Elak Malu: Suami Enggan Cerai
2 Mei 2003

Soalan:

Saya dan suami telah hidup berasingan sejak dua tahun lalu. Suami saya telah menyatakan bahawa dia tidak akan menceraikan saya kerana keluarganya tidak ada yang pernah bercerai. Saya amat buntu kini. Bolehkah saya meminta cerai darinya?

- Masidah Omar, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Terima kasih atas soalan puan. Oleh kerana puan menetap di Wilayah Persekutuan maka undang-undang yang terpakai bagi masalah puan adalah Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Walaupun suami puan telah menegaskan bahawa beliau enggan untuk menceraikan puan tetapi puan boleh menuntut perceraian dengan merujuk ke mahkamah syariah.

Puan boleh menuntut perceraian atas dasar taklik. Perceraian taklik ialah perceraian yang boleh dituntut oleh pihak isteri apabila suami telah mengingkari syarat-syarat taklik yang dilafaz selepas akad nikah.

Perceraian taklik juga boleh dituntut oleh isteri berdasarkan Surah al-Maidah 5:1 yang telah menyatakan: Hai orang-orang yang beriman, penuhlah akad-akad (perjanjian-perjanjian itu.

Di negara kita, syarat-syarat tertentu pada amnya dimasukan dalam surat perakuan taklik dalam borang yang ditetapkan bersama dengan surat perakuan nikah.

Syarat taklik adalah berbeza dari tempat ke tempat dan berubah mengikut masa. Syarat yang biasa adalah suami tidak boleh membiarkan isteri tanpa nafkah zahir dan batin selama lebih 4 bulan atau menganiaya isteri.

Oleh itu, puan haruslah merujuk kepada surat perakuan taklik yang tertera di surat nikah bagi memastikan syarat-syarat taklik puan.

Sekiranya terdapat pelanggaran mana-mana taklik, maka puan boleh merujuk kepada mahkamah syariah dan membuat permohonan perceraian taklik di bawah Seksyen 50.

Walaupun puan tidak mempunyai surat taklik sedemikian, atau tidak dapat membuat tuntutan perceraian taklik kerana tiada berlaku pelanggaran taklik, puan boleh memohon perceraian melalui fasakh.

Fasakh ialah perceraian yang boleh dipohon oleh pihak isteri atas salah satu alasan yang diperuntukkan di bawah undang-undang (Seksyen 52(1)(a) hingga (1), ia adalah termasuk alasan bahawa suami tidak diketahui berada di mana lebih dari satu tahun.

Selain itu, suami juga tidak memberi nafkah selama tempoh tiga bulan, suami dihukum penjara tiga tahun atau lebih, suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian.

Syarat-syarat lain, suami telah gila selama tempoh dua tahun atau menghidap penyakit kusta atau vitilago atau penyakit kelamin yang boleh berjangkit, suami menganiaya isteri, izin isteri kepada perkahwinan yang tidak sah, atau apa-apa lagi alasan yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah hukum syarak.

Maka puan boleh menuntut perceraian di atas mana-mana sebab tersebut.

Alasan-alasan yang luas bagi perceraian fasakh adalah diterima pakai daripada pandangan Mazhab Maliki yang membenarkan alasan-alasan yang luas bagi membolehkan isteri menuntut fasakh berdasarkan ayat al-Quran dalam Surah al-Baqarah 2;229: Berbaiklah dengan cara yang ma'aruf atau bercerailah dengan cara yang baik.

Penggunaan Mazhab Maliki adalah boleh diterima oleh mahkamah syariah kita berdasarkan pada Seksyen 2.

Dalam proses permohonan perceraian pihak-pihak terbabit perlu untuk menjalani proses kaunseling. Ini juga telah diperuntukan dalam Seksyen 47 (5) hingga (14) dan Seksyen 48 bagi penubuhan jawatan kuasa pendamai dan hakam.

Soal mengenai perdamaian dan hakam adalah berdasarkan Surah An-Nisa 4:35 yang bermaksud seperti berikut: Dan jika kamu khuatir berlakunya pertelingkahan di antara keduanya (suami isteri), kirimlah seorang hakam dari pihak suami dan seorang hakam dari pihak isteri.''

Proses kaunseling akan berjalan di Pejabat Agama Islam. Suami dan isteri akan dipanggil untuk sama-sama hadir. Proses kaunseling ini tidak sepatutnya berjalan dalam masa yang lama dan sekiranya suami tidak hadir, ini boleh menunjukkan bahawa suami tidak berminat untuk menyelamatkan perkahwinan.

Pihak Jabatan Agama akan mengeluarkan sijil dan ia harus dikemukakan ke mahkamah syariah.

Ternyata melalui cara-cara yang telah dinyatakan seorang isteri boleh menuntut perceraian.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my