Pinjaman Bantuan Boleh Tuntut Balik
25 Oktober 2002

Soalan:

Saya seorang ibu. Anak perempuan saya sedang menjalani proses penceraian. Semasa mereka masih suami isteri, saya telah meminjamkan mereka RM10,000 untuk membeli kereta. Tiada perjanjian bertulis antara saya dan mereka. Bolehkah anak saya kini menuntut setengah daripada pembayaran tersebut dari suaminya untuk dibayar kepada saya.

Bolehkan satu perjanjian bertulis antara keluarga dibuat? Bolehkan saya menuntut hak sekiranya bayaran tidak dibuat oleh mana-aman ahli keluarga?
- Maimunah Ali. Raub, Pahang.

Jawapan:

Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh dengan usaha bersama semasa perkahwinan.
Undang-undang keluarga Islam Selangor 1984 seksyen 58 (1) menyebut: Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah penceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak terbabit dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara mereka.

Seksyen ini memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah mengenai harta sepencarian, iaitu harta yang diperoleh dengan daya usaha bersama sepanjang tempoh perkahwinan.

Ini tidak hanya tertakluk aset yang diperoleh hasil usaha bersama, tetapi termasuk apa-apa aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal atau satu pihak sahaja.

Subsekyen 3 menyebut: Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat perintah penceraian, memerintahkan supaya aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualannya dibahagi antara pihak-pihak ini.

Bagaimanapun, mahkamah mengeluarkan perintah berkenaan pembahagian harta sama ada mengikut seksyen 58 (1) atau 58 (3) hanya setelah sabitnya penceraian atau lafaz talak dibenarkan. Ini bermakna mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk membuat perintah tersebut jika perceraian berlaku tanpa sabit talak.

Perlu diingat, tiada peruntukan dalam enakmen yang mensyaratkan perlu ada liabiliti atau tanggungan bersama (shared liability) antara pihak-pihak dalam perkahwinan.

Enakmen cuma menyebut tentang pembahagian harta sepencarian dan tidak menyebut tentang tanggungan terhadap harta.

Bagaimanapun, dalam menentukan bahagian pihak-pihak terbabit, mahkamah juga akan mengambil kira faktor-faktor lain seperti sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung terhadap proses memperoleh harta tersebut, tanggungjawab terhadap harta dan juga keperluan anak-anak yang belum dewasa (jika ada).

Berdasarkan kes-kes tuntutan harta sepencarian yang dibicarakan, amat jarang sekali mahkamah memerintahkan mana-mana pihak menanggung beban hutang atas harta yang dituntut. Sama ada harta ini atas usaha bersama atau usaha tunggal satu pihak sahaja.

Jika pihak-pihak terbabit tidak dapat mencari kata sepakat terhadap jumlah bahagian berdasarkan sumbangan masing-masing, biasanya mahkamah akan memerintahkan harta tersebut dijual dan jumlah perolehan harta setelah diambil kira kos-kos lain seperti hutang, kos guaman (jika ada) dan kos lain, dibahagikan antara pihak mengikut pembahagian yang ditetapkan oleh mahkamah.

Untuk soalan berkenaan, pinjaman antara ahli keluarga boleh satu perjanjian diadakan dan dimasukan syarat-syarat dan terma-terma yang boleh mengikat pihak-pihak ini menandatangani perjanjian tersebut.

Secara amnya, perjanjian ini adalah berbentuk bantuan (friendly loan). Ia harus ditandatangani dan disetem, dan adalah mengikat dan tertakluk kepada undang-undang kontrak sivil yang terpakai di Malaysia , iaitu Akta Kontrak 1950.

Sekiranya terdapat keengkaran perjanjian seperti keengganan untuk membayar balik wang, maka bolehlah tuntutan dibuat di mahkamah sivil.

- Panel peguam Sisters In Islam
Segala pertanyaan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my