Tuntut KWSP Sebagai Harta Sepencarian
20 September 2002

Soalan:

SAYA telah bercerai 15 tahun yang lalu. Semasa perbicaraan perceraian, saya tidak diwakili peguam dan tidak membuat apa-apa tuntutan ke atas harta sepencarian kami. Sementara tuntutan untuk hak penjagaan anak pula ditolak oleh mahkamah. Bekas suami juga tidak pernah membayar apa-apa saraan kepada saya semasa tempoh iddah.

Sekarang, bekas suami saya telah layak ke atas wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bolehkan saya membuat tuntutan ke atas sebahagian wang tersebut sebagai harta sepencarian kami?
- Ingin Tahu, Ipoh, Perak.

Jawapan:

Harta sepencarian ialah harta yang dikumpulkan dalam jangka masa perkahwinan, iaitu bermula daripada ijab qabul hinggalah kepada masa penceraian.

Sama ada sesuatu harta itu diperoleh secara bersama atau individu, pembahagiannya kelak akan dikira mengikut takat sumbangan suami isteri sama ada secara langsung atau tidak.

Mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia adalah berbidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian. Seksyen 58 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukan bahawa:

1)Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah penceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasilnya dibahagikan antara pihak-pihak itu.

2)Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang:
(a) Takat sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh aset tersebut.
(b) Apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama.
(c) Keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada. Dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

3) Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat perintah penceraian memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak itu.

4) Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen (3), mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada:
(a) Takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga dan menjaga keluarga.
(b) Keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu jika ada. Ini tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan. Mahkamah telah membahagikan aset-aset atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah tetapi pihak yang telah memperoleh aset-aset itu dengan usaha hendaklah menerima satu kadar yang lebih besar.

5) Bagi maksud seksyen itu, rujukan-rujukan mengenai aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu, yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam sama perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka.

Sementara itu, Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan wang yang terkumpul hasil potongan bulanan daripada pendapatan pekerja sama ada perkara itu adalah suami, isteri atau kedua-duanya sekali.

Dengan demikian, jika wang terkumpul ini adalah hasil tabungan pendapatan yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan - dan dengan mengambil kira bahawa harta sepencarian adalah harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan - maka wang KWSP bolehlah dikategorikan sebagai harta sepencarian.

Ia boleh dituntut walaupun wang yang terkumpul itu atas nama satu pihak atau atas pendapatan satu pihak. Dan dengan sumbangan moral serta pengorbanan supaya wang tersebut dapat disimpan, maka pihak yang satu lagi berhak atas wang KWSP tersebut.

Perlu diingatkan bahawa oleh kerana bekas suami puan hanya layak ke atas wang KWSP selepas 15 tahun penceraian, maka puan hanya berhak membuat tuntutan setakat wang yang terkumpul bermula dari awal perkahwinan pada tarikh penceraian.

Puan tidak layak ke atas wang yang wujud sebelum perkahwinan atau selepas penceraian.
Mengenai tempoh masa untuk membuat tuntutan, mengikut hukum syarak, pada dasarnya tiada waktu yang tertentu untuk seseorang membuat tuntutan kerana hak tetap hak.

Ia tidak boleh dihilangkan oleh tempoh masa tetapi seelok-eloknya tuntutan hendaklah dibuat dalam tempoh masa yang munasabah.

- Tetuan Ahmad Daud & Associates.
- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my