Kad Kredit - Suami Lesap, Bil Tinggi
22 November 2002

Soalan:

SAYA telah mengambil kad kredit sampingan (supplementary card) di atas desakan suami. Kad itu katanya, boleh digunakan oleh saya waktu kecemasan. Bagaimanapun, kad itu disimpan oleh suami dan saya tidak pernah menerima bil kerana suami menggunakan alamat pejabat.

Namun, saya mendapat tahu suami saya telah mendapat perintah mahkamah supaya membayar hutang kad kredit berjumlah RM15,000. Suami saya telah gagal membuat bayaran dan saya tidak mengetahui bahawa kes berkenaan telah dibawa ke mahkamah kerana saya tidak menerima apa-apa saman.

Masalahnya, suami saya kini telah lama menghilangkan diri sedangkan saya kini mendapat arahan supaya melangsaikan hutang berkenaan. Bolehkah saya dipertanggungjawabkan atas masalah ini?
- Juriah Ali, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Puan gagal diberitahu oleh pihak bank bahawa terdapat satu tuntutan ke atas puan. Tuntutan tersebut adalah tuntutan pihak bank ke atas suami puan sebagai pemegang kad kredit utama (Pemegang kad prinsipal) dan ke atas puan sebagai pemegang kad kredit sampingan untuk melangsaikan hutang suami berjumlah RM15,000.

Ada kemungkinan pihak bank tidak dapat menjejaki suami puan dan tindakan kini diambil ke atas puan.
Menjadi satu kewajipan, pihak yang kena tuntut (defendan) di dalam mana-mana perbicaraan diberitahu mengenai adanya tuntutan tersebut oleh pihak menuntut (plaintif).

Cara pemberitahuan adalah melalui penghantaran saman yang menyatakan tarikh dan tempat perbicaraan.
Ketidakhadiran puan semasa perbicaraan telah membolehkan pihak bank (plaintif) untuk memohon perintah Mahkamah agar suami dan puan disabitkan ke atas tuntutan.

Pihak bank biasanya akan memfailkan satu afidavit yang menyatakan bahawa saman telah dihantar kepada puan.
Mahkamah setelah berpuas hati bahawa prosedur mengenai penghantaran saman telah dipatuhi dan puan telah mempunyai notis terhadap perbicaraan, akan membenarkan tuntutan.

Bagaimanapun, berlaku ketidakpatuhan kepada prosedur di sini. Ia kerana puan tidak diberitahu mengenai adanya tuntutan tersebut dan tiada saman yang diterima oleh puan.

Oleh itu perintah ini boleh diketepikan. Puan boleh membuat satu permohonan kepada Mahkamah Sivil untuk mengetepikan perintah tersebut atas alasan bahawa saman tidak diserahkan kepada puan dan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah tidak teratur.

Perlu dinyatakan bahawa setelah perintah tersebut diketepikan oleh mahkamah, pihak Bank boleh mengambil tindakan susulan. Satu permohonan untuk mensabitkan puan boleh dikemukakan semula. Perbicaraan tuntutan bank akan dijalankan oleh Mahkamah.

Semasa proses perbicaraan, pihak mahkamah akan melihat sama ada puan boleh dipertanggungjawab ke atas hutang kad kredit suami puan. Dokumen ini adalah surat perjanjian puan sebagai pemegang kad sampingan dan pihak bank yang membekalkan kad kredit tersebut.

Puan harus meneliti terma perjanjian sama ada terdapat terma yang boleh membabitkan puan ke atas hutang kad kredit suami. Memang ada kala terdapat terma perjanjian kad kredit yang akan mensabitkan pemegang kad kredit sampingan untuk menyelesaikan semua hutang kad kredit prinsipal.

Jika terma ini terdapat dalam surat perjanjian puan, maka puan akan dipertanggungjawabkan ke atas hutang suami.
Bagaimanapun, puan juga berhak untuk menuntut daripada suami puan wang yang telah dibayar untuk melangsaikan hutang beliau.

Tindakan ini tidak melibatkan bank. Ia merupakan tindakan persendirian puan terhadap suami. Bagi tindakan ini puan perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa hutang yang telah dibayar adalah hutang suami puan. Puan boleh meminta pihak bank memberi salinan bil-bil yang telah menyatakan perbelanjaan suami. Puan telah menyatakan bahawa puan tidak mengetahui di mana suami berada kini.

Sekiranya mahkamah membenarkan tuntutan puan ke atas suami, maka perintah tersebut boleh digunakan untuk dibuat tuntutan ke atas apa-apa harta kepunyaannya.

- Panel Peguam Syarie Sisters In Islam
Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my