Nafkah: Isteri Nusyuz Masih Ada Hak
7 Febuari 2003

Soalan:

SAYA telah memfailkan tuntutan fasakh ke atas suami saya. Kami telah lama tidak tinggal bersama kerana dia berkerja di luar negeri. Dia kini ingin menggunakan alasan nusus sebagai pembelaan walaupun selama ini dia tidak pernah mengatakan apa-apa. Bolehkah dia berbuat demikian?

Beliau juga telah tidak memberi nafkah kepada saya. Adakah apa-apa kesan ke atas tuntutan nafkah (harta sepencarian, edah dan mutaah) dan tunggakan nafkah sekiranya seorang isteri disahkan nusus?
- Fahani Min, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Untuk makluman puan, tuntutan fasakh ke atas suami dan alasan nusus yang hendak dikemukakan oleh suami sepatutnya adalah dua isu yang berbeza. Permohonan puan adalah berkait rapat dengan permohonan penceraian dan permohonan suami puan sebagai seorang isteri yang taat dan sebaliknya.

Telah menjadi amalan bagi pihak suami yang apabila isteri melakukan permohonan perceraian atas alasan suami tidak memberi nafkah, maka suami tersebut akan membuat dakwaan bahawa dia tidak memberi nafkah kerana isteri telah nusus.

Kesannya ialah tuntutan nusus tersebut dijadikan pembelaan terhadap permohonan perceraian.
Adalah bergantung kepada budi bicara hakim sama ada hendak membicarakan tuntutan nusus yang difailkan selepas permohonan perceraian difailkan. Ada terdapat hakim yang menolak tuntutan nusus sedemikian dengan alasan aduan nusus tersebut hanyalah satu helah. Sekiranya tuntutan tersebut benar, maka haruslah dilakukan oleh suami permohonan perceraian isteri dan tidak boleh digunakan sebagai pembelaan suami.

Allah telah menegaskan tanggungan nafkah oleh suami kepada orang yang di bawah tanggungannya iaitu dalam surah al-baqarah ayat 233 yang bermaksud: Dan kewajipan ayah (suami ) memberi makan dan pakaian dengan cara yang maaruf.

Dalam hal ini jelas puan nafkah secukupnya daripada suami puan dan keingkaran beliau dalam melaksanakannya membolehkan puan memohon kepada mahkamah untuk memerintahkan suami puan membayar nafkah sama ada untuk diri puan mahupun anak-anak dalam tempoh perkahwinan.

Justeru pengukuhan permohonan fasakh puan di mahkamah didasarkan dengan hukum fikah dalam kitab Sunnah al-Matalib Bi Syarki Raudi al-Matalib yang berbunyi: Bagi seorang isteri kepada seorang suami yang tidak mampu memberikan nafkahnya di mempunyai hak fasakh ke atas perkahwinannya.

Jika dilihat dari sudut kesan ke atas tuntutan nafkah edah, mutaah dan harta sepencarian sekiranya seorang isteri di sahkan nusus, secara ringkasnya adalah tertakluk kepada hukum syarak yang menentukan sama ada layak untuk mendapatkan atau sebaliknya.

Ini kerana seorang isteri berhak untuk mendapat nafkah daripada suaminya selama perkahwinannya berterusan dan ia juga berhak mendapat nafkah yang sama semasa dalam edah penceraian dengan suaminya kecuali si isteri itu sabit atau sah nususnya.

Dalam pemberian wang mutaah pula, tidak memberi kesan ke atas seorang isteri yang disabitkan nusus di sebabkan ia adalah satu pemberian wajib ke atas isteri mengikut pendapat iman Syafie. Ia patut menerima pemberian tersebut sama ada dia diceraikan sebelum disetubuhi atau sesudah disetubuhi, sudah ditentukan maharnya atau belum.

Meskipun begitu, pemberian ini bukan penceraian yang diminta atau dilakukan melalui permintaan isteri, ianya boleh diberikan dalam bentuk wang, pakaian dan lain-lain barang. perkara ini lebih-lebih lagi dalam menentukan pembahagian harta sepencarian yang tidak mempunyai apa-apa kesan disebabkan terlibat dengan pembahagian harta yang dimiliki semasa perkahwinan. Pada umumnya, di seluruh negeri-negeri di Malaysia, isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat bahagiannya daripada semua harta yang diperolehi semasa perkahwinan.

Dalam sesetengah keadaan di mana isteri itu turut sama berkerja bersama suami misalnya mengerjakan sawah dia akan mendapat separuh daripada harta tersebut.

- Ahmad Nazib Johari, Peguam Syarie.
Sebarang soalan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my