Harta Pusaka: Bahagian Di Antara Waris
6 Jun 2003

Soalan:

AYAH saya telah meninggal dunia dan meninggalkan ibu serta tiga anak perempuan termasuk saya. Ayah tidak mempunyai waris lain kecuali dua saudara lelakinya (bapa saudara).

Masalahnya, bapa saudara menuntut hak ke atas harta pusaka peninggalan arwah ayah saya. Saya telah difahamkan oleh bapa saudara bahawa mereka akan menerima 1/4 daripada harta tersebut dan kami menerima 2/3 bahagian.

Bapa saudara telah melantik Amanah Raya Berhad sebagai pentadbir harta. Salah seorang bapa saudara saya telah meninggal dunia dan sehingga kini perkara harta pusaka bapa saya masih belum diselesaikan. Apa yang harus saya lakukan kini mengenai pembahagian harta bapa?
- Almaherah Naim, Johor.

Jawapan:

Harta pusaka adalah harta peninggalan si mati bagi orang-orang yang berhak. Ia hanya boleh dibahagikan apabila semua urusan dan hutang si mati selesai atau dilangsaikan.

Harta yang boleh dibahagikan adalah harta mutlak kepunyaan bapa sahaja.

Harta pusaka bapa saudari patut dibahagikan di antara waris-warisnya. Di dalam kes saudari, waris bapa adalah bapa saudara, balu dan anak-anaknya. Walaubagaimanapun, pembahagian harta tersebut bukanlah seperti yang saudari telah dimaklumkan.

Pembahagian harta pusaka bapa saudari adalah seperti berikut:

Bahagian ibu adalah 1/8 bahagian atau bersamaan dengan 3/24 dari harta pusaka.

Bahagian kepada saudari dan adik perempuan adalah 2/3 dari harta pusaka bapa (atau bersamaan dengan 16/24).

Ini bermakna bahawa setiap seorang anak perempuan berhak mendapat sebanyak 2/9 bahagian (ini adalah dari 16/24) di bahagikan kepada tiga orang).

Bahagian kepada bapa saudara adalah 5/24 sahaja. Ini bermakna bahawa setiap bapa saudara akan menerima bahagian sebanyak 5/48 setiap seorang (ini adalah dari 5/24 dibahagikan kepada dua orang). Perlu diberitahu bahawa tujuan pembahagian harta kepada bapa saudara adalah kerana beliau kini dipertanggungjawabkan ke atas keadaan keluarga si mati atau arwah bapa saudari.

Pemberian harta pusaka ini adalah berkaitan dengan tanggungjawab tersebut dan bapa saudara tidak boleh tidak mempedulikan keluarga saudari.

Oleh kerana pihak Amanah Raya Berhad telah dilantik sebagai pentadbir harta, maka saudari boleh merujuk kepada mereka untuk proses pembahagian harta tersebut.

Selain dari pihak Amanah Raya Berhad, pihak Mahkamah Syariah juga mempunyai bidangkuasa untuk mengeluarkan senarai dan bahagian waris ke atas harta pusaka atau Sijil Faraid.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my