Hak Penjagaan: Elak Perebutan Anak
12 September 2003

Soalan:

Saya mempunyai tiga orang anak iaitu dua lelaki yang berusia 12 dan 15 tahun serta perempuan yang berusia 7 tahun. Saya dan suami telah bercerai dan sedang menunggu tarikh perbicaraan untuk menuntut hak penjagaan anak-anak.

Mereka kini tinggal bersama saya dan ibu saya. Bekas suami sentiasa membawa anak-anak dari rumah saya tanpa mengira waktu dan tempat. Kadang-kadang dia mengambil mereka dari sekolah tanpa memberitahu saya terlebih dahulu sehinggakan saya menjadi terlalu runsing.
Perbicaraan saya lambat lagi, bagaimana saya boleh mengawal tindakan suami ini. Apakah kriteria bagi pemberian hak penjagaan anak?

- Chek Rosita Awan, Pulau Pinang.

Jawapan:

Adalah wajar sekiranya mana-mana pihak yang mengambil anak-anak keluar untuk memberitahu pihak yang menjaga. Ini bukan sahaja mengelakkan kekeliruan tapi juga kerana alasan keselamatan.

Puan sebagai ibu sepatutnya dimaklumkan mengenai tujuan bapa. Ia bukanlah sebagai menghalang hak bapa untuk melawat anak-anaknya, tetapi sebagai menghormati hak ibu yang perlu diberitahu.

Puan boleh menangani masalah ini dengan membuat permohonan interim di Mahkamah Syariah Pulau Pinang. Ia bermaksud perintah sementara dan akan berkuat kuasa sebelum perintah penjagaan diberi sepenuhnya. Permohonan ini adalah menurut Seksyen 201 Aturcara Mahkamah Negeri Pulau Pinang.

Adalah dinasihatkan agar puan menyertakan akses lawatan yang boleh dilakukan oleh bapa. Ini adalah bagi mengelakkan masalah mengenai hak lawatan.

Mengenai kriteria untuk mendapatkan hak hadanah (penjagaan) ke atas ketiga-tiga anak ada beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah antaranya:

1. Tempoh penjagaan kanak-kanak (seksyen 84).
Tempoh penjagaan bagi anak lelaki adalah sehingga 7 tahun dan boleh dilanjutkan sehingga 9 tahun.
Manakala bagi anak perempuan tempoh penjagaan adalah sehingga 9 tahun dan boleh dilanjutkan ke 11 tahun.

Sekiranya anak-anak telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz) maka anak-anak berhak memilih sama ada untuk tinggal bersama ibu atau bapa. Dalam kes puan, anak perempuan masih dalam tempoh penjagaan yang mana puan boleh mohon hak hadanah.

2. Kebajikan dan kepentingan kanak-kanak (seksyen 86)
Pertimbangan utama ialah kebajikan anak-anak. Mahkamah juga akan memberi perhatian kepada:
a) kemahiran ibu bapa
b) kemahiran kanak-kanak apabila mencapai umur kecerdikan. Mahkamah akan mencari jalan untuk memastikan keadaan yang baik untuk kanak-kanak supaya hidup mereka tidak menjadi huru hara dengan pertukaran jagaan.

Jika terdapat dua atau lebih kanak-kanak, mahkamah tidak terikat dengan meletakkan dua atau lebih kanak-kanak dari satu perkahwinan kepada penjaganya yang sama, tetapi sebaliknya akan menimbangkan kebajikan tiap-tiap orang anak itu secara berasingan. Mahkamah boleh meletakan kanak-kanak itu pada penjaga yang sama atau berasingan.

3. Syarat-syarat lain ( seksyen 87)
Selain daripada kebajikan dan kepentingan serta umur, terdapat faktor-faktor lain seperti soal berhubung dengan pendidikan dan pelajaran, di mana anak-anak itu akan tinggal, peruntukan akses dan membuat syarat melarang penjaga daripada membawa anak-anak keluar dari Malaysia.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my