Nafkah Edah Ikut Keupayaan Suami
11 April 2003

Soalan:

PERKAHWINAN kami telah berlangsung selama 10 tahun dan mempunyai dua orang anak. Pada Februari yang lalu, kami telah bertengkar dan suami telah melafazkan cerai talak satu. Dia kemudiannya telah keluar rumah. Pada bulan Februari dan Mac, suami saya telah memberikan RM300. Adakah ini nafkah edah?
- Salmah Mudin, Kuala Lumpur

Jawapan:

Menurut mazhab Shafie, talak akan jatuh sebaik sahaja ia dilafazkan. Melihatkan keadaan puan, bolehkan dinyatakan bawah suami telah berniat untuk menjatuhkan talak kerana dia tidak membuat apa-apa tindakan untuk rujuk. Talak ini adalah talak rajie iaitu talak yang boleh dirujuk.

Dalam masa yang sama, suami puan telah melakukan satu kesalahan kerana telah melafazkan talak di luar mahkamah. Beliau boleh didenda menurut Seksyen 124 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Sekiranya dia disabit kesalahan, maka suami puan boleh dihukum denda tidak lebih dari RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. Puan perlu melaporkan penceraian ini ke jabatan agama. Laporan boleh dilakukan tanpa perlu menunggu suami. Ini adalah kerana puan akan terus dianggap masih berkahwin sekiranya penceraian tidak direkodkan.

Dari segi undang-undang puan akan dianggap masih berkahwin sehingga mahkamah mengesahkan penceraian tersebut. Setelah perbicaraan pengesahan selesai, barulah mahkamah akan menentukan isu-isu berbangkit seperti nafkah edah, nafkah mutaah hak penjagaan anak dan lain-lain.

Pemberian nafkah edah ada diperuntukan oleh Seksyen 59(1) Akta. Puan berhak untuk mendapat nafkah edah. Ini juga selaras dengan ajaran agama Islam. Nabi Muhamad s.a.w. telah bersabda Hanya nafkah tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suami (Riwayat Ahmad dan An-Nasa'i). Ia juga menurut surah Al-Talak ayat 6: Berikan mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kamu dari kekayaan kamu.

Jumlah nafkah edah yang harus diberi ditentukan oleh mahkamah ini selaras dengan seksyen 61. Tiada satu jadual yang tetap kerana ia bergantung kepada keupayaan suami puan.

Nafkah tersebut mestilah mencukupi untuk menanggung hidup puan semasa dalam tempoh Edah. Sebagai garis panduan adalah wajar bagi seorang suami untuk memperuntukan nafkah agar kehidupan isteri tidak berubah dalam tempoh edah.

Nafkah edah ini akan berterusan sehingga tamat tempoh edah iaitu selama tiga bulan atau tiga kali kitaran haid. Ini adalah menurut surah al-Baqarah ayat 228 serta juga diperuntukan oleh Seksyen 65.

Semasa perbicaraan puan boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk mendapatkan jumlah nafkah edah yang lebih di mana puan perlu membuktikan bahawa nafkah sebanyak RM300.000 adalah tidak mencukupi.

Selain nafkah edah, seksyen 71 menetapkan bahawa suami puan juga perlu menyediakan tempat tinggal kepada puan. Hak puan ini hanya akan lupus selepas tamat tempoh edah dan tidak boleh dituntut selepas tempoh berlalu.

Ini juga berdasarkan kes Noor Bee Lawan Ahmad Sanusi (1978) yang menetapkan hak nafkah edah jika tidak dijelaskan semasa edah maka ia menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya. Tetapi jika tempat kediaman tidak dituntut maka hak itu akan terluput.

Selain daripada nafkah edah, dimaklumkan puan juga boleh memohon hak ke atas mutaah harta sepencarian, hak penjagaan anak dan nafkah anak.

Merujuk kembali masalah puan, perlu dinyatakan bahawa puan masih belum bercerai di mata undang-undang dan masih dianggap sebagai isteri yang sah. Oleh itu pemberian wang edah yang telah diberikan adalah sebenarnya bukan wang edah dari segi undang-undang. Pembayaran wang edah hanya akan bermula setelah mahkamah mengesahkan penceraian tersebut dan permulaan bayaran hanya akan dibuat selepas tarikh penceraian.

Suami puan wajib membayar wang edah selepas penceraian disahkan oleh mahkamah syariah sekiranya suami puan enggan, ia akan dianggap sebagai hutang dan boleh dituntut.

- Panel Peguam Sisters In Islam
Sebarang pertanyaan, sila hantarkan ke No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my