Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP): Caruman Dikategori Harta Sepencarian
10 Januari 2003

Soalan:

SAYA telah bercerai 15 tahun yang lalu. Semasa perbicaraan perceraian tersebut saya tidak diwakili oleh peguam. Justeru, saya tidak membuat apa-apa tuntutan ke atas harta sepencarian kami. Manakala tuntutan saya untuk hak penjagaan anak telah ditolak oleh mahkamah.

Bekas suami tidak pernah membayar apa-apa saraan ke atas diri saya semasa tempoh idah. Sekarang, bekas suami saya telah layak ke atas wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerjanya (KWSP). Bolehkah saya kini membuat tuntutan ke atas sebahagian wang tersebut sebagai harta sepencarian kami?
- Adibah Masud, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Harta sepencarian ialah harta yang dapat dikumpulkan dalam jangkamasa perkahwinan iaitu bermula daripada hari ijab kabul hinggalah kepada masa perceraian.

Harta sepencarian juga dianggap sebagai sesuatu harta yang diperolehi secara bersama atau pun secara individu, yang mana pembahagiannya kelak akan dikira mengikut takat sumbangan suami isteri sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia mempunyai kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian. Seksyen 58 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 ada memperuntukkan bahawa:
(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang:
(a) takat sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh aset-aset itu.
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat mereka bersama.
(c) Keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada.Tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3), mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada:
(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebaikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga.
(b) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada.
Tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, mahkamah telah membahagikan aset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, bagaimana pun pihak yang telah memperoleh aset-aset itu dengan usahanya hendaklah menerima satu kadar yang lebih besar.

(5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi atau dengan usaha bersama mereka.

Terkumpul
Wang KWSP adalah merupakan wang yang terkumpul hasil potongan bulanan daripada pendapatan pekerja sama ada pekerja itu adalah suami, isteri atau kedua-duanya sekali.

Dengan demikian jika, wang yang terkumpul ini adalah hasil tabungan pendapatan yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, dengan mengambil kira bahawa harta sepencarian ialah harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan, maka wang KWSP bolehlah dikategorikan sebagai harta sepencarian dan boleh dituntut walaupun wang yang terkumpul itu atas nama satu pihak atau atas pendapatan satu pihak.

Ini kerana dengan sumbangan moral serta pengorbanan supaya wang tersebut dapat disimpan, maka pihak yang satu lagi berhak atas wang KWSP tersebut.

Perlu diingatkan bahawa oleh kerana bekas suami puan hanya layak ke atas wang KWSPnya selepas 15 tahun perceraian puan dengan bekas suami puan, maka puan hanya berhak membuat tuntutan setakat wang yang terkumpul bermula daripada awal perkahwinan puan dengan bekas suami puan sehinggalah pada tarikh perceraian.
Puan tidak layak ke atas wang yang wujud sebelum perkahwinan dan juga selepas daripada perceraian.

Mengenai tempoh masa untuk membuat tuntutan, mengikut hukum syarak, pada dasarnya tiada had waktu yang tertentu untuk seseorang membuat tuntutan kerana hak tetap hak dan ia tidak boleh dihilangkan oleh tempoh masa, tetapi seelok-eloknya tuntutan hendaklah dibuat dalam tempoh masa yang munasabah.

- Tetuan Ahmad Daud & Associates, No. 35, Jalan El, Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur.
Sebarang soalan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my