Perkahwinan - Tidak Boleh Dikenakan Paksaan
18 Oktober 2002

Soalan:

SAYA berumur 25 tahun dan telah menjalin hubungan dengan kekasih selama lima tahun. Dia tidak berpangkat tinggi tetapi cukup untuk menjalani kehidupan selepas berkahwin. Kami saling sayang menyayangi dan selama ini saya amat bahagia di sampingnya.

Masalahnya, keluarga tidak menyetujui perhubungan kami. Mereka mahu saya berkahwin dengan pilihan mereka. Bolehkah saya dipaksa berkahwin? Sekiranya saya berkahwin juga dengan pilihan hati saya, sudah tentu bapa tidak bersetuju untuk menjadi wali. Bolehkah saya terus berkahwin?
- Amara Diana, Bangsar, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Saudari menetap di Kuala Lumpur dan masalah yang ditanggung saudari perlu dirujuk di bawah Enakmen Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Seksyen 8 enakmen itu memperuntukkan tahap minimum umur bagi sesiapa yang ingin melangsungkan perkahwinan.

Bagi seorang wanita, tahap minimum umur adalah 16 tahun. Saudari telah melebihi tahap minimum yang diperlukan untuk berkahwin.

Manakala Seksyen 13 enakmen tersebut menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Akta tersebut melainkan kedua-dua belah pihak kepada perkahwinan tersebut bersetuju termasuk;
a) Wali perempuan bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut Hukum Syarak atau
b) Hakim syariah yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syariah itu, selepas penyiasatan yang wajar di hadapan semua pihak berkenaan memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu oleh wali Raja mengikut Hukum Syarak.

Persetujuan tersebut boleh diberi jika perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak.
Dalam kes ini, saudari telah dibenarkan untuk berkahwin menurut seksyen 8 tetapi perkahwinan tidak boleh dipaksa ke atas saudari. Satu perkahwinan yang dipaksa menurut Seksyen 13 adalah merupakan perkahwinan yang tidak akan diakui dan tiada pendaftaran akan dibenarkan.

Bagi menjawab pertanyaan pertama, saudari tidak boleh dipaksa berkahwin dengan pilihan keluarga sekiranya saudari tidak bersetuju ke atas perkahwinan tersebut.

Bagi soalan kedua, rujukan akan dilakukan ke atas Seksyen 13 (b) yang telah dinyatakan di atas. Ia menjelaskan bahawa perkahwinan hanya akan diakui dan didaftarkan sekiranya pihak yang akan berkahwin setuju dan wali juga bersetuju.

Bagaimanapun, sekiranya wali enggan untuk memberi kebenarannya maka Hakim di Mahkamah Syariah boleh membenarkan perkahwinan secara wali hakim atau wali raja.

Oleh kerana saudari menetap di Kuala Lumpur, saudari boleh merujuk ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Saudari perlu mengisi borang permohonan untuk meminta kebenaran perkahwinan secara wali hakim.
Saudari juga perlu membawa dua orang saksi beserta salinan kad pengenalan mereka.

Sekiranya saudari telah menjalani kursus perkahwinan maka salinan sijil tersebut haruslah dilampirkan bersama borang permohonan.

Jika sebaliknya, permohonan masih boleh dilakukan. Setelah saudari selesai menjalani kursus, sila kemukakan salinan sijil ke JAWI.

Pihak Jabatan akan mengemukakan laporan ke Mahkamah Syariah. Saudari akan dipanggil ke Mahkamah untuk perbicaraan bersama saksi-saksi.

Mahkamah akan mengeluarkan perintah kebenaran perkahwinan secara wali hakim setelah mendengar kes saudari. Salinan perintah ini haruslah diberi semula kepada JAWI untuk diproses.

Oleh kerana proses ini mungkin mengambil masa yang agak lama, adalah dinasihatkan agar saudari membuat permohonan secepat mungkin bagi mengelakkan kelewatan kelulusan perkahwinan.

Sebarang kemusykilan hantarkan kepada SIS No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my