Kahwin Luar Daerah: Ikut Prosedur
5 Disember 2003

Soalan:

SAYA berharap untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan. Saya berasal dari Kuala Lumpur dan kekasih saya berasal dari Terengganu. Majlis perkahwinan akan diadakan di pihak perempuan di Kemaman, Terengganu. Saya telah diberitahu saya perlu menukar kad pengenalan saya untuk berkahwin di luar daerah. Apakah prosedur yang harus saya ikuti?
- Mohd. Amin Nordin, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Di dalam surah al-Ruum ayat 21 menyebut: Dia Menjadikan jodoh untukmu dari dirimu, supaya kamu bersenang-senang kepadanya dan Dia Mengadakan sesama kamu kasih sayang dan Rahmat. Sesungguhnya hal yang demikian itu menjadi ayat (keterangan) bagi kamu yang berfikir.

Perkahwinan adalah digalakkan bagi mereka yang telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami isteri. Sistem perundangan dan prosedur yang terdapat di setiap negeri adalah bertujuan memastikan segala prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang syariah ditepati.

Contohnya pihak-pihak yang akan berkahwin tersebut tidak mempunyai halangan seperti adanya hubungan muhrim dan kewalian bagi pengantin perempuan.

Prosedur ini juga bertujuan bagi menentukan kelayakan seseorang untuk berkahwin. Contohnya had umur minimum mestilah dipatuhi iaitu 18 tahun bagi pengantin lelaki dan 16 tahun bagi pengantin perempuan.

Pasangan yang akan berkahwin juga diwajibkan untuk menghadiri kursus pra-perkahwinan. Kursus ini dianjurkan oleh pihak kerajaan atau pihak swasta.

Sekiranya saudara menghadiri kelas yang dianjurkan oleh pihak swasta, sila pastikan bahawa kursus tersebut diiktiraf oleh kerajaan negeri. Saudara haruslah menyimpan sijil yang diberikan di akhir kursus.

Permohonan untuk kebenaran berkahwin haruslah diajukan kepada pihak jabatan agama Islam negeri. Borang permohonan akan diberikan oleh jabatan agama Islam.

Oleh kerana saudara berada di Kuala Lumpur, maka permohonan haruslah diberi kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Pasangan saudara pula akan merujuk kepada pihak Jabatan Agama Islam Terengganu.
Oleh kerana saudara berada di luar kariah pihak perempuan, maka permohonan di kariah perempuan haruslah dengan kenyataan pendaftar kariah tempat tinggal lelaki.

Sila bawa dokumen-dokumen berikut semasa melakukan permohonan:
1. Bukti pemastautin
2. Pengesahan status bujang oleh majikan atau ketua kampung.
3. Kad pengenalan dan salinannya.
4. Sijil kursus pra-perkahwinan
5. Surat kebenaran wali (jika berkaitan)

Borang permohonan ini hendaklah disampaikan sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh perkahwinan. Adalah dinasihatkan agar saudara memohon dengan lebih awal bagi memastikan kesulitan tidak timbul kerana kesuntukan masa.

Pendaftar akan menyatukan borang-borang ini dan meneliti bagi menentukan segala keperluan telah dipenuhi. Sekiranya pendaftar berpuas hati, maka surat kebenaran berkahwin akan dikeluarkan.

Bagi menjawab soalan saudara mengenai penukaran kad pengenalan, adalah dimaklumkan bahawa ia adalah tidak perlu bagi menjalankan perkahwinan du luar kariah tempat tinggal saudara.

Juga dimaklumkan bahawa sekiranya perkahwinan ini adalah perkahwinan poligami, maka kebenaran mahkamah syarah haruslah dipohon terlebih dahulu. Ini mungkin akan mengambil masa yang panjang kerana melibatkan proses mahkamah.

- Panel peguam Sisters In Islam
- Sebarang pertanyaan atau kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam, No.25, Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya, Selangor atau telefon 03-79604485 atau faks 03-79604737 atau e-mel ke bantuanguaman@sistersinislam.org.my