Poligami - Isteri Boleh Buat Rayuan di Mahkamah
19 July 2002

Soalan:

Saya telah berkahwin selama 17 tahun dan dikurniakan dua anak. Suami saya kini telah menyatakan niatnya untuk berkahwin lain. Alasannya ialah dia telah jatuh cinta dan tidak mahu terjerumus ke lembah maksiat. Saya tidak bersetuju dengan niatnya ini kerana tiada yang kurang pada diri dan layanan saya terhadapnya. Dia kini sedang membuat permohonan berpoligami di mahkamah. Apakah yang boleh saya lakukan? Bagaimana jika dia berkahwin tanpa kebenaran?

Jawapan:

Mengikut undang-undang Islam, lelaki dibenarkan berkahwin lebih daripada satu isteri dengan syarat dia boleh berlaku adil kepada mereka.

Dalil membenarkan poligami ini telah dinyatakan di dalam al-Quran di dalam surah Al-Nisaa ayat 3 bermaksud: ``Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak yatim, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, maka berkahwinlah dengan seorang saja atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman.''

Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan telah memperuntukan mengenai poligami di bawah Seksyen 23 (1). Di bawah seksyen yang sama, Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor memperuntukan perlunya keizinan daripada mahkamah sebelum seseorang lelaki mahu berpoligami.

Dalam kes puan, suami sedang membuat permohonan berpoligami di mahkamah. Pada kebiasaannya mahkamah akan memanggil isteri yang sedia ada untuk mengambil keterangan berkaitan dengan permohonan tersebut. Ini diperuntukan di dalam Seksyen 23 (4) (a).

Apabila dipanggil oleh mahkamah pada tarikh yang ditetapkan, puan perlulah tampil ke mahkamah memberi keterangan agar mahkamah berpuas hati sama ada:
a. Perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu jika terdapat keadaan seperti kemandulan, uzur jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, gila di pihak isteri dan sebagainya.
b. Suami berkemampuan dari segi hukum syarak dengan melihat jumlah tanggungan sedia ada dan bakal ditanggung.
c. Suami berupaya beri layanan sama rata kepada semua isteri mengikut hukum syarak.
d. Perkahwinan dicadangkan tidak menyebabkan darar syari'e kepada isteri yang sedia ada.

Apabila puan hadir ke mahkamah memberi keterangan mengenai perkara yang ditimbulkan oleh suami seperti di atas, mahkamah akan menilai sama ada kesemua perkara di atas telah dipenuhi.

Sekiranya mahkamah berpuas hati maka mahkamah akan membenarkan permohonan berpoligami walaupun tanpa persetujuan puan.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa mahkamah perlu mengikut Seksyen 23 dengan mematuhi kesemua syarat dan keperluan dalam seksyen tersebut tanpa mengabaikan salah satu daripadanya.

Sekiranya mahkamah membenarkan poligami tersebut tanpa menilai atau berpuas hati dengan kesemua syarat-syarat dan keperluan yang diperuntukan, puan boleh merayu terhadap keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari selepas keputusan dibuat.

Kes yang telah menjelaskan kepentingan syarat tersebut ialah Aishah v Wan Mohd Yusof (1990) 7 Jurnal Hukum ms 152. Jawatan Kuasa Rayuan telah menolak keputusan hakim Mahkamah Syariah Shah Alam yang telah membenarkan permohonan berpoligami atas alasan pemohon ada kemampuan nafkah zahir dan batin, serta takut berlaku zina dan maksiat.

Isteri telah merayu kepada Jawatan Kuasa Rayuan yang membenarkan rayuan kerana hakim dahulu tidak langsung mengambil kira kesemua syarat di bawah Seksyen 23 (4).

Beban untuk membuktikan sama ada suami memenuhi setiap syarat dan keperluan di dalam Seksyen 23 tersebut adalah terletak kepada suami. Ini seperti yang telah diputuskan oleh Jawatan Kuasa Ulang Bicara Selangor dalam kes Rajamah lwn Abd. Wahab (1990)Jurnal Hukum 171, iaitu beban membuktikan bahawa ia boleh mempunyai lebih daripada satu isteri adalah ke atas suami.

Oleh kerana suami gagal membuktikan, kebenaran untuk berpoligami telah dibatalkan.
Sekiranya suami puan tidak mendapat kebenaran untuk berpoligami oleh Mahkamah dan beliau pergi ke luar daerah untuk berkahwin. Puan boleh membuat aduan mengenai perkara tersebut di Bahagian Pengadunan dan Penguatkuasaan Syariah Jabatan Agama Islam.

Jika disabitkan kesalahan, menurut Seksyen 123, beliau boleh dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

- Siti Razasah Abd Razak dari Tetuan Razasah Razak & Co.
Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my