Isteri Dizalimi - Mangsa Perlu Buat Aduan
10 Oktober 2003

Soalan:

Saya baru sahaja berkahwin enam bulan lalu tetapi saya tidak mendapat kasih sayang yang sepatutnya. Suami saya adalah seorang kaki pukul.

Saya dipukul atau ditendang dengan teruk hampir setiap hari kerana kesalahan yang kecil seperti lambat menyediakan makanan atau tidak menunggunya pulang lewat malam. Badan saya penuh lebam dan luka. Suami berkata bahawa dia berhak pukul saya kerana dia suami. Saya tidak tahan dilakukan begini.

Setiap hari saya di dalam ketakutan. Saya tidak mahu lagi hidup bersamanya. Saya malu untuk mengadu pada keluarga. Apa yang patut saya lakukan kini?
-Isteri dizalimi, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Suami puan telah bersikap zalim terhadap puan. Seorang isteri adalah tempat suami berkasih-sayang dan bersenang-senang (Surah 30:21). Suami diberi tanggungjawab ke atas kesejahteraan isterinya dan tanggungjawab ini haruslah dilaksana dengan sebaik-baik perlakuan. Isteri adalah amanah, bukan sahaja dari segi agama tetapi juga dari segi kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Islam tidak membenarkan penganiayaan di antara sesama manusia, apalagi terhadap seorang isteri Kita juga boleh merujuk kepada Surah Nisa Ayat 19 yang bermaksud:
Hai orang-orang yang beriman, tiada dihalalkan bagimu mempusakai perempuan dengan paksaan dan janganlah kamu bertindak kejam terhadap mereka, sebaliknya bergaul dengan mereka secara baik-baik lagi adil. Kalau kamu benci kepadanya mungkin kamu benci akan sesuatu sedangkan Allah menjadikan kebaikan yang banyak di dalamnya.
Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda bahawa: Yang paling baik di kalangan kamu adalah mereka yang paling bersopan terhadap isterinya.

Malah Aishah r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah memukul pesuruh atau seorang wanita, dan Baginda tidak pernah memukul sesiapa dengan tangan Baginda sendiri. Rasulullah s.a.w sememangnya terkenal sebagai seorang yang berbudi pekerti mulia dan tidak pernah ada apa-apa riwayat yang Baginda pernah memukul isterinya. Inilah yang sepatutnya dicontohi oleh semua suami.

Suami puan telah memukul puan dengan alasan bahawa dia adalah suami. Sebelum seorang suami melakukan sekali pukulan dia haruslah mengikuti turutan yang ada di Surah Nisa Ayat 34.

Perundingan atau syura haruslah didahulukan. Pasangan haruslah berbincang atau melantik orang tengah bagi membantu mereka untuk merukunkan kembali rumah tangga.

Jika ia tidak berjaya maka waktu perpisahan boleh dimulai. Ini bermakna berpisah tempat tidur dari segi waktu dan ruang. Ia adalah bertujuan bagi meredakan keadaan dan pasangan boleh berfikir dengan tenang. Mereka kemudiannya boleh memulakan perbincangan bagi kerukunan rumah tangga.

Jika dua kaedah telah dijalankan sebaik-baiknya maka kaedah sekali pukul tidak perlu dilakukan.
Hadis-hadis yang menyebut mengenai pukul adalah berkenaan pukul yang tidak menyebabkan kesakitan. Muslim, Tarmidhi, Abu Daud, Nasai dan Ibn Majah menekankan bahawa langkah terakhir ini adalah lebih merupakan simbolik, seperti pukul dengan kayu sugi (berus gigi) atau sapu tangan yang berlipat.

Ternyata suami puan tidak melakukan yang sepatutnya. Dari segi perundangan, suami puan telah melakukan kesalahan menurut Seksyen 127 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Seksyen tersebut menyatakan bahawa mana-mana suami yang menganiayai isterinya maka dia boleh dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya. Puan boleh mengadu kepada mahkamah syariah bagi tujuan ini.

Adalah dinasihatkan agar puan membuat laporan kepada polis, perubatan dan jabatan agama. Ini dapat membantu pihak mahkamah dalam pendakwaan mereka.

Sila pastikan bahawa puan sentiasa menyimpan salinan laporan-laporan tersebut.
Jika setelah laporan dilakukan suami masih terus menganggu puan, terus laporkan kepada pihak polis. Ia bukan sahaja bertujuan sebagai perlindungan tetapi laporan polis boleh menguatkan lagi kes puan. Pihak polis mempunyai bidang kuasa untuk bertindak ke atas suami yang melakukan keganasan ke atas isteri mereka di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga.

Puan juga boleh memfailkan tuntutan perceraian melalui cara fasakh atau taklik. Jika di dalam prosedur biasa seorang isteri harus melalui proses kaunseling, tetapi jika puan mempunyai laporan polis dan perubatan yang lengkap, pihak mahkamah boleh menggunakan budi bicara mereka dan membenarkan puan memfailkan tuntutan. Puan tidak lagi perlu melalui kaunseling.

Seksyen 52 (1) (h) menyatakan bahawa puan boleh memohon kepada Mahkamah perintah fasakh di atas alasan bahawa suami menganiayai iaitu telah lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya.

Bagi perceraian secara taklik pula puan perlu merujuk kepada sijil perkahwinan puan dan sama ada ia menyertakan syarat bahawa isteri berhak untuk menuntut cerai sekiranya suami menzalimi atau menyakitinya.

Sekiranya puan mahu keluar dari rumah maka ia adalah dibolehkan kerana puan kini khuatir mengenai keselamatan puan dan tidak sanggup lagi menanggung perbuatan kejam suami.

Adalah dinasihatkan puan pergi ke pejabat polis, pejabat agama atau mahkamah dan memberi alasan tujuan puan harus keluar rumah. Ini adalah memastikan bahawa suami tidak boleh menuduh puan dengan sengaja telah keluar rumah tanpa apa-apa alasan wajar.

Sekiranya puan tidak mahu menghubungi keluarga maka terdapat beberapa pertubuhan wanita yang boleh membantu dan ada yang mempunyai rumah perlindungan. Ia dapat menempatkan puan bagi sementara waktu dan mereka mempunyai kaunselor yang boleh membantu.

Kami berharap puan akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi melindungi diri puan.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my