Nafkah - Suami Wajib Bayar
26 April 2002

Soalan:

Saya telah bercerai dengan suami saya lapan tahun lalu di Shah Alam. Kami mempunyai dua anak lelaki berusia 15 dan 10 tahun serta seorang anak perempuan berusia 7 tahun. Hak penjagaan anak telah diberi kepada saya, dan suami sepatutnya membayar nafkah anak. Tetapi sehingga kini dia tidak pernah membayar sebarang wang nafkah kepada saya.

Bolehkan saya menuntut nafkah yang telah tertunggak dan apa-apa perintah bagi memastikan bayaran nafkah dihantar kepada saya setiap bulan? Suami sering mengugut untuk mengambil hak penjagaan anak setiap bulan?
Suami juga sering mengugut untuk mengambil hak penjagaan anak sekiranya saya berkahwin lagi. Bolehkan dia berbuat demikian?
- Sheila Dali

Jawapan:

Berhubung permasalahan ini, rujukan akan dibuat berdasarkan Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan.

Sekiranya puan telah mendapat perintah Mahkamah Syariah bagi hak penjagaan dan nafkah anak, di mana bekas suami telah dan masih gagal mematuhi perintah tersebut, maka puan boleh membuat permohonan penguatkuasaan dan perlaksanaan atas kegagalan mematuhi perintah yang diperoleh sebelum ini.

Permohonan seperti ini hanya boleh dipohon selepas terdapat perintah sebelumnya dan pihak terbabit gagal mematuhi perintah tersebut. Permohonan hendaklah dibuat di mahkamah sama yang mengeluarkan perintah sebelumnya.

Permohonan puan itu berkisar mengenai perintah yang telah diperoleh dan pembuktian terhadap kegagalan bekas suami mematuhi perintah membayar nafkah anak.

Puan boleh memohon perintah perlaksanaan, iaitu tindakan yang boleh dibuat ke atas tunggakan nafkah anak tersebut. Jika tunggakan nafkah itu diperintahkan agar dibayar secara ansuran bulanan, puan boleh memohon agar ia dibuat secara perintah tahanan pendapatan tenaga.

Ini bermaksud Mahkamah Syariah boleh mengeluarkan perintah kepada majikan bekas suami puan agar memotong gaji setiap bulan dan diberikan terus kepada puan.

Selain itu, puan juga boleh memohon perintah penyitaan dan penjualan, iaitu Mahkamah Syariah memerintahkan harta-harta milik suami disita dan dijual secara lelong.

Hasil wang lelong tersebut, setelah ditolak kos, akan diberi kepada puan untuk membayar tunggakkan nafkah anak.
Jika bekas suami puan tidak mampu membayar penghakiman hutang tunggakan itu, dan tiada harta yang boleh disita atau dilelong, serta dalam masa yang sama puan tahu dan boleh membuktikan ada orang ketiga berhutang dengan bekas suami, puan boleh memohon perintah agar orang ketiga tersebut membayar terus hutangnya kepada puan di bawah prosiding hiwalah.

Puan juga boleh memohon perintah pengkomitan yang mengakibatkan bekas suami puan dipenjara atas kegagalannya dengan sengaja mematuhi perintah mahkamah.

Bagi memastikan bekas suami membayar nafkah pada waktu seterusnya, puan boleh memohon agar Mahkamah Syariah memerintahkan bekas suami mencagarkan hartanya kepada pemegang amanah supaya membayar nafkah tersebut.

Seterusnya ialah isu hak penjagaan anak atau hadhanah. Hak penjagaan anak lelaki akan tamat ketika anak itu mencapai umur tujuh tahun dan boleh dilanjutkan dengan kebenaran Mahkamah Syariah sehingga sembilan tahun.
Jika anak lelaki itu mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz) maka anak puan itu berhak memilih untuk tinggal sama ada dengan ibu atau bapanya.

Pihak mahkamah akan menentukan umur mumaiyiz bagi kanak-kanak tersebut dan berbeza dari seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain.

Oleh itu, bagi kedua-dua anak lelaki puan, keputusan untuk mereka tinggal dengan siapa adalah di tangan mereka kerana mereka telah mencapai umur mumaiyiz.

Manakala hak penjagaan bagi anak perempuan akan tamat ketika anak perempuan itu berumur sembilan tahun dan boleh dilanjutkan dengan kebenaran Mahkamah Syariah sehingga 11 tahun. Setelah umurnya mencapai umur mumaiyiz, dia juga berhak memilih untuk tinggal sama ada dengan ibu atau bapanya.

Oleh itu bekas suami puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mengubah perintah hadhanah kepadanya jika puan berkahwin dengan orang tiada pertalian dengan anak puan dalam tempoh anak perempuan puan belum mencapai umur mumaiyiz.

Akan tetapi jika Mahkamah Syariah mendapati anak perempuan puan telah mencapai umur mumaiyiz, walaupun usianya baru lapan tahun, maka dia boleh menggunakan haknya memilih untuk tinggal sama ada dengan puan atau bekas suami puan.

Tambahan pula jika puan boleh membuktikan kepada Mahkmah Syariah bahawa perkahwinan puan itu tidak akan menjejaskan kebajikan anak perempuan tersebut, malah sebaliknya akan berlaku jika dia bersama bekas suami puan. Maka hak hadhanah akan tetap diberi kepada puan.

Bagaimanapun, hak hadhanah anak perempuan akan hanya terlucut jika terdapat perintah merubahnya oleh Mahkamah Syariah.

Ini bermakna selagi bekas suami puan tidak membuat permohonan untuk mengubah perintah sedia ada, dan selagi perbicaraan mengenainya belum tamat dengan perintah yang baru dikeluarkan, puan masih berhak terhadap hadhanah anak perempuan puan.

- Mohd Fuad Mohd Shahran dari Tetuan Nizam, Harlina & Co.
Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my