Nafkah Edah: Hak Isteri Selepas Cerai
4 Julai 2003

Soalan:

Suami saya telah mengemukakan permohonan untuk menceraikan saya di mahkamah syariah dengan talak satu. Kami telah menjalani kaunseling di Pejabat Agama. Kaunseling tersebut tidak dapat membaiki keadaan rumah tangga kami.

Perkahwinan kami telah berlangsung selama 15 tahun dan dikurniakan 3 anak. Suami saya kini berkata bahawa sebaik sahaja talak jatuh dia mahu saya keluar dari rumah kami. Katanya dia bukan lagi suami saya dan tak perlu jaga saya lagi. Bolehkah dia berbuat demikian?

- Sha'misah Shukri, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Nafkah edah adalah di antara tuntutan yang boleh dikemukakan oleh isteri ke atas suami apabila berlaku perceraian. Ia merupakan suatu hak. Ini adalah selaras dengan Hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ahmad dan An-Nasa'l. Ia menyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya.

Pihak mahkamah syariah juga mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pemberian nafkah edah. Oleh kerana puan menetap di Kuala Lumpur maka Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 akan dirujuk. Seksyen 59 (1) menyatakan bahawa ``Tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.''
Ini jelas memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk memerintahkan bayaran nafkah edah kepada isteri.

Terdapat had jangka masa bagi tempoh pembayaran nafkah edah. Seorang suami hanya perlu memperuntukan nafkah edah untuk tempoh selama tiga bulan atau tiga kali kitaran haid. Ini adalah berdasarkan surah al-Baqarah, ayat 228.

Selama dalam tempoh edah ini, puan adalah berhak untuk diperuntukan nafkah oleh suami. Nafkah edah adalah nafkah atau perbelanjaan yang diperlukan oleh puan untuk menanggung kehidupan puan selama tempoh edah.

Ia haruslah mencukupi dan kehidupan puan haruslah sama seperti taraf kehidupan semasa masih berkahwin.

Selain nafkah dari segi perbelanjaan, suami puan juga perlu menyediakan tempat tinggal.
Ini adalah berdasarkan kepada Seksyen 71 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Ia menyatakan bahawa, "Seorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri.''

Puan mempunyai hak untuk terus tinggal di rumah kelamin yang puan diami kini.

Bagaimanapun, hak ini boleh dipindahkan. Ini bermaksud bahawa suami puan boleh memohon agar puan ditempatkan di tempat tinggal yang lain.

Tempat tinggal ini haruslah sesuai dengan isteri. Suami masih tetap bertanggungjawab untuk menyediakan tempat tinggal bagi isteri dalam tempoh edah.

Puan perlu menuntut hak ke atas tempat tinggal ini semasa tempoh edah. Sebaik-baiknya hak ini dipohon semasa perbicaraan perceraian. Hak puan akan lupus selepas tempoh edah tamat dan tidak boleh dituntut selepas tempoh itu berlalu.

Ini adalah berlainan dengan nafkah edah yang boleh dituntut sebagai hutang sekiranya suami tidak membayar nafkah.

Ini berdasarkan kes Noor Bee lawan Ahmad Sanusi (1978) yang menetapkan hak nafkah edah jika tidak dijelaskan semasa edah, maka ia akan menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya. Tetapi jika hak ke atas tempat kediaman tidak dituntut, maka hak itu akan luput.

Apabila tempoh edah berakhir suami boleh menuntut agar mahkamah mengembalikan rumah tersebut kepadanya. Beliau boleh memohon menurut Seksyen 71 (2)(a) yang menyatakan bahawa "Hak tempat tinggal yang diperuntukan dalam subseksyen (1) akan terhenti jika tempoh edah telah tamat dan sesudah itu suami boleh memohon kepada mahkamah supaya dikembalikan rumah itu kepadanya.''

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my