Hak Penjagaan: Mahkamah Timbang Kesejahteraan Anak
11 Julai 2003

Soalan:

SAYA telah bercerai sejak dua tahun yang lalu. Saya dan bekas suami mempunyai dua orang anak lelaki berumur tiga dan empat tahun. Semasa perbicaraan, mahkamah syariah telah memberi hak penjagaan mereka kepada saya. Saya kini bercadang untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi. Malangnya bekas suami telah menunjukkan rasa tidak suka terhadap niat saya itu. Malah beliau telah mengugut bahawa dia akan memohon hak penjagaan anak dari mahkamah.

Saya amat rapat dengan anak-anak saya dan tidak sanggup untuk berpisah dengan mereka. Bolehkah tujuan saya untuk berkahwin sekali lagi menamatkan hak penjagaan yang telah diberi kepada saya?

- Madihah Yusri, Cheras, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Hak penjagaan anak-anak adalah suatu tanggungjawab yang amat berat dan sukar. Perintah mahkamah syariah yang memberi hak penjagaan haruslah diterima dengan sebaik-baiknya dan ia tidak harus dianggap sebagai satu kemenangan bagi pihak yang diberi hak penjagaan.

Apabila pasangan suami isteri bercerai ini tidak bermakna bahawa hubungan anak terhadap ibu-bapa juga bercerai. Malah pihak yang tidak diberi hak penjagaan masih harus terus bertanggungjawab.

Bagaimanapun, perkara yang yang harus ditentukan oleh mahkamah adalah siapa yang lebih berkelayakan untuk diberi hak penjagaan anak.

Menurut Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, ibu adalah yang paling berhak berbanding segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

Adalah jelas di sini bahawa undang-undang meletakkan ibu sebagai orang yang paling layak bagi mendapat hak penjagaan.

Juga terdapat hadis-hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasai dan Tirmizi yang memberatkan ibu sebagai penerima hak penjagaan.

Walaupun ibu telah dianggap sebagai yang paling berkelayakan, Seksyen 82 Akta tersebut juga telah menggariskan beberapa syarat yang perlu dipenuhi. Seorang ibu tersebut haruslah:
(a) Seorang Islam;
(b) Sempurna akal;
(c) Dia berkelayakan untuk memberi kanak-kanak tersebut kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak tersebut;
(d) Berkelakuan baik dan
(e) Mempunyai kediaman yang tidak akan membahayakan kanak-kanak tersebut.

Puan telah menyatakan bahawa hubungan puan dan anak-anak puan adalah amat rapat. Ini boleh menunjukkan bahawa puan telah memberikan kasih sayang yang penuh dan telah memenuhi semua kelayakan yang diperlukan bagi meneruskan hak penjagaan tersebut.

Bekas suami puan kini ingin menjadikan alasan perkahwinan semula puan untuk memohon hak penjagaan anak.
Rujukan boleh dilakukan ke atas Seksyen 83 Akta yang telah menggariskan situasi di mana hak seorang ibu terhadap hak penjagaan anaknya boleh hilang.

Menurut Seksyen tersebut sekiranya ibu telah berkelakuan buruk dengan mencegah bapa daripada menjalankan kewajipannya, murtad atau menganiaya anaknya barulah ia boleh dijadikan alasan untuk menamakan hak penjagaan.
Situasi di mana ibu telah berkahwin lain tidak boleh dijadikan alasan semata-mata.

Bapa haruslah membuktikan bahawa puan telah melanggar syarat Seksyen 83 sebelum Mahkamah membenarkan permohonan beliau.

Perkara yang sama juga telah diakui oleh keputusan Mahkamah Syariah dalam kes Kamaruddin lawan Rosnah (1987) yang menyatakan bahawa keutamaan akan diberikan kepada kesejahteraan anak tersebut.
Keutamaan kepada kesejahteraan anaklah yang akan menjadi alasan keputusan mahkamah.

Ini juga adalah bersamaan dengan Pandangan Ibnu Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh As-Sunnah Juz 8 halaman 219 yang menyatakan bahawa: Sesungguhnya setiap penjaga dan anak jagaan masing-masing mempunyai hak.
Akan tetapi hak anak lebih penting dari hak penjaganya. Puan boleh berkahwin semula dan niat baik itu tidak seharusnya dihalang.

Puan boleh membuktikan kepada mahkamah bahawa perkahwinan tersebut tidak akan menjejaskan kehidupan anak-anak.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my