Nafkah Anak - Tanggungjawab Bapa Tidak Berubah
26 July 2002

Soalan:

Saya telah bercerai tiga tahun lalu. Bekas suami membayar nafkah sebanyak RM150 sebulan bagi anak kami. Dia kini berusia 6 tahun dan akan masuk ke sekolah rendah pada tahun depan. Perbelanjaannya akan meningkat. Saya tidak mampu menyaranya seorang diri kerana saya bekerja sebagai pencuci pejabat. Bagaimana cara untuk memohon nafkah yang lebih. Apabila saya meminta lebih wang bekas suami ada mengugut untuk mengambil anak saya. Bolehkah hak penjagaan saya hilang?
- Aida Mansur

Jawapan:

Apabila berlaku perceraian, ibu adalah yang paling sesuai untuk diberikan hak penjagaan ke atas anak yang belum baligh. Ini telah diakui oleh Seksyen 81 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 (EUKIS). Seorang anak yang telah baligh akan diberi pilihan untuk memilih.

Dan dalam apa juga keadaan, bapa adalah orang yang bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak-anak tersebut sama ada dia mendapat hak penjagaan atau tidak.

Ini telah termaktub dalam Seksyen 72 EUKIS. Nafkah ini termasuk menyediakan tempat tinggal pakaian, makanan, perubatan, pelajaran dan apa-apa keperluan anak tersebut.

Pada dasarnya sebelum mahkamah memberi sesuatu perintah mengenai kadar nafkah yang patut kepada anak-anak, mahkamah akan melihat kepada beberapa faktor. Antaranya kemampuan pihak diperintahkan untuk memberi nafkah tersebut dan juga kadar keperluan nafkah bagi anak-anak tersebut.

Seksyen 6 EUKIS memperuntukan:
``Pada menentukan jumlah sesuatu nafkah yang hendak dibayar. Mahkamah hendaklah mengasaskan pentaksirannya terutama sekali keperluan dan kemampuan pihak-pihak itu, dengan mengira kadar nafkah berbanding dengan pendapatan orang yang terhadap perintah itu dibuat.''

Isu yang timbul adalah sama ada sesuatu kadar nafkah yang diperintahkan oleh mahkamah adalah kekal dan tidak boleh diubah. Mengikut undang-undang kadar nafkah boleh diubah mengikut kemampuan dan keperluan pihak yang memberi dan yang menerima.

Seksyen 7 EUKIS memperuntukan: ``Mahkamah boleh atas permohonan seseorang yang ada kepentingan pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa mengubah, atau boleh pada bila-bila masa membatalkan, sesuatu perintah mengenai penjagaan atau nafkah seseorang anak jika mahkamah berpuas hati bahawa perintah itu telah diasaskan atau sesuatu salah pernyataan atau kesilapan fakta atau jika sesuatu matan telah berlaku tentang hal keadaan.''

Faktor yang diteliti dalam menentukan sesuatu kadar nafkah itu perlu diubah atau tidak adalah jika berlaku perubahan matan atau keadaan. Contohnya, jika sesuatu perintah nafkah anak dibuat semasa anak itu berusia 3 tahun dan akibat daripada peningkatan umur kanak-kanak tersebut dan keperluan kanak-kanak tersebut bertambah, maka mahkamah atas permohonan boleh membuat perintah mengubah kadar nafkah bagi kanak-kanak tersebut.
Begitu juga andainya semasa perintah nafkah diberikan oleh mahkamah seorang bapa hanya berkemampuan memberikan nafkah RM250 bagi seorang anak. Dan apabila dapat dibuktikan perubahan matan mengenai pertambahan pendapatan bapa dan pertambahan keperluan anak tersebut maka mahkamah boleh menambahkan kadar nafkah terhadap anak tersebut.

Adalah dinasihatkan bahawa puan membuat satu catatan bagi perbelanjaan anak-anak puan dan turut menyimpan resit bagi segala pembayaran yang telah dilakukan.

Ia boleh dirujukkan kepada mahkamah sebagai satu garis panduan bagi nafkah yang diperlukan oleh anak. Mahkamah boleh memberi perintah berdasarkan fakta keperluan anak dan tidak memberi perintah yang terlalu rendah.
Mengenai ugutan pihak suami untuk mengambil balik jagaan anak tersebut adalah tidak berasas dari segi undang-undang. Hak jagaan seorang ibu terhadap anak hanya akan hilang apabila suami dapat membuktikan bahawa bekas isteri telah melanggar peruntukan Seksyen 83 EUKIS.

Seksyen 83 memperuntukkan Hak seorang perempuan terhadap Hadanah adalah hilang:
a) Jika perempuan itu berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu dalam mana orang lelaki itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, tetapi kembali semula apabila perkahwinan itu dibubarkan.
b) Jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka.
c) Jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu.
d) Jika perempuan itu murtad
e) Jika perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Suami perlu mengemukakan bukti yang kuat dan sahih bagi meminta penukaran hak penjagaan anak tersebut. Mahkamah juga akan melihat kepada situasi kedua-dua pihak dan melihat siapa yang lebih berkelayakan untuk memelihara anak tersebut.

Ia juga melihat situasi anak seperti persekitaran yang telah serasi dengannya, tempat persekolahan dan lain-lain.
Beban pembuktian adalah di atas suami puan untuk membuktikan ketidaklayakan puan.