Mangsa Dera Suami - Boleh Dapat Perlindungan Sementara
7 November 2003

Soalan:

Saya telah berkahwin selama 10 tahun dan mempunyai dua anak perempuan yang berusia empat dan dua tahun. Perkahwinan kami pada mulanya bahagia. Suami adalah seorang yang penyayang. Bagaimanapun sikapnya berubah sejak empat tahun lalu. Dia bertukar menjadi seorang yang pemarah. Perkara-perkara yang kecil boleh menimbulkan kemarahannya. Apabila dia marah, dia akan memukul saya. Badan saya penuh dengan lebam. Saya tidak sanggup lagi diperlakukan begini. Saya khuatir keselamatan anak-anak saya. Apa yang boleh saya lakukan dan ke mana saya dan anak-anak boleh mengadu nasib.
- Maslinda Jamil, Kuala Lumpur

Jawapan:

Keganasan terhadap wanita adalah perkara yang amat tidak dibenarkan oleh Islam. Malah, Islam telah memberi mereka kedudukan di dalam masyarakat.

Malah Aishah r.a., isteri kepada Rasulullah s.a.w. telah meriwayatkan bahawa, Nabi tidak pernah memukul pesuruh atau seorang wanita dan Baginda tidak pernah memukul sesiapa dengan tangan Baginda sendiri. Rasulullah s.a.w. sememangnya terkenal sebagai seorang yang mempunyai pekerti mulia dan tidak pernah ada apa-apa riwayat yang Baginda pernah memukul isterinya. Inilah yang sepatutnya dicontohi oleh semua suami.

Suami puan telah melakukan keganasan rumah tangga terhadap puan. Sikapnya yang telah memukul telah melanggar undang-undang yang melindungi para isteri.

Akta Keganasan Rumahtangga 1994 menyatakan bahawa sekiranya seorang suami telah memukul sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal atau; memaksa anda melakukan atau tidak melakukan sesuatu yang mendatangkan rasa ketakutan atau; mengurung anda tanpa kerelaan diri atau; memaksa dan melakukan hubungan seks yang mendatangkan ketakutan, maka puan boleh memohon perintah perlindungan dari mahkamah dan suami boleh dihukum ke atas kesalahannya.

Perlu perlu melakukan laporan polis terhadap apa yang telah berlaku. Laporan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan bukan hanya apabila suami bertindak ganas.

Puan boleh ke balai polis yang berdekatan atau sekiranya puan memerlukan bantuan perubatan, terus ke Pusat Khidmat Sepadu di hospital kerajaan. Di sana terdapat pegawai polis yang boleh mengambil laporan puan.
Sila pastikan bahawa puan mempunyai laporan polis dan resit rasmi yang mengandungi nombor laporan. Dokumen ini haruslah sentiasa disimpan.

Puan boleh mendapatkan perlindungan dari mahkamah dengan memohon Perintah Perlindungan Sementara. Ia merupakan suatu perintah mahkamah yang melarang suami dari melakukan keganasan terhadap puan atau anak-anak.

Puan perlu ke Jabatan Kebajikan Masyrakat yang berdekatan. Sila bawa bersama salinan laporan polis yang telah disahkan dan juga surat rujukan daripada pegawai siasatan.

Pegawai kebajikan masyarakat akan mendaftarkan kes anda dan membuka fail. Beliau kemudiannya akan membuat temu janji dengan majistret bagi mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara.

Pada tarikh tersebut, puan akan dibawa ke mahkamah dan menjadi saksi dalam menyatakan apa yang telah berlaku terhadap puan dan suami.

Mahkamah kemudiannya akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Sementara.
Perintah ini akan memastikan agar suami tidak mencederakan puan atau anak-anak, mengupah orang lain untuk mencederakan puan atau datang ke rumah, tempat kerja dan sekolah anak-anak. Suami juga tidak dibenarkan membuat perhubungan bertulis atau telefon dengan puan.

Salinan perintah ini akan juga dihantar kepada pegawai penyiasat di mana siasatan sedang dilakukan. Pegawai penyiasat juga akan menghantar satu salinan perintah terhadap suami.

Perlu dinyatakan bahawa perintah ini hanya berkuat kuasa selama tempoh penyiasatan dilakukan terhadap pihak polis. Ia boleh dilanjutkan sekiranya mahkamah mendapati bahawa puan masih perlukan perlindungan.
Puan juga boleh menghubungi persatuan wanita bagi mendapatkan bantuan.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my