Ditinggal Suami - Majikan Lelong Rumah
31 Mei 2002

Soalan:

SAYA ingin mendapat nasihat mengenai masalah kakak saya. Beliau ditinggalkan oleh suaminya yang kini telah berkahwin dengan wanita lain dan sedang bermastautin di Indonesia. Tanggungjawab ke atas isteri dan lima orang anaknya yang masih kecil sudah tidak diendahkan. Masalah kami kini ialah rumah yang sedang kakak saya duduki akan dilelong oleh majikan. Suami telah meminjam duit daripada majikan untuk membeli rumah tersebut. Kakak saya tidak bekerja. Bolehkah kakak menahan lelongan rumah yang sedang didudukinya dan bolehkah dia memohon menggunakan wang KWSP suaminya untuk melangsaikan hutang rumah tersebut?
- Jaliah Jamal, Kuala Lumpur

Jawapan:

Puan telah meminta nasihat berhubung masalah yang sedang menimpa kakak puan. Suaminya seperti yang dimaklumkan telah meninggalkannya dan sekarang menetap di Indonesia bersama wanita lain. Selain itu, rumah yang sekarang didiami oleh kakak puan dan anak-anaknya akan dilelong.

Persoalannya sekarang, pertama apakah hak-hak kakak puan berhubung rumah tersebut dan kedua sama ada simpanan KWSP suaminya boleh digunakan untuk menghalang lelongan rumah tersebut.

Dalam kes ini, puan telah menyatakan bahawa lelongan rumah tersebut akan diputuskan oleh mahkamah.
Dalam sesuatu lelongan oleh mahkamah, terdapat beberapa peringkat iaitu, pertama, notis kemungkiran gadaian, kedua, permohonan untuk mendapatkan perintah jualan, ketiga, permohonan untuk menetapkan tarikh lelongan dan harga jual, dan keempat, proses lelongan.

Mengikut apa yang puan telah nyatakan, proses mahkamah sekarang berada sama ada di peringkat kedua atau peringkat ketiga. Sekiranya dalam peringkat kedua, maka perintah jualan belum diberi.

Satu lagi persoalan yang timbul adalah sama ada rumah tersebut kepunyaan suami tersebut atau kepunyaan kakak puan, atau kepunyaan bersama.

Jika rumah itu kepunyaan kakak puan atau beliau memiliki separuh daripada rumah tersebut, maka beliau boleh menggunakan khidmat peguam untuk menentang permohonan pada peringkat kedua.

Di sini, kami tidak dapat memberikan penjelasan lanjut berkenaan peluang beliau kerana belum dapat meneliti dokumen-dokumen berkenaan.

Sekiranya perkara ini dalam peringkat ketiga, maka beliau terpaksa membuat rayuan terhadap keputusan tersebut (dalam jangka masa satu bulan dari tarikh keputusan). Jika ia melebihi jangka masa rayuan tersebut maka pihak penerima gadai mungkin akan dapat meneruskan proses lelongan.

Sekiranya, rumah tersebut kepunyaan suami saja, kakak puan mungkin tidak akan dapat menentang permohonan tersebut kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentangnya. Kakak puan dianggap tidak mempunyai apa-apa hak ke atas rumah tersebut.

Berkenaan wang KWSP pula, kebiasaannya pihak isteri akan berhak mendapat duit tersebut hanya apabila suami telah meninggal dunia dan setelah mendapatkan surat cara pentadbiran harta pusaka dari mahkamah.

Dalam kes ini, memandangkan suami kakak puan masih hidup, maka duit KWSP adalah masih dalam kawalan suami. Pihak KWSP tidak akan mengeluarkan apa-apa bahagian kecualilah atas permohonan suami kakak puan.

- Panel Peguam Sisters In Islam.
Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my