Anak Tak Sah Taraf - Boleh Tuntut Nafkah
23 Ogos 2002

Soalan:

ADIK saya telah terlanjur bersama teman lelakinya. Dia kini hamil enam bulan. Malangnya teman lelaki tersebut enggan bertanggungjawab dan telah beberapa kali cuba melarikan diri. Apakah tindakan yang boleh kami ambil agar dia bertanggungjawab atas perbuatannya itu. Jika anak itu lahir bolehkah dia menuntut nafkah daripada bapanya?
- Ismail Ashraff, Seremban.

Jawapan:

Melalui fakta yang telah tuan berikan saya kemukakan pandangan daripada dua aspek undang-undang yang berbeza ,iaitu pandangan undang-undang Syariah dan undang-undang Sivil.

Jika anak itu lahir, status anak tersebut ialah anak tak sah taraf. Seksyen 2 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 1983 telah memberi definisi `tak sah Taraf ` sebagai anak yang telah dilahirkan di luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah, iaitu persetubuhan yang sah dari segi akad nikah.

Tuan telah menyatakan bahawa teman lelaki adik tuan enggan bertanggungjawab dan cuba melarikan diri. Tiada peruntukan di dalam akta yang boleh memaksa teman lelaki adik tuan untuk bertanggungjawab ke atas diri adik tuan.

Bagaimanapun, setelah anak itu lahir, adik tuan boleh membuat tuntutan nafkah anak bagi anak tersebut.
Ini telah diperuntukan oleh Seksyen 80 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 1983 yang menyatakan bahawa jika tuntutan dibuat terhadap bapa yang disangkakan, tuntutan itu hendaklah dibawa ke Mahkamah Majistret yang boleh memerintahkan bapa itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

Tuntutan ke atas bapa yang disangkakan adalah tuntutan sivil dan bukan melalui mahkamah syariah. Pihak menuntut (adik tuan) hendaklah membuktikan dengan sewajar kesnya. Beban pembuktian adalah di atas adik tuan. Beliau boleh menggunakan kaedah terkini dalam pembuktiannya seperti melalui ujian DNA atau bukti-bukti lain. Ini dapat memberi bukti yang tidak dapat diragui dalam menentukan bahawa teman lelaki beliau adalah bapa kepada anak tersebut.

Dimaklumkan di sini bahawa terdapat perbezaan peruntukan akta di antara negeri. Di Selangor, menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (1984) Seksyen 80 (2) menyatakan bahawa sekiranya ibu anak tersebut adalah tidak mampu untuk menyara anaknya, tanggungjawab menyara anak tersebut adalah di atas Baitul Mal.

Peruntukan yang sama telah dimansuhkan di Wilayah Persekutuan.
Perlu dinyatakan di sini bahawa tindakan jenayah ke atas teman lelakinya boleh diambil oleh pendakwa raya sekiranya adik tuan berumur 16 tahun ke bawah.

Bagaimanapun, tuan tidak menyatakan umurnya di dalam soalan. Jenayah yang telah disabitkan ke atasnya adalah kesalahan merogol gadis di bawah umur (rogol statutori) menurut Seksyen 376 kanun keseksaan.

Sebagai kesimpulannya boleh dinyatakan bahawa oleh kerana tuan menetap di Negeri Sembilan maka tuntutan nafkah ke atas anak tersebut boleh diambil.

Teman lelaki tersebut haruslah bertanggungjawab setelah diperintahkan oleh Mahkamah Sivil. Sekiranya beliau engkar, satu tindakan mahkamah ke atas keengkarannya boleh diambil.

Perlu diterangkan di sini bahawa tidak ada apa-apa halang bagi bapa kepada anak tidak sah taraf untuk bertanggungjawab ke atas anak tersebut.

Beliau boleh bersetuju untuk menyara anak tersebut dan terpulang kepada pihak-pihak terbabit untuk menentukan tahap bayaran.

Anak itu adalah anaknya dan tidak sepatutnya dihukum dengan tidak diberi nafkah yang secukupnya.

- Panel Peguam Syarie Sisters In Islam.
Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam, No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my