Lafaz Cerai: Pasangan Perlu Jujur
13 Jun 2003

Soalan:

SAYA dan suami telah berkahwin sejak 15 tahun yang lalu dan kami mempunyai lima orang anak. Hubungan saya dengan suami telah berjalan dengan baik dan harmoni sehinggalah sekarang. Bagaimana pun sejak akhir-akhir ini kami mengalami banyak tekanan dan baru-baru ini telah terjadi pergaduhan yang agak besar di antara kami berdua.

Semasa bertengkar, saya seakan telah mendengar suami melafazkan cerai. Apabila saya bertanya suami mengenai hal ini, dia telah menafikannya. Dia tidak mengaku sedangkan saya agak pasti. Adakah kini saya perlu memohon penceraian?

- Kamisah Kasri, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Oleh kerana puan menetap di Kuala Lumpur, maka Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan ) 1984 akan dirujuk (selepas dirujuk sebagai Akta tersebut). Perlu dijelaskan di sini bahawa permohonan perceraian dan pengesahan perceraian adalah dua perkara yang berbeza.

Seorang wanita memohon penceraian dengan beberapa cara dan ia akan bergantung kepada alasan penceraian yang mahu dikemukakan.

Seorang wanita boleh memohon perceraian dengan secara taklik, fasakh atau khuluk. Taklik menurut Seksyen 2 akta tersebut bermakna lafaz perjanjian yang dibuat suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak dan peruntukan akta.

Apabila seorang suami telah melanggar di antara syarat-syarat taklik perkahwinan maka isteri boleh merujuk ke mahkamah syariah untuk mendapatkan perceraian. Perceraian secara taklik adalah termaktub di dalam seksyen 50.

Fasakh adalah satu cara bagi pembubaran perkahwinan. Ia berlaku apabila terjadinya sesuatu perkara yang mengharuskan pembubaran tersebut. Perkara-perkara ini ada tersenarai di dalam seksyen 52 akta. Menurut seksyen ini, seorang wanita berhak untuk fasakh apabila terjadi satu atau lebih dari alasan yang tertera di dalam seksyen.

Di antara alasan tersebut ialah apabila isteri telah tidak tahu di mana suaminya selama lebih setahun; suami melakukan penganiayaan seperti menyakitinya, berkawan dengan wanita yang tidak menurut hukum syarak, melupuskan harta isteri, tidak berlaku adil jika berpoligami, menghalang isteri dari menunaikan kewajipan agama atau apa-apa alasan yang diiktiraf sah bagi membubarkan perkahwinan menurut hukum syarak.

Khuluk atau lebih dikenali sebagai tebus talak dalam masyarakat umum adalah satu cara bagi seorang isteri untuk menebus penceraian.

Di dalam kes puan didapati bahawa puan tidak perlu memohon perceraian kerana puan telah mendengar suami melafazkan cerai.

Di dalam kes ini, proses yang puan perlu lakukan ialah proses pengesahan perceraian.

Perkara utama yang harus ditentukan di sini ialah sama ada talak telah jatuh melalui perkataan yang dilafazkan oleh suami.

Mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan sesuatu lafaz cerai. Ini adalah berdasarkan seksyen 45 akta. Seksyen tersebut memperuntukan kuasa bagi mahkamah untuk mengesahkan dan mendaftarkan perceraian yang berlaku di luar mahkamah.

Sebelum membuat pengesahan perceraian, mahkamah akan terlebih dahulu mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada lafaz talak suami adalah sah mengikut hukum syarak. Ia akan melihat kepada rukun-rukun perceraian atau talak.

Sekiranya mahkamah berpuas hati mengenai lafaz cerai tersebut, maka mahkamah akan mengeluarkan perintah membenarkan perceraian, merekodkan dan memberitahu kepada pendaftar. Ini adalah tertakluk di bawah seksyen 124.

Mengenai perceraian, adalah menjadi kewajipan untuk menghilangkan sebarang perasaan was-was atau ketidakpastian sama ada talak telah jatuh atau tidak. Juga menjadi tanggungjawab puan dan suami untuk berlaku jujur dalam perkara ini demi menghilangkan perkara-perkara subahat yang sedang melingkari pernikahan puan. Oleh itu adalah dinasihatkan agar puan merujuk kepada mahkamah syariah.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my