Nikah Di Sempadan Perlu Didaftarkan
3 Januari 2003

Soalan:

SAYA telah berkahwin di sempadan Thailand pada tahun 1996. Saya adalah isteri kedua dan perkahwinan ini tidak diketahui oleh isteri pertama.

Sehingga kini, kami masih belum mendaftarkan perkahwinan kami. Menurut suami, ia sah dari segi syarak dan pendaftaran hanyalah untuk memenuhi kehendak duniawi.

Dia enggan untuk membuat pendaftaran walaupun telah diminta. Saya tidak menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan kini masih tinggal bersama ibu.

Suami juga kini tidak memberi nafkah. Apa yang perlu saya lakukan untuk mendaftarkan perkahwinan sedangkan 2 anak kami masih belum mempunyai sijil kelahiran.
- Misya Abdullah, Kuala Lumpur

Jawapan:

Setelah meneliti masalah puan, persoalan utama yang timbul adalah puan perlu mendaftarkan perkahwinan yang telah berlangsung di luar negara iaitu di selatan Thailand pada tahun 1996.

Adalah menjadi kewajipan puan untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut dalam waktu yang terdekat kepada pihak berkuasa iaitu seperti mana yang diperuntukan di dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (selepas dirujuk sebagai Akta 1984).

Berdasarkan undang-undang Islam yang terpakai di Malaysia, pernikahan puan termasuk dalam kategori yang diakadkan di luar negara.

Justeru, peruntukan seksyen 31 Akta 1984 menyatakan, pendaftaran perkahwinan luar negara oleh seorang yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan adalah menjadi satu kemestian.

Untuk makluman puan, pendaftaran pernikahan puan adalah penting berdasarkan:
a) Tujuan sebenar pendaftaran adalah demi untuk memastikan sama ada pernikahan puan di Selatan Thailand adalah sah atau tidak daripada sudut hukum syarak. Ini kerana memandangkan dewasa ini sering berlaku apa yang diistilahkan sebagai nikah sindiket iaitu suatu pernikahan yang tidak sah dari segi hukum syarak.

Sesuatu pernikahan adalah dikira sah di sisi hukum syarak apabila sempurna kelima-lima rukun nikah yang telah ditetapkan. Untuk pengetahuan puan, terdapat beberapa kes pernikahan yang diadakan adalah tidak sah kerana wali yang mengakadnikahkan mereka tidak mempunyai kuasa atau tauliah yang diperlukan.

Maka di sini perlunya puan membuat pendaftaran pernikahan puan di Jabatan Agama Islam dalam daerah tempat tinggal puan agar pihak yang berkaitan dapat menentukan sama ada pernikahan puan sah atau tidak daripada sudut hukum syarak.

b) Dengan terdaftarnya pernikahan puan, akan memberikan mahkamah syariah bidang kuasa untuk mendengar segala tuntutan yang bakal puan ketengahkan kelak. Maka segala hak puan akan terjamin.
Justeru, apa yang perlu puan fahami ialah dalam keadaan sekarang selagi puan tidak membuat pendaftaran pernikahan, mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa mendengar dan seterusnya memutuskan sebarang tuntutan yang akan puan ketengahkan kepada mahkamah syariah.

c) Dengan terdaftarnya pernikahan puan, maka akan mendatangkan pelbagai manfaat dalam kehidupan puan kelak. Sebagai contohnya, seperti mana yang telah puan nyatakan bahawa puan masih lagi gagal untuk mendapatkan sijil kelahiran anak-anak puan, nafkah puan telah mula diabaikan oleh suami dan walaupun sudah bernikah puan masih lagi hidup seperti seorang yang tidak pernah berkahwin.

Untuk makluman puan, jalan penyelesaian bagi kesemua permasalahan puan yang telah puan alami dengan segera mengambil langkah-langkah untuk mendaftarkan pernikahan puan.

Justeru, persoalan mengenai sijil kelahiran anak-anak puan akan selesai dan suami puan tidak boleh mengabaikan akan segala hak-hak puan yang telah dijamin oleh Islam di dalam sesuatu pernikahan. Seterusnya, untuk makluman pihak puan apabila suami puan enggan untuk mendaftarkan pernikahan tersebut, maka hendaklah puan sendiri yang mengambil langkah untuk mendaftarkan pernikahan puan di pejabat agama Islam di daerah tempat tinggal puan.

- Panel Peguam Sisters In Islam
Sebarang pertanyaan, sila hantarkan ke No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my