Perkahwinan: Selesai Perbalahan Melalui Rundingan
1 Ogos 2003

Soalan:

SAYA mempunyai anak perempuan yang berumur 23 tahun. Baru-baru ini dia telah memberitahu saya bahawa dia ingin berkahwin. Saya tidak mengenali siapa lelaki yang mahu dikahwininya atau keluarga lelaki tersebut. Apabila saya menyelidiki latar belakangnya, saya dapati bahawa lelaki tersebut bukanlah seorang yang berperibadi baik. Anak saya juga enggan membawa teman lelakinya ke rumah walau telah diajak berkali-kali. Saya amat gusar kini kerana anak saya berkeras untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya. Saya bimbangkan masa depannya. Apa yang boleh saya lakukan?

Jawapan:

Perkahwinan adalah sesuatu yang digalakkan oleh Islam, terutamanya bagi mereka yang telah menyiapkan dirinya. Ia merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul oleh pasangan yang berkahwin.

Ini boleh dilihat dari hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Abu Daud dan Ahmad yang bermaksud: Takutlah kamu kepada Allah dalam menghadapi wanita/lelaki, kerana kamu menerima isteri/suami berdasarkan amanah Allah.

Pasangan-pasangan yang berkahwin adalah bukan sahaja pemegang amanah Allah tetapi juga pemegang amanah keluarga yang telah merestui perkahwinan mereka dan amanah pasangannya yang telah memilihnya sebagai teman hidup.

Walaupun pendapat di kalangan para ulama pada amnya (kecuali mazhab Hanafi) bersetuju bahawa seorang wanita sama ada anak dara atau yang telah berkahwin, tidak boleh melangsungkan perkahwinan sendiri, terdapat perbezaan pendapat tentang hak seorang wali dan sama ada persetujuannya diperlukan.

Perbezaan pendapat ini adalah kerana ayat suci al-Quran tidak menyatakan dengan secara langsung sama ada kehadiran atau persetujuan wali adalah syarat yang perlu bagi melangsungkan perkahwinan seorang gadis yang telah dewasa.

Di Wilayah Persekutuan, orang-orang Islam adalah tertakluk di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984. Merujuk kepada Seksyen 13 enakmen yang menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Akta tersebut melainkan:
a) Kedua-dua belah pihak kepada perkahwinan tersebut bersetuju; dan sama ada
b) Wali perempuan bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut Hukum Syarak atau
c) Hakim syariah yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syariah itu, selepas penyiasatan yang wajar di hadapan semua pihak berkenaan memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu oleh Wali Raja mengikut Hukum Syarak.

Persetujuan tersebut boleh diberi jika perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak.
Adalah jelas di sini bahawa syarat yang paling utama adalah persetujuan kedua-dua pihak yang ingin berkahwin berserta dengan wali atau wali hakim.

Sekiranya wali telah enggan untuk memberikan persetujuan kepada perkahwinan yang bakal dilangsungkan maka pihak wanita boleh merujuk kepada Mahkamah Syariah. Dia boleh memohon bagi kebenaran perkahwinan secara wali hakim atau wali raja.

Oleh kerana anak encik menetap di Kuala Lumpur, maka dia boleh merujuk ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi proses kebenaran.

Pihak JAWI akan mengemukakan laporan ke Mahkamah Syariah. Pemohon (anak) dan encik akan dipanggil ke mahkamah untuk perbicaraan bersama saksi-saksi.

Semasa perbicaraan encik bolehlah mengemukakan sebab-sebab mengapa encik tidak bersetuju dengan perkahwinan tersebut dan alasan tersebut haruslah munasabah.

Mahkamah akan mengeluarkan perintah sama ada untuk membenarkan atau tidak perkahwinan secara wali hakim setelah mendengar keterangan dari semua pihak. Alasan yang diberikan bagi pihak wali untuk tidak bersetuju haruslah wajar dan berlandaskan alasan yang mencukupi.

Menurut kes Azizah bte Mat lawan Mat bin Salleh, alasan seorang bapa `tunggulah anak perempuannya bekerja dahulu' adalah tidak sepatutnya dijadikan alasan bagi keengganannya.

Harapan setiap pihak yang ingin berkahwin adalah untuk mendapat kebahagiaan. Sekiranya terdapat perbalahan mengenai pilihan pihak-pihak yang ingin berkahwin maka adalah lebih baik sekiranya jalan penyelesaian adalah secara berbincang dengan semua pihak yang terbabit.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my