Harta Pusaka Bapa: Anak Perempuan Boleh Dapat Separuh
5 September 2003

Soalan:

Bapa saya baru sahaja meninggal dunia. Keluarga kami tidak besar, hanyalah ibu dan saya. Bapa juga tidak mempunyai adik-beradik yang ramai. Dia hanya mempunyai seorang abang (pakcik saya).

Harta peninggalan bapa juga tidak banyak. Allahyarham bapa telah meninggalkan wang pusaka sebanyak RM10,000 untuk dibahagikan di antara warisnya. Saya telah diberitahu bahawa pakcik saya akan menerima setengah daripada wang pusaka tersebut. Adakah ini benar?

Bagaimana pula dengan hak ibu saya? Apa yang harus saya lakukan mengenai pembahagian harta bapa?

- Badariah Jamil, Cheras, Kuala Lumpur

Jawapan:

Perundangan syariah mempunyai cara khusus dalam pembahagian harta. Surah an-Nisa Ayat 7 yang bermaksud: Bagi lelaki ada hak bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, dan bagi wanita ada hak bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya....''

Ayat ini menunjukkan bahawa setiap lelaki dan wanita mempunyai bahagian dalam pembahagian harta pusaka ibu bapanya.

Puan mempunyai hak ke atas harta peninggalan bapa puan. Begitu juga ibu dan abang yang merupakan waris allahyarham bapa. Harta pusaka adalah harta peninggalan yang hanya boleh dibahagikan apabila semua urusan dan hutang si mati selesai atau dilangsaikan. Ini juga bermakna bahawa:
1. Semua perbelanjaan pengkebumian boleh diambil daripada hartanya;
2. Hendaklah diselesaikan hutang allahyarham sekiranya ada. Ini juga termasuk hutang yang mungkin ada kepada keluarganya atau ibu puan;
3. Hendaklah ditunaikan sekiranya ada wasiat allahyarham. Terdapat perbezaan pendapat mengenai peratusan yang boleh diberi sebagai wasiat.

Setelah segala tanggungjawab tersebut diselesaikan barulah harta peninggalan boleh dibahagikan di antara waris. Harta baki ini adalah harta mutlak kepunyaan bapa.

Di dalam kes puan, rujukan akan dibuat dengan menganggap bahawa peninggalan bapa adalah RM10,000 iaitu setelah segala tanggungjawab ke atas harta tersebut diselesaikan.

Perlu dinyatakan di sini bahawa pembahagian harta tersebut bukanlah seperti yang telah dimaklumkan kepada puan.

Rujukan boleh dilakukan kepada Surah an-Nisa Ayat 11 yang menyatakan antara lain bahawa jika anak perempuan itu seorang sahaja maka dia mempunyai separuh harta.

Oleh itu pembahagian harta pusaka bapa puan adalah seperti berikut:
1. Bahagian kepada puan adalah 1/2 daripada harta pusaka bapa. Ini bermakna bahawa puan berhak mendapat sebanyak RM5,000 (RM10,000 dibahagi dua).
2. Bahagian ibu adalah 1/8 bahagian harta yang ditinggalkan. Ini bermakna ibu puan berhak mendapat RM1,250. Ini adalah 1/8 daripada RM10,000.
3.Bapa saudara akan mendapat baki daripada harta yang telah dibahagikan di antara puan dan ibu. Bapa saudara akan mendapat sebanyak RM3,750.

Tujuan pemberian harta pusaka kepada bapa saudara adalah kerana beliau kini bertanggungjawab ke atas keadaan keluarga si mati atau allahyarham bapa saudari. Pemberian harta ini adalah terikat dengan tanggungjawab. Sebagai contoh seorang wanita adalah wajib diberi nafkah oleh ayah, saudara lelaki atau kerabat lelakinya.

Oleh itu tanggungjawab ini adalah bersandar ke atas bapa saudara. Pemberian harta pusaka ini adalah berkaitan dengan tanggungjawab tersebut dan bapa saudara tidak boleh tidak mempedulikan keluarga saudari. Sekiranya dia mahu menolak tanggungjawab itu maka dia boleh juga menolak bahagiannya.

Puan boleh juga merujuk kepada pihak mahkamah syariah yang mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan senarai dan bahagian waris ke atas harta pusaka atau Sijil Faraid.

- Panel Peguam Sisters In Islam
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my