Mutaah, Harta Sepencarian - Wajib Diberi Kepada Isteri
7 Mac 2003

Soalan:

Saya sedang menjalani proses pengesahan perceraian. Kami telah berkahwin selama 25 tahun. Suami telah melafazkan talak di luar mahkamah. Saya telah dimaklumkan bahawa saya boleh menuntut harta sepencarian dan harta mutaah. Apakah perbezaan di antara keduanya dan bagaimanakah kiraan dilakukan atau anggaran tuntutan saya?
- Jameelah Jardin, Masjid Tanah, Melaka.

Jawapan:

Mutaah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca daripada isteri dan bukan kematian suami. Dalam al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai mutaah: Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) Mutaah menurut yang maaruf sebagai suatu kewajipan bagi orang-orang yang bertaqwa. (Surah al-Baqarah:241)

Dalam ayat yang lain pula Allah s.w.t menyatakan: Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka atau sebelum kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi mutaah (pemberian sagu hati) kepada mereka iaitu suami yang senang menurut kemampuannya dan suami yang miskin menurut kemampuannya sebagai pemberian sagu hati menurut yang patut lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang yang mahu berbuat kebajikan. (Surah al-Baqarah:236)

Dalam kes Tengku Anum Zaharah lawan Datuk Dr. Hussein (1980, Jld.3 J.H). Peguam bagi pihak menuntut (isteri) telah merujuk kepada kes Hasan bin Ali bin Abi Talib yang mana semasa beliau menjadi khalifah telah menceraikan isterinya dan memberi 10,000 dinar sebagai mutaah.

Apa yang nyata berdasarkan kes ini, walaupun seseorang wanita itu mempunyai pendapatan yang baik, ia tetap menuntut haknya kerana perceraian itu atas kehendak suami.

Dalam Islam pemberian mutaah ini bertujuan:
1. Seseorang isteri lazimnya bergantung hidup kepada suami. Oleh itu apabila ada pemberian mutaah, maka bekas isteri boleh menggunakannya sebagai modal untuk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai.
2. Menghilangkan rasa malu dan prasangka buruk terhadap isteri. Pada kebiasaannya terdapat anggapan masyarakat bahawa seseorang wanita yang diceraikan disebabkan ada aib pada dirinya. Oleh itu pemberian mutaah itu bermakna perceraian bukan berpunca daripada bekas isteri.
3. Untuk menentukan perceraian itu dibuat secara baik dan sebagai penghargaan suami terhadap isteri atas sumbangan dan peranan yang diberikan oleh isteri.

Tidak ada formula atau rujukan khusus bagi mendapatkan jumlah mutaah yang boleh dituntut. Bagaimanapun, puan boleh menganggarkan pampasan yang puan rasakan wajib diberi berdasarkan jumlah nafkah yang patut diberi suami semasa perkahwinan. Contohnya RM x (jumlah nafkah sebulan) x 12 bulan x tempoh perkahwinan = anggaran mutaah.

Pembayaran mutaah telah diperuntukan oleh Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Sementara itu, harta sepencarian pula adalah harta yang telah terkumpul semasa dalam tempoh perkahwinan. Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (WP) harta sepencarian adalah harta yang diperoleh secara bersama semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan hukum syarak.

Kuasa mahkamah untuk memberikan harta sepencarian adalah termaktub pada Seksyen 58 akta tersebut.
Bagi tujuan pembahagian harta rujukan boleh dilakukan kepada penghakiman oleh Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan kes Anita Abdullah lawan Zainuddin Ariffin (1982 4 JH 73) yang menyatakan:
1. Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu, maka hasil terpulang kepadanya.
2. Jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah dan harta akan dibahagikan sama banyak. Jika semuanya enggan bersumpah ia dibahagikan sama banyak juga. Tetapi, jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu terpulang semua kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas waris si mati sekiranya waris itu menuntut.
3. Jika berlaku adat kebiasaannya bahawa salah seorang daripada suami isteri itu berusaha lebih daripada yang lain, maka persetujuan pembahagian hendaklah mengikut kebiasaan. Jika persetujuan tidak didapati maka pembahagian adalah seperti (a) dan (b) di atas.

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang, Harussani Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Nor Bee lawan Ahmad Shanusi (1978, Jld 12 JH) mengenai harta sepencarian: Harta sepencarian diluluskan oleh syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumah tangga ketika suami keluar mencari nafkah. Menurut syarak isteri berhak mendapat orang gaji dalam menguruskan rumah tangga. Jika tiada orang gaji maka kerja memasak, membasuh dan mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian daripada kerja yang mengurangkan tanggungan suami.''

Ini bermakna seorang suri rumah tangga berhak menuntut harta sepencarian daripada suaminya.

- Panel Peguam Sisters In Islam
Soalan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my