Tunggakan Nafkah Wajib Dibayar
20 Disember 2002

Soalan:

PERCERAIAN saya dan suami telah disahkan oleh Mahkamah dua tahun lalu. Saya juga telah diberikan hak penjagaan ke atas dua anak saya dan nafkah mereka adalah sebanyak RM200 sebulan.

Bagaimanapun, sejak dari tarikh perceraian bekas suami tidak pernah membayar nafkah anak-anak. Saya telah meminta tetapi dia tidak tidak mengendahkan perkara itu. Apakah yang boleh saya lakukan agar suami membayar nafkah anak?
- Sulina Sahak, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Jawapan:

Oleh kerana puan menetap di Kuala Pilah, maka rujukan akan dilakukan ke atas Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 1983. Dalam kes ini, puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk melaksanakan penghakiman yang telah didapati oleh Mahkamah ke atas suami puan pada dua tahun lalu.

Permohonan tersebut boleh dibuat di Mahkamah dengan mengisi borang mahkamah dengan disokong oleh Afidavit yang diikrarkan oleh suami puan sendiri.

Afidavit tersebut haruslah menyatakan latar belakang kes dan fakta permohonan puan serta menyatakan jenis perintah yang puan pohon di Mahkamah, iaitu satu perintah perlaksanaan penghakiman.

Saya juga suka menasihatkan supaya permohonan puan mengambil kira tunggakan nafkah anak-anak sejak dua tahun yang lalu.

Seksyen 77 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 1983 yang antara lainnya menyatakan bahawa Seksyen 69 hendaklah dipakai dengan pindaan yang sesuai bagi perintah-perintang mengenai pembayaran nafkah untuk faedah seseorang anak. Seksyen 69 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 1983 adalah berkenaan dengan tuntutan tunggakan nafkah. Tunggakan nafkah adalah dikira sebagai hutang dan wajib dilangsaikan oleh suami.

Di dalam fakta kes puan, puan tidak menyatakan sama ada puan masih lagi menyimpan salinan penghakiman yang telah dimeterai oleh pihak Mahkamah. Jika puan masih menyimpan salinan penghakiman tersebut, ia dapat membantu puan dalam permohonan puan. Sebaliknya, jika puan tidak mempunyai salinan penghakiman tersebut, puan boleh membuat permohonan untuk membuat carian fail pendaftaran kes puan dan membuat salinan diakui sah oleh pihak Mahkamah.

Salinan penghakiman tersebut amat penting untuk disertakan bersama-sama dengan permohonan dan afidavit puan kerana ia dapat membantu kes puan di Mahkamah.

Sebenarnya permohonan untuk penguatkuasaan penghakiman atau perintah ada diperuntukan di bawah Aturan 21 dan 22 Kaedah-Kaedah Prosedur Mal Negeri Sembilan 1992. Di bawah Aturan 21 Kaedah-kaedah Prosedur Mal Negeri Sembilan 1992 tersebut dinyatakan bahawa tindakan penguatkuasaan penghakiman bagi pembayaran wang boleh dibuat melalui satu atau lebih daripada cara-cara berikut:-
1. perintah penyitaan dan penjualan
2. Prosiding garnismen
3. Perintah pengkomitan
4. Perintah penahanan pendapatan

Oleh yang demikian, puan mempunyai pilihan untuk membuat permohonan yang difikirkan sesuai dan efektif terhadap bekas suami puan.

Prosiding-prosiding tersebut di atas boleh membantu puan dan sangat efektif sekiranya puan mengetahui kedudukan harta yang dimilikki oleh bekas suami puan, tempat tinggalnya dan jumlah pendapatan serta majikan bekas suami puan.

- Panel Peguam Sisters In Islam, Rumaizi Mohd. Tejeri, Maishia'ah, Jalidah & Associates.
- Sisters In Islam, No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my