan hendaklah difailkan.

Jika masa telah lama berlalu dan keadaan yang dinyatakan di atas ada berlaku atau masih berlaku, puan boleh memfailkan permohonan untuk fasakh perkahwinan atau taklik (mengikut keadaan kes) dengan mengumpulkan bukti yang jelas. Ini termasuklah saksi mata, buku akaun, gambar dan sebagainya yang membolehkan mahkamah menerima sebagai keterangan atau bukti.

Jika proses pembubaran perkahwinan ini perlu disegerakan, puan boleh memfailkan permohonan tersebut berserta perakuan segera dengan memberi alasan-alasan kenapa ia perlu sedemikian.

Puan dinasihatkan mendapatkan khidmat guaman sama ada daripa Biro Bantuan Guaman atau Pusat Bantuan Guaman atau mana-mana peguam syarie.

- Panel Peguam Syarie Sisters In Islam
Soalan boleh dikemukakan kepada Sister In Islam No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my