Pinjaman - Pemberi Berhak Adakan Perjanjian
27 September 2002

Soalan:

Saya adalah seorang bapa. Anak lelaki saya dan isterinya sedang menjalani proses perceraian mereka. Semasa tempoh perkahwinan tersebut saya telah meminjamkan mereka wang sebanyak RM10,000 untuk mereka membeli kereta tanpa surat perjanjian. Bolehkah kini anak lelaki saya menuntut setengah dari pembayaran tersebut dari isterinya untuk dibayar kepada saya?

Di masa yang lain bagaimana saya boleh membuat perjanjian apabila memberi pinjaman kepada ahli keluarga saya?
- Kassim Osman, Kuantan, Pahang.

Jawapan:

Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh dengan usaha bersama semasa perkahwinan. Menurut undang-undang Keluarga Islam Selangor 1984 Seksyen 58 (1), Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak ini dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

Seksyen ini memberi kuasa kepada Mahkamah untuk mengeluarkan perintah mengenai harta sepencarian yakni harta yang diperoleh bersama dengan daya usaha bersama semasa perkahwinan.

Ini tidak hanya tertakluk kepada aset yang diperoleh hasil usaha bersama tetapi termasuk juga apa-apa aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak sahaja.

Subseksyen 3 menyebut, Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat perintah perceraian memerintah supaya apa-apa aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

Walau bagaimanapun, Mahkamah cuma boleh mengeluarkan perintah pembahagian harta sama ada mengikut Seksyen 58 (1) atau 58 (3) hanya setelah sabitnya perceraian atau lafaz talak dibenarkan bermakna kuasa Mahkamah hanya setelah perceraian tersebut berlaku. Tanpa sabit talak, mahkamah tiada kuasa untuk membuat perintah itu.
Perlu diingat tiada peruntukan dalam Enakmen ini yang mensyaratkan bahawa perlu ada liabiliti atau tanggungan bersama (shared liability) antara pihak-pihak dalam perkahwinan. Enakmen cuma menyebut tentang pembahagian harta sepencarian dan tidak menyebut tentang tanggungjawab terhadap harta.

Tetapi dalam menentukan bahagian masing-masing, Mahkamah juga mengambil kira faktor-faktor lain seperti sumbangan pihak-pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung terhadap proses memperoleh harta tersebut, tanggungan terhadap harta yang dituntut dan juga keperluan anak-anak yang belum dewasa (jika ada).

Berdasarkan kes-kes tuntutan harta sepencarian yang telah dibicarakan, amat jarang sekali Mahkamah memerintahkan mana-mana pihak menanggung beban hutang atas harta yang dituntut, sama ada harta ini atas usaha bersama atau usaha tunggal satu pihak sahaja.

Jika pihak-pihak tidak dapat mencapai kata sepakat terhadap jumlah bahagian berdasarkan sumbangan masing-masing, biasanya Mahkamah akan memerintahkan harta tersebut dijual dan jumlah perolehan jumlah harta setelah diambil kira kos-kos lain seperti hutang, kos guaman (jika ada) dan kos lain, dibahagikan antara pihak mengikut pembahagian yang telah ditetapkan oleh Mahkamah.

Untuk soalan berkenaan pinjaman antara ahli keluarga adalah boleh satu perjanjian diadakan dan dimasukkan syarat-syarat dan terma-terma yang boleh mengikat pihak-pihak yang menangani perjanjian tersebut.

Pada amnya, perjanjian ini adalah berbentuk bantuan (friendly loan). Ia haruslah ditandatangani dan disetem dan adalah mengikut dan tertakluk kepada undang-undang kontrak sivil yang terpakai di Malaysia iaitu Akta Kontrak 1950.

Sekiranya terdapat keingkaran perjanjian seperti keengganan untuk membayar balik wang maka tuntutan bolehlah di buat di Mahkamah Sivil.

- Panel Peguam Sisters In Islam.
Segala surat menyurat boleh dialamatkan, No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my