Putus Tunang - Tuntut Ganti Rugi
18 November 2002

Soalan:

Saya telah melangsungkan pertunangan bersama kekasih saya pada tahun lalu. Perkahwinan kami sepatutnya dilangsungkan pada akhir November ini. Perhubungan kami berjalan dengan baik sekali dan saya tidak pernah curang. Namun, pada awal Oktober lalu, tunang saya telah menghantar rombongan untuk memutuskan tali pertunangan kami. Tunang saya tidak memberi apa-apa alasan dan cubaan saya untuk menghubunginya juga gagal.
Saya redha dengan apa yang telah berlaku, tetapi keluarga dan saya telah berbelanja bagi persiapan perkahwinan malah kad perkahwinan juga telah ditempah. Adakah apa-apa tuntutan yang boleh saya lakukan kini?
- Min Abdil, Melaka.

Jawapan:

Pertunangan secara khususnya tidak terdapat dalam Islam. Bagaimanapun, terdapat rujukan kepada pertunangan dalam Al-Quran dan hadis.

Pertunangan biasanya diadakan mengikut adat resam dalam sesebuah masyarakat di mana ia dianggap sebagai langkah permulaan kepada perkahwinan.

Adat pertunangan ini boleh diikuti selagi ia tidak bertentangan dengan Islam, selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Iman Ahmad bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: ``Sesuatu perkara atau perbuatan yang dianggap sebagai baik oleh masyarakat Islam adalah baik di sisi Allah.''

Pertunangan hanya satu perjanjian untuk mengadakan perkahwinan dan tidak mewujudkan perkahwinan itu dengan sendirinya. Oleh itu, mana-mana pihak berhak untuk membatalkan perjanjian jika ada sebab yang sah bagi membolehkannya berbuat demikian.

Sekiranya tiada sebab yang munasabah maka perjanjian seperti itu tidak harus dibatalkan berdasarkan Ayat Al-Quran Surah Al-Maidah (5):1 yang bermaksud: ``Wahai orang-orang yang beriman, tunaikan serta sempurnakan perjanjian-perjanjian kamu.''

Selain itu Nabi Muhammad s.a.w juga telah bersabda yang bermaksud: ``Orang-orang Islam terikat dengan perjanjian mereka dan perkara-perkara yang mana mereka telah bersetuju.''

Berkenaan pembatalan perjanjian pertunangan, Seksyen & Enakmen Kekeluargaan Islam Negeri Melaka 1983 telah menyatakan bahawa: Jika pasangan telah mengikat suatu kontrak pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, berseorangan atau melalui perantaraan, apabila suatu pihak enggan berkahwin tanpa sebab-sebab yang sahih maka dia bertanggungjawab memulangkan segala pemberian pertunangan.

Pihak yang dimungkiri juga boleh memohon tindakan mahkamah bagi meminta pihak yang mungkir janji membayar apa-apa juga wang yang telah dibelanjakan bagi membuat persediaan perkahwinan.

Dalam kes Aishah lawan Jamaludin (1978) J H 104, defendan telah mungkir perjanjian untuk berkahwin dengan plaintif. Dengan itu, plaintif telah menuntut pembayaran mas kahwin sebanyak RM25, belanja kahwin RM800, dan plaintif juga mendakwa bahawa berhak untuk menyimpan cincin pertunangan.

Mahkamah Kadi Besar Negeri Kedah telah memberi penghakiman kepada plaintif dan menentukan defendan membayar ganti rugi mengikut perjanjian pertunangan iaitu mas kahwin RM25 dan belanja kahwin RM800. Plaintif juga berhak untuk menyimpan cincin pertunangan.

Mahkamah juga telah memerintahkan defendan membayar plaintif RM25 bagi baju-baju yang telah disiapkan untuk perkahwinan itu dan RM400 sebagai pembayaran membaiki rumah. Rumah tersebut telah dibaiki sebagai persediaan untuk meraikan perkahwinan tersebut.

Berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 8, Enakmen Keluarga Islam Negeri Melaka 1983 dan kes Aishah lawan Jamaludin, maka saudari berhak untuk mendapatkan kembali pemberian-pemberian pertunangan (jika ada) atau nilainya.

Saudari juga berhak untuk menuntut ganti rugi terhadap apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati untuk membuat persediaan bagi perkahwinan, seperti kos menyediakan kad perkahwinan yang telah ditempah.
Jika saudari telah membelanjakan sejumlah wang bagi persiapan untuk perkahwinan, maka bayaran ini boleh dituntut daripada pihak lelaki sebagai ganti rugi.

Antara persediaan yang boleh dituntut adalah wang bagi kad jemputan perkahwinan yang telah ditempah, wang muka bagi jamuan perkahwinan dan apa-apa persediaan perkahwinan. Dalam perkara ini saudari berhak membawa tuntutan dengan memfailkan saman dan penyata tuntutan di Mahkamah Syariah.

- Kartini & Chan, Melaka