Nafkah Anak: Boleh Dilanjutkan Selepas 18 Tahun
8 Ogos 2003

Soalan:

Saya telah memperoleh hak penjagaan ke atas anak perempuan saya apabila saya bercerai. Mahkamah juga telah memerintahkan bekas suami membayar nafkah sebanyak RM200 sebulan. Anak saya berumur 12 tahun apabila saya dan suami berpisah.

Anak saya kini sedang dalam usaha untuk memasuki universiti. Saya tidak mampu untuk membiayai persekolahan anak saya. Ia memerlukan perbelanjaan yang agak besar. Apabila saya cuba berbincang dengan bapanya, dia hanya mengatakan bahawa dia hanya perlu membayar nafkah sehingga anak saya berumur 18 tahun. Selepas itu dia tidak perlu membayar lagi. Adakah ini benar dan apakah yang boleh saya lakukan kini?

- Nurul Aida Ismail, Cheras, Kuala Lumpur

Jawapan:

Kehidupan seorang anak merupakan haknya yang tidak boleh diganggu atau disekat. Hak ini ditanggung pada bahu ibu bapa dan menjadi kewajipan mereka untuk memelihara, menjaga dan membekalkan ilmu kepada anak tersebut sehingga dia boleh berdikari dengan sendiri. Sekiranya ibu bapa anak tersebut tiada maka kewajipan itu akan terletak ke atas waris. Islam begitu menitikberatkan kesejahteraan anak-anak.

Di dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 233 telah menyebut bahawa: Janganlah menjadikan seorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan tersebut.

Di dalam sebuah hadis yang terangkan oleh Aisyah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: Hindun pernah bertanya; "Ya Rasulullah sesungguhnya Abu Sufian (suami Hindun) seorang yang sangat bakhil. Dia tidak pernah memberi belanja yang mencukupi kepada diriku dan dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya itu dan dia tidak mengetahuinya.'' Jawab Rasulullah s.a.w; "Ambilah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf.'' Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa bapa adalah paling bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anaknya.

Merujuk kepada Seksyen 72 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan 1984), ia juga menyebut bahawa menjadi kewajipan bapa menanggung nafkah anaknya. Ini sama ada anak tersebut berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.

Nafkah yang dimaksudkan adalah tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, pelajaran dan sebagainya.

Puan telah menyatakan bahawa bapa atau bekas suami telah dipertanggungjawabkan oleh mahkamah untuk memberi nafkah. Persoalannya kini adalah jangka masa bagi pemberian nafkah tersebut.

Kita boleh merujuk kepada Seksyen 79 Akta yang menyatakan tempoh masa perintah bagi nafkah anak.
Seksyen tersebut menyatakan bahawa perintah nafkah tamat apabila anak telah mencapai umur 18 tahun.
Bagaimanapun, jika perintah itu telah dibuat bagi anak perempuan yang belum berkahwin atau disebabkan sesuatu anak itu hilang upaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung dirinya, maka perintah itu boleh diteruskan walaupun anak tersebut mencapai umur 18 tahun.

Permohonan untuk melanjutkan perintah boleh dilakukan oleh anak tersebut atau puan sebagai ibu. Perintah boleh dilanjutkan supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkan munasabah bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan yang lebih tinggi.

Ternyata melalui peruntukan itu bapa boleh diperintahkan untuk membayar terus nafkah anaknya yang berumur lebih 18 tahun.

Puan boleh memohon kepada mahkamah syariah. Perintah yang telah diberi mahkamah dahulu mungkin tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan anak puan di pusat pengajian tinggi.

Pada masa ini, wang RM200 boleh dikatakan tidak mencukupi untuk menanggung perbelanjaan seorang remaja. Puan boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk menaikkan bayaran nafkah yang harus diberi oleh bapa.

Menurut Seksyen 75 Akta, mahkamah boleh pada bila-bila masa untuk mengubah perintah mengenai nafkah seseorang anak jika mahkamah berpuas hati bahawa sesuatu perubahan matan (fakta) telah berlaku.

Bagi tujuan ini puan bolehlah memberitahu kepada mahkamah, kos-kos yang kini harus dibiayai bagi pengajian anak puan. Ini juga termasuk kos-kos pembelajaran anak puan seperti yuran, bayaran pusat pengajian, tempat tinggal dan sebagainya.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat JKR. No. 851, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, atau hubungi talian 03-21426121 atau emailkan ke bantuanguaman@sistersinislam.org.my